Categories
NASIONAL

Disiplin penyokong parti politik kurang memuaskan – SPR

SEREMBAN, 13 APR: Disiplin penyokong parti politik pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini, kurang memuaskan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, ini kerana masih terdapat beberapa barong yang didirikan berhampiran pusat mengundi.

“Perjalanan PRK berjalan lancar (setakat 11.30 pagi), saya sudah lawat tiga pusat mengundi, cuma disiplin calon dan parti politik agak kurang memuaskan kerana terdapat barong-barong panas masih dibina.

“Macam di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bandar Seri Sendayan, ada dua barong tetapi yang beroperasi hanya dari satu pihak iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Walaupun saya sendiri suruh berhentikan, mereka berhentikan 15 minit namun minit ke 16 sudah mula balik, saya kena bagi amaran dua kali baru berhenti, kemudian mula balik semak pula pakai telefon bimbit,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembinaan barong di sekitar pusat mengundi bagi menyemak saluran pengundi yang ingin mengundi.

Setakat pukul 11 pagi, Azhar Azizan berkata, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 38 peratus.

“Bagi saya memuaskan kalau tiga jam dah 38 peratus, ada lagi enam jam setengah, kalau lagi 38 peratus lagi sudah 76 peratus… tak berani nak cakap tetapi kalau ikut trend dan dari segi logik sepatutunya pada 5.30 perang sudah boleh dapat 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini seperti kekecohan atau pergaduhan berlaku setakat ini.

“Kita tidak mahu kekecohan berlaku, kalau kita suruh berhenti tetapi mereka nak teruskan juga, kita guna pendekatan lembut, kita rakam peristiwa untuk kita buat laporan polis dikemudian hari.

PRK DUN Rantau hari ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

SPR gesa bakal calon buat semakan awal borang pencalonan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 25 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesa semua bakal calon Pilihan Raya kecil (PRK) N27 Rantau membuat semakan awal pengisian borang pencalonan masing-masing.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tujuan semakan awal itu bagi memastikan bakal calon mengisi borang dengan betul dan menepati syarat serta mengelak kesilapan pada Hari Penamaan Calon.

“Langkah ini bagi menjamin kelancaran proses penamaan dan mengikut masa yang ditetapkan.

“Selain itu, ia juga dapat memberi peluang kepada calon yang tidak layak semasa semakan awal membuat persiapan sewajarnya sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak perlu dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadang kepada Pegawai Pengurus di Hari Penamaan Calon.

Katanya, bakal calon juga digesa membuat pembayaran deposit lebih awal serta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran dibuat bagi memastikan proses penamaan calon lancar.

Bakal calon boleh membuat semakan di Pejabat Pengawai Pengurus di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan di DUN itu terbatal dan tidak sah.

Categories
NASIONAL

SPR: Dokumen sokongan kenal pasti kebenaran pendaftar

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Langkah penetapan permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan yang perlu disertakan dokumen sokongan merupakan langkah mengenal pasti kebenaran bahawa pemohon adalah individu yang menetap di satu-satu kawasan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, langkah diumumkan kerajaan itu adalah wajar berikutan ia akan membantu pihaknya memastikan alamat pendaftar (pemohon) di dalam daftar pemilih benar-benar wujud.

“Ia akan membantu membanteras apa-apa tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemilih di sesebuah kawasan ataupun memindahkan pengundi ke mana-mana kawasan dengan menggunakan alamat palsu ataupun alamat kediaman pihak ketiga.

“Langkah tersebut secara langsung membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintegriti dan diyakini khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat mastautin,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman mengumumkan semua permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil elektrik, bil pembentungan, bil utiliti, cukai pintu, perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah atau lain-lain dokumen bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut berkuatkuasa mulai 2 Mei 2019.

Categories
SELANGOR

Peratusan keluar mengundi melebihi sasaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAJANG, 2 MAC: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih melebihi sasaran iaitu mencecah 73.35 peratus.

Maklumat rasmi itu dimaklumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun pada jam 8 malam tadi.

Jumlah peratusan itu sekali gus melepasi sasaran ditetapkan SPR sebelum itu iaitu sebanyak 70 peratus sahaja.

DUN Semenyih mencatatkan sejumlah 53,411 pengundi biasa layak untuk mengundi pada PRK kali ini selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 11 Januari lalu.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Januari lalu.

Categories
SELANGOR

50 peratus keluar mengundi PRK Semenyih sehingga jam 1 tengahari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 2 MAC: Sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan 54,503 pemilih berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, setakat jam 1 tengahari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya menyasarkan 70 peratus keluar mengundi dalam PRK kali ini dan berharap orang ramai dapat keluar melaksanakan tanggungjawab itu.

“Kita berharap sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus dapat dicapai. Tetapi di Cameron Highland kita cuma dapat 68.9 peratus.

“Kita harap pengundi (dan) pihak parti dapat menyeru penyokong masing-masing untuk keluar mengundi. Daripada segi trendnya itu juga diharap dapat diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rinching, di sini.

Sementara itu, Azhar berkata, perjalanan proses pengundian juga berjalan lancar setakat ini dengan masa menunggu hanya 20 hingga 30 minit jika dibandingkan pada PRU14 lalu.

Ketika diminta mengulas berhubung kekecohan berlaku antara penyokong parti di Kampung Sesapan sebentar tadi, Azhar berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan insiden terbabit.

Difahamkan, pergaduhan itu tercetus apabila terdapat individu yang meletakkan kain rentang memaparkan imej isteri mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan turut tertera tulisan mengatakan ‘Dia adalah Boss’.

“SPR tak dapat laporan berkaitan isu ini. Apapun, kita harap kalau ada ia dapat dihentikan kerana boleh menimbulkan masalah ketenteraman orang awam,” katanya.

Categories
SELANGOR

SPR tiada kuasa halang pemimpin berjalan, bersalaman

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pemimpin mana-mana parti untuk berada di kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih walaupun tempoh berkempen sudah tamat pada jam 12.00 malam tadi.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ini termasuk membabitkan pemimpin sebuah parti dikatakan melakukan ‘walkabout’ di sebuah pasar pagi, pagi tadi.

“SPR tak boleh halang mana-mana pihak termasuk pemimpin parti untuk berjalan dan bersalaman dengan orang ramai.

“Orang berjalan dan bersalaman itu perkara biasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Rinching di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu mematuhi peraturan yang tidak membenarkan kempen selepas jam 12.00 tengah malam pada hari terakhir kempen.

Sementara itu mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil Semenyih, Azhar menjangkakan keputusan akan dapat diketahui selewat-lewatnya pada jam 10.00 malam nanti.

Categories
SELANGOR

SPR terbuka terima aduan kesalahan pilihan raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 2 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil sikap terbuka untuk menerima sebarang laporan berhubung salah laku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ini termasuk mana-mana organisasi termasuk agensi media.

“Bukan sahaja BERSIH 2.0 tetapi kami alukan sesiapa sahaja yang ada maklumat insiden kesalahan pilihan raya boleh buat laporan.

“SPR akan membuat siasatan terhadap laporan yang kami terima,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Rinching di sini, hari ini.

Azhar turut menggesa supaya semua parti bertanding tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Katanya, antara kesalahan itu membabitkan tindakan berkempen selepas jam 12.00 malam hari terakhir kempen dan mendirikan pondok panas bagi meraih undi.

“Jika mendirikan khemah atau pondok untuk tujuan tempat berehat dan makan petugas, tak mengapa tetapi jika untuk meraih undi adalah satu kesalahan,” katanya.

Categories
NASIONAL

SPR: Kekosongan kerusi DUN Rantau diisi dalam 60 hari

PUTRAJAYA, 26 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan dalam tempoh 60 hari, mulai hari ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, suruhanjaya itu sudah menerima Perakuan Mahkamah daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 36A(3) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya bagi kerusi DUN Rantau adalah terbatal.

“Selaras dengan Perkara LVI (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, SPR akan mengisi kekosongan kerusi terbabit dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang dipastikan berlaku mulai hari ini.

“Pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN itu juga akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai perlaksanaan pilihan raya itu pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding kerusi terbabit selepas lawannya, Dr S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius, memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN diadakan kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, beliau menamakan Mohamad, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Pada 16 Februari lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Mohamad daripada Barisan Nasional di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 itu adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Azimah Omar dalam penghakimannya berkata, tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

PRK Semenyih: 858 anggota dan pasangan buang undi awal hari ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 FEB: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih bermula hari ini membabitkan 858 orang daripada jumlah keseluruhan 951 orang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pusat pengundian awal dibuka jam 8 pagi sehingga 5 petang manakala pusat mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, waktu pengundian ditutup jam 2 petang.

“Semua pengundi awal adalah anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih seramai 761 orang dan Discress Room 97 orang.

“Manakala sebahagiannya 93 orang anggota polis PGA telah mengundi secara pos,” katanya.

Beliau berkata, proses pengundian awal akan disaksikan setiap ejen calon bertanding selain Pemerhati Pilihan Raya daripada wakil organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik SPR.

SPR juga menyiarkan proses pengundian awal menerusi ‘Live Facebook’.

“Kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi pada 26 Februari sebaliknya semua peti undi awal disimpan di tempat selamat iaitu di lokap balai polis.

“Pada 2 Mac nanti, peti undi itu akan dibawa ke pusat pengiraan undi di pusat pengundian ditetapkan SPR sambil disaksikan ejen calon masing-masing.

“Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan undi,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

PRK Semenyih: Dua pusat undi awal dibuka esok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 25 FEB: Dua pusat pengundian awal akan dibuka esok bagi membolehkan 858 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, 761 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih.

Katanya, 97 anggota keselamatan lagi mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keseluruhan 951 orang pengundi awal dan pos berada di DUN Semenyih, majoritinya adalah anggota keselamatan.

Azhar berkata, pusat pengundian awal dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, namun bagi pusat mengundi di Discress Room, IPD Kajang waktu pengundian ditutup jam 2 petang.

“Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap agen calon yang bertanding.

“Di samping itu, pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan menyaksikan proses berkenaan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Azhar: SPR teruskan PRK Semenyih

SEMENYIH, 25 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti ditetapkan pada 2 Mac, kata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

Ini susulan keputusan mahkamah berkaitan PRK itu yang memihak kepada suruhanjaya berkenaan.

“SPR menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang memutuskan bahawa semua keputusan dibuat SPR berhubung proses PRK DUN Semenyih adalah sah dan mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada serta menolak tuntutan saman yang dibuat seorang pengundi berdaftar di Semenyih terhadap SPR.

“Sehubungan itu, SPR akan meneruskan PRK Semenyih sepertimana telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BERNAMA.

Esok ialah hari pengundian awal bagi PRK itu.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Categories
NASIONAL

PRK Cameron Highlands: Pengundi dinasihat keluar awal

TANAH RATA, 24 JAN: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Sabtu ini dinasihatkan supaya merancang masa dan keluar pada awal pagi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, walaupun tempoh masa mengundi ditetapkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang, pengundi dinasihatkan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir.

“Ini berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan dijangka pada sebelah petang.

“Terdapat juga pusat mengundi ditutup lebih awal berikutan faktor logistik dan kedudukan geografi pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada PRK itu Sabtu ini.

“SPR juga meminta para pengundi membuat semakan awal maklumat daftar memilih sebelum hari pengundian yang boleh disemak melalui portal rasmi SPR www.spr.gov.my, talian 03-88927018, atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.

Azhar berkata, pengundi yang telah mengetahui maklumat daftar pemilih tidak perlu menyemaknya di barung SPR, sebaliknya diminta mencatatkan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Beliau berkata, pengundi disaran membawa catatan maklumat tersebut dan menunjukkannnya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi memudahkan semakan nama dibuat dan membantu kelancaran proses pengundian.

“Mereka juga dinasihatkan membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri rasmi dan sah pada hari pengundian serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya.

Berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 14 Disember lalu, jumlah pemilih layak mengundi biasa adalah seramai 31,749 orang.

“Bagaimanapun, daripada jumlah tersebut 110 kertas undi pos telah dikeluarkan kepada pengundi layak bagi undi pos menjadikan mereka yang layak mengundi biasa Sabtu ini adalah 31,639 orang,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept); serta Parlimen Port Dickson (13 Okt).

PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan M. Manogaran; bekas pesara Polis Diraja Malaysia, Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.

– BERNAMA