Categories
SELANGOR

Kudeta Perak: ‘Syukur suami dibebas walau kebebasan bersuara dihalang’

nashita2SHAH ALAM 19 SEPT: Seorang daripada 13 individu yang dihukum penjara kerana membantah kudeta Perak, bersyukur atas pembebasan suaminya sekalipun dilarang bercakap dengan media.

Nashita Md Noor, isteri kepada Bad Latif, berkata semua tidak dibenarkan membuat kenyataan kepada mana-mana media sementara menunggu proses rayuan.

“Tetapi saya sebagai isteri boleh bagi kenyataan. Kita akur arahan mahkamah dan kita juga tidak mahu rosakkan keadaan,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Beliau juga difahamkan pembebasan suaminya dan 12 rakan seperjuangan dibuat berdasarkan pertimbangan mahkamah atas rekod kelakuan baik sepanjang empat tahun tempoh jaminan.

“Mereka berkelakuan baik, tidak cuba larikan diri dengan laporkan diri bila diminta. Ini membuktikan mereka warganegara yang baik. Alhamdulillah, mahkamah ambil kira semua itu,” katanya.

Nashita turut menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan awal bagi pejuang yang berani bangkit menentang kekejaman kerajaan Umno BN terhadap rakyat bawahan.

“Kezaliman sentiasa ada hinggakan ada hakim yang ditekan dan takut nak buat pengadilan yang sewajarnya,” katanya.

Mahkamah Tinggi Taiping hari ini membenarkan penangguhan hukuman penjara dua tahun terhadap Bad Latif Mansor dan 12 individu lain yang menyertai demontrasi membantah rampasan kuasa di Perak pada 2009.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nasfy Yasin menetapkan RM3,000 ikat jamin kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Ketika membacakan keputusan itu, Ahmad Nasfy berkata, kebebasan 13 individu itu tidak boleh dirampas mana-mana pihak.
– FZL

Categories
NASIONAL

Isteri pendemo kudeta Perak terpaksa jual rumah untuk sara keluarga

13 PESERTA DIPENJARAKAN

SHAH ALAM, 14 SEPT: Isteri perserta demontrasi protes rampasan kuasa Perak 2009, Nashita Md Noor,47, mengambil keputusan menjual rumah yang didiami demi meneruskan kelangsungan hidupnya sekeluarga.

Langkah itu terpaksa diambil sekiranya suami beliau, Bad Latif Mansor, 47, gagal dalam proses rayuan yang bakal difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping Selasa ini.

Menurut Nashita, perkara ini sempat dibisikkan kepada suaminya itu sebaik sahaja Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 kepada 13 tertuduh semalam.

“Keempat-empat anak kami masih bersekolah termasuk seorang yang sedang belajar di Jordan.

“Tanggungan yang perlu dipikul memang agak besar, maklumlah akak suri rumah sepenuh masa, tiada pendapatan sebab itulah terpaksa jual rumah yang kami duduk sekarang tetapi nasib baik yang belajar di Jordan itu tajaan Lembaga Zakat Selangor.

“Perkara ini akak sempat bisikkan kepada abang (suami) sebelum dia dibawa ke Penjara Tapah semalam, dia setuju,” kata Nashita ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Menurut Nashita lagi, beliau dibenarkan untuk bertemu Bad Latif di Penjara Tapah pagi tadi.

Dalam pertemuan itu Nashita memberitahu, Bad Latif memaklumkan keadaan kesihatan salah seorang perserta demontrasi yang dipenjarakan, Isha Redzuan, 59, tidak berapa baik disebabkan penyakit kanser tirod yang dihidapinya.

“Abang sihat, begitu juga yang lain kecuali Isha yang perlu ambil ubat setiap hari, malah abang bersemangat dan berharap masyarakat di luar tidak luntur semangat, teruskan perjuangan, .

“Dia anggap pemenjaraan dia dan 12 lagi itu sebagai pengorbanan agar obor semangat yang lain tidak terpadam, maklumlah selepas pilihan raya ni masing-masing nampak macam perlahan sikit,” ujar Nashita lagi.