Categories
AGENSI SELANGOR

APMM Selangor tumpaskan sindiket ‘Ibu Ani’, seludup pendatang tanpa izin

PELABUHAN KLANG, 8 NOV: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin dikenali sebagai ‘Ibu Ani’, yang dipercayai telah beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata sindiket Ibu Ani, bertanggungjawab menguruskan tempat penginapan, makan dan minum serta kenderaan, bagi pergerakan pendatang asing tanpa izin keluar dan masuk Malaysia melalui jalan tidak sah.

“Sindiket tersebut tumpas susulan maklumat yang diperoleh dari 25 orang pendatang asing tanpa izin, enam orang ejen laut dan darat, yang ditahan di bersama bot penyeludup oleh APMM bersama agensi penguatkuasa lain dalam Op Benteng, di perairan Pulau Angsa dan persisiran Pantai Sungai Janggut, Jumaat lepas.

“Rentetan daripada penahanan tersebut, beberapa serbuan dibuat di beberapa lokasi dan premis di Flat Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan seorang wanita yang dikenali Ibu Ani, 56, berasal dari Indonesia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohammad Rosli berkata turut dirampas semasa serbuan adalah sebuah bot, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dua van dan beberapa telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM450,000.

“Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga Akta Imigresen 1969/63,” katanya.

Mohammad Rosli berkata pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dengan memberi tumpuan terhadap tekong atau ejen-ejen terlibat dan dipercayai dalang sebenar, iaitu seorang warga asing masih belum ditangkap.

Beliau berkata sindiket-sindiket pendatang asing tanpa izin kini bersaing sesama sendiri dan menawarkan ‘pakej lengkap’ bernilai antara RM1,500 hingga RM2,000, serta testimoni keberkesanan aktiviti mereka turut diedarkan di WhatsApp.

Mohammad Rosli turut mengingatkan pemilik kenderaan sewa tempatan agar berwaspada kepada siapa mereka sewakan, dan jika didapati pendatang asing tanpa izin bersubahat, maka kenderaan tersebut akan disita dan pemiliknya dikenakan tindakan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

APMM Selangor tahan sembilan kru tangkap ikan guna bubu naga

SHAH ALAM, 22 APRIL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan empat bot, sembilan kru dan merampas 80 set bubu kambang atau bubu naga kira-kira 1.0 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, Tanjung Karang awal pagi semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata semua bot ditahan secara berasingan semasa pihaknya melaksanakan Op Ehsan dengan kaedah penyamaran di sekitar perairan Kuala Selangor.

Berikutan penyamaran itu, beliau berkata anggota penguat kuasa telah mengesan empat bot berserta sembilan kru sedang melakukan aktiviti perikanan yang mencurigakan.g

“Pemeriksaan mendapati kesemua bot ini sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga dengan setiap bot tersebut memuatkan kira-kira 20 set bubu naga dan kesemuanya dirampas dengan anggaran nilai RM6,400,” katanya.

Beliau menjelaskan penggunaan bubu naga adalah diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Katanya, sembilan kru yang ditahan terdiri daripada dua kru warga tempatan, enam kru warga Myanmar dan seorang kru warga Indonesia berumur sekitar 20 hingga 50 tahun.

Mohd Rosli berkata semua bot, kru dan peralatan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan. APMM Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di dalam kawasan perairan negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Penternak kupang hilang dijumpai mati lemas – APMM

SHAH ALAM, 26 OKT: Seorang penternak kupang yang dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan sampannya selepas terlepas tali tambatan di Kelong Kupang Sungai Tiga, Sungai Pulai, Sabak Bernam semalam, ditemukan mati lemas, pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata mayat mangsa Jam Md Ross, 43, ditemukan 4.2 batu nautika dari Sungai Pulai pada pukul 9.20 pagi tadi.

Beliau berkata mayat mangsa yang dijumpai terapung dibawa ke jeti nelayan Sungai Pulai dengan bantuan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor untuk diserahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak semalam ditamatkan pada pukul 10 pagi tadi. Kami berterima kasih kepada komuniti nelayan yang turut membantu melakukan pencarian mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohammad Rosli menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengamalkan pemakaian jaket keselamatan ketika turun ke laut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan, maklum balas atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31769100/0627.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Maritim Selangor tahan feri bawa lebih had penumpang

SHAH ALAM, 4 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua feri yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan membawa penumpang melebihi had di Pelabuhan Klang petang kelmarin.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata feri dalam perjalanan dari Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang itu masing-masing membawa 119 dan 124 penumpang serta tiga kru.

“Had penumpang feri adalah 80. Jumlah penumpang ramai menyebabkan tiada penjarakan fizikal seperti ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Dua feri ini turut melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Rosli berkata susulan itu feri serta kru kapal berusia antara 17 hingga 25 tahun ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342).

Categories
AGENDA NASIONAL

APMM Selangor patahkan cubaan seludup kulit ular, biawak

PELABUHAN KLANG, 16 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup kulit ular dan biawak, di 0.3 batu nautika utara daripada Sungai Chondong Besar, dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Selangor Kapten Mohammad Rosli Kassim, berkata dalam rampasan pada kira-kira pukul 11.45 pagi itu, 12 bungkusan kulit ular, 18 bungkusan kulit biawak dan 20 guni minuman tenaga Extra Joss berjaya dirampas, bersama bot ‘barter trade’ yang digunakan penyeludup berkenaan.

“Selain daripada kulit ular dan biawak berkenaan, pemeriksaan APMM ke atas bot turut mendapati ia membawa muatan yang tiada dokumen sah dan pengisytiharan daripada Kastam, antaranya 5,040 botol minyak balsam dan 30 guni kulit kayu manis dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM479,740 termasuk bot.

“Ketika bot penguatkuasa mengiringi bot tersebut sehingga ke jeti untuk pemeriksaan lanjut, seramai 11 orang dipercayai sempat melarikan diri dan hanya seorang lelaki berjaya ditahan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Tambahnya, individu berkenaan berumur dalam lingkungan 50an, warganegara Indonesia dan akan ditahan reman selama dua minggu.

Mohammad Rosli berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, kerana barang dibawa tiada dalam dokumen; dan Akta Perdagangan Spesies Terancam Antarabangsa 2008, kerana membawa masuk spesis terjadual tanpa permit.

“Individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya anak kapal yang melarikan masih di dalam negara dan akan memburu sindiket yang terlibat.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

4 nelayan hilang di Pelabuhan Klang ditemui selamat

SHAH ALAM, 16 APRIL: Empat nelayan lelaki yang dikhuatiri hilang di Pelabuhan Klang, dekat sini pada 14 April lalu dijumpai di perairan berhampiran Permatang Sedepa, petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, keempat-empat mangsa berkenaan ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan Pulau Ketam di lokasi terbabit kira-kira 5.30 petang.

Empat mangsa berkenaan adalah dua adik-beradik iaitu Mohd Faisol, 38, dan Muhammad Firdaus Romle, 25, selain rakan mereka, Mohd Amirul Adli Khairi, 25, dan seorang lagi dikenali sebagai Nazaruddin.

Dalam kejadian 11 pagi semalam, keempat-empat mangsa yang menaiki sebuah bot gentian kaca dikhuatiri hilang berhampiran boya merah putih di Pelabuhan Barat, dalam jarak 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Klang.

Menurut Mohammad Rosli, mangsa keluar ke laut sejak Ahad lalu, namun bot mereka hanyut ke Pulau Ketam hingga ke Permatang Sedepa sebelum ditemui bot nelayan lain dan ditunda ke jeti Pulau Ketam.

“Bot mereka gagal dihidupkan kira-kira 5.30 pagi semalam kerana bateri yang lemah. Bot itu hanya terapung dan mula dihanyutkan lebih kurang 7 malam semalam ke perairan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Katanya, seorang daripada mangsa, Mohd Amirul Adli memaklumkan bot mereka diberi bateri baharu sebelum diiringi pulang ke Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah.

Katanya, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tiba di jeti berkenaan pada 8.30 malam tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat membabitkan hampir 50 pegawai dan anggota serta aset terdiri daripada aset APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pasukan Polis Marin ditamatkan.

“Terima kasih atas usaha setiap agensi yang terbabit dalam menjalankan tugas dengan penuh komited demi menyelamatkan nyawa. Tidak dilupakan juga kerjasama komuniti nelayan yang turut memainkan peranan dalam operasi berkenaan,” katanya. -BERNAMA