Categories
NASIONAL

SPR pandang serius pelanggaran undang-undang pada PRK Cameron Highlands

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius terhadap laporan terdapat tindakan melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya oleh pihak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.078 Cameron Highlands.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, antara kesalahan terbabit seperti penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti kaum serta agama dalam kempen masing-masing.

“Berhubung dengan penggunaan kenderaan jabatan kerajaan, saya telah mengadakan perbincangan segera, semalam bersama Presiden Malaysia Correction Watch (MCW), Jais Abdul Karim selaku pemerhati pilihan raya yang dilantik SPR bagi mengemukakan maklumat dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu saya juga dimaklumkan satu laporan polis telah dibuat calon Barisan Nasional (BN) pada hari ini bagi membolehkan satu siasatan lanjut dijalankan pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Berhubung laporan terdapat kempen berunsur perkauman pula, Azhar Azizan berkata, ianya menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

Selain laporan kempen berunsur perkauman, SPR turut menerima laporan terdapat kempen menyentuh sensitiviti agama yang mana adalah kesalahan di bawah Seksyen 9 akta sama.

SPR turut mengingatkan semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika sepanjang tempoh rasmi berkempen dengan mengelakkan aktiviti kempen seperti penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, program kerajaan, penggunaan kemudahan serta aset kerajaan.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua calon dan parti politik bertanding memastikan segala aktiviti kempen masing-masing tidak melanggar undang-undang dan tidak menimbulkan kekeliruan pengundi.

SPR turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan kerjasama dalam memantau perjalanan PRK kali ini.

“Kesedaran ini menunjukkan bahawa Malaysia dan rakyatnya sentiasa mahukan proses perjalanan pilihan raya yang telus dan adil kepada semua pihak,” katanya.

Categories
NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Sivarraajh hilang kelayakan bertanding

PUTRAJAYA, 28 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Januari tahun depan.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, perkara itu diputuskan selepas mengkaji keseluruhan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu, serta Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 36 (2) (a).

Katanya, SPR juga meneliti Laporan Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) bertarikh 13 Disember lalu serta pandangan undang-undang mengikut Akta 5.

“Dalam tempoh lima tahun bermula 13 Disember lalu, Sivarraaj tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya dan tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Azhar berkata, SPR telah mengambil angkah sewajarnya dalam membuat keputusan seperti diperuntukkan di bawah akta dan peraturan berkaitan pilihan raya sedia ada.

Pada 19 Disember lalu, SPR memaklumkan akan meneliti kelayakan Sivarraajh untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands selepas mendengar keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah selepas calon Pakatan Harapan, M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah menyaksikan kemenangan Sivarraajh (Barisan Nasional) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Sivarraajh antara lain didapati bersalah memberi suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya berkenaan.

Hari penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan pada 12 Januari manakala hari mengundi awal pada 22 Januari.

SUMBER: BERNAMA