Categories
SUKANKINI

Pembabitan Agong diharap pemangkin atlet harumkan nama negara

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Pembabitan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah dalam bidang sukan diharap akan menjadi pemangkin kepada atlet kebangsaan untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pembabitan baginda dalam bidang sukan merupakan seorang yang profesional ketika menjalankan tugas terutama dalam bola sepak dan hoki.

“Sesungguhnya diharapkan pembabitan Tuanku sebelum ini dalam bidang sukan akan terus menjadi pemangkin kepada semua atlet negara untuk terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018, malam tadi.

Beliau berkata, sepanjang pembabitan Yang di-Pertuan Agong dalam sukan hoki pelbagai kejayaan dicapai skuad remaja dan senior kebangsaan.

“Di pentas antarabangsa pula Tuanku turut disanjung tinggi beberapa pemimpin sukan dunia sehingga dipilih sebagai Exco Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF),” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berharap lebih ramai atlet dan sukan akan layak untuk bertanding di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

“Beberapa sukan yang terlibat dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan mengharungi jadual padat.

“Selain dua atlet daripada sukan pelayaran yang telah layak, saya amat berharap lebih ramai atlet dan sukan yang akan layak untuk bertanding di temasya tertinggi dunia itu pada 2020 dan harapan untuk melihat pingat emas pertama akan berjaya dicapai pada tahun hadapan,” katanya.

Syed Saddiq turut memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memandang serius kebajikan dan keperluan atlet terutamanya selepas bersara.

Katanya, atlet negara adalah aset negara yang membawa nama negara di persada antarabangsa.

Beliau berkata, keringat ‘Malaysian Heroes’ itu sepatutnya dibalas dengan balasan yang setimpal dengan pengorbanan mereka.

“…yang dinobatkan atau tidak, ketahuilah bahawa Anugerah Sukan Negara adalah anugerah seluruh rakyat Malaysia untuk perjalanan panjang anda. Anugerah Sukan Negara adalah anugerah seluruh rakyat Malaysia bagi meraikan sesiapa sahaja yang membantu anda dalam mengharumkan nama negara.

“Terima kasih kerana mengangkat martabat Malaysia. Terima kasih atas pengorbanan anda, dalam sebuah perjalanan mengejar kejayaan yang akhirnya dikongsi bersama sebagai sebuah negara,” katanya.

Pada majlis gilang gemilang itu, jaguh tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail dinobatkan Olahragawan Kebangsaan manakala gimnas Amy Kwan Dict Weng muncul Olahragawati Kebangsaan 2018.

Baginda berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Muhammad Rafiq, Amy Kwan Olahragawan dan Olahragawati 2018

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Setelah lima kali sekadar disenarai pendek, jaguh tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail akhirnya dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2018, malam tadi.

Lebih manis, susulan kejayaan itu, Muhammad Rafiq muncul pemain boling lelaki ketiga diberikan pengiktirafan sedemikian selepas kali terakhir atlet sukan boling diangkat sebagai Olahragawan pada 1984 menerusi, Michael Chuah.

Kali pertama pemain boling lelaki meraih gelaran Olahragawan negara adalah pada 1979 menerusi Khoo Boon Jin.

Muhammad Rafiq, 22, dipilih menerima anugerah berprestij itu selepas mencipta beberapa kejayaan sepanjang 2018 termasuk menakluk dunia pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong, sekali gus menjadi pemain Malaysia pertama meraih kejayaan terbabit dalam tempoh 39 tahun.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu turut mencipta kejayaan membanggakan pada penampilannya di Sukan Asia Jakarta-Palembang apabila menyumbang pingat emas dalam acara Masters lelaki.

Muhammad Rafiq menewaskan empat calon lain, jaguh berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy), Mohd Syarul Azman Mahen (bina badan) dan Mohd Fauzi Kaman Shah (pelayaran).

Dalam pada itu, kejutan dilakukan ketika penampilan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia menyaksikan atlet gimrama negara, Amy Kwan Dict Weng dipilih selaku Olahragawati Kebangsaan.

Pemenang Anugerah Olympian Terbaik 2018 itu, menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara dalam acara individu riben dan membantu acara berpasukan meraih pingat perak.

Gimnas berusia 24 tahun itu turut menyumbang dua pingat gangsa dalam acara individu gelung dan individu keseluruhan.

Amy Kwan mengetepikan empat lagi calon pilihan, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (boling), S. Sivasangari (skuasy) dan Tan Li Lian (bina badan).

Muhammad Rafiq dan Amy Kwan masing-masing menerima trofi, blazer dan wang tunai RM20,000 serta dua tiket penerbangan ke destinasi di Australia tajaan Malaysia Airlines.

KUALA LUMPUR, 24April — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan bergambar kenangan bersama Olahragawan Kebangsaan Muhammad Rafiq Ismail (kiri) dan Olahragawati Kebangsaan Amy Kwan Dict Weng (kanan) pada Majlis Anugerah Sukan Negara. Turut sama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua, kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong (dua, kanan).fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Majlis gilang gemilang itu diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sementara itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Siti Noor Iasah Mohd Ariffin, sekali lagi dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2018, selepas masing-masing kali terakhir memenanginya pada 2015 dan 2014.

Mohamad Ridzuan yang lebih mesra dengan panggilan Dik Wan, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul atlet pertama negara dinobatkan selaku Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018.

Pemenang pingat emas acara 100 meter Sukan Paralimpik Rio 2016 itu mencuri tumpuan selepas beraksi cemerlang ketika Sukan Para Asia di Jakarta, Oktober 2018.

Atlet berusia 32 tahun itu mencipta sejarah di Indonesia dengan mencatat rekod dunia acara 100m lelaki T36, dan rekod Sukan Asia bagi acara lompat jauh dengan meraih keseluruhan tiga pingat emas.

Catatan terbaik dalam acara riben biru, 11.87 saat memadamkan rekod dunia, 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.

Atlet yang mendapat bimbingan jurulatih R. Jaganathan itu juga memecahkan rekod Sukan Asia acara lompat jauh dengan catatan terbaiknya 5.59m dan memadamkan rekod lama (5.45m) yang dilakukan Yang Yi Fei pada 2016.

Siti Noor Iasah, 30, pula mencipta kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Para Asia di Jakarta dalam acara 400m T20 (masalah pembelajaran) serta memperbaharui rekod temasya milik pelari Jepun, Mai Iwakiri yang dilakukan pada 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Di Jakarta, Siti Noor Iasah mencatat 58.69 saat, memadamkan catatan masa Iwakiri 1 minit 06.23s.

Kejayaan tersebut juga merupakan gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan kedua diraih Siti Noor Iasah selepas kali pertama dinobatkan gelaran itu pada 2014.

Senarai penerima anugerah:

Olahragawan Kebangsaan – Muhammad Rafiq Ismail
Olahragawati Kebangsaan – Amy Kwan Dict Weng
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan – Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan – Siti Noor Iasah Mohd Ariffin
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Tenpin boling – Adrian Ang, Tun Ameerul Luqman Al Hakeem Datuk Tun Hasnul Azam
Pasukan Wanita Kebangsaan: Akuatik terjun – Cheong Jun Hoong, Pandelela Rinong
Jurulatih Lelaki Kebangsaan – Holloway Cheah (Tenpin boling)
Anugerah Kepimpinan Sukan – Datuk Sieh Kok Chi, Dr S. Radha Krishnan (Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia)
Anugerah Khas – Hanifah Yoong Yin Fah (Ski air), Datuk Rahim Razali

-BERNAMA