Categories
SELANGOR

Sambut baik usaha negeri lain atas dasar peduli rakyat

Oleh: SYASYA SUFIAN

KUALA LANGAT, 22 NOV: Kerajaan Negeri menyambut baik segala usaha dari negeri-negeri lain yang berlandaskan peduli rakyat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata sesuatu perubahan dan penambahbaikan harus menjadi fokus utama sesebuah kerajaan ia untuk rakyat.

YUNUS HAIRI“Seperti di Selangor, sebagai sebuah negeri yang maju kita selalu memikirkan apa yang terbaik harus diberikan untuk merakyatkan ekonomi.

“Sebab itu, wujud pelbagai usaha dan program yang dilancarkan kerana kita melihat kepedulian rakyat adalah motif utama,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Bajet Johor 2016 mengandungi enam strategi utama iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi Johor, menangani peningkatan kos sara hidup, merancakkan keusahawanan Johor berasaskan inovasi & pengetahuan, mengangkat agenda Johor lestari serta meneruskan agenda pendidikan berkualiti & pembangunan swadaya insan.

Ada di antara strategi itu terkandung di dalam Belanjawan Selangor 2016 terutama memacu kehidupan rakyat kerana Selangor ingin membantu dalam menangani krisis kelembapan ekonomi dan kenaikan harga barangan terutama sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pada 1 April lalu.

Yunus berkata, kalau ada negeri lain yang mengikuti perkara baik seperti Kerajaan Selangor itu menandakan kita berjaya mencapai misi dan matlamat .

“Kita menyambut baik kerana akhirnya ia akan memberi manfaat kepada rakyat tidak kira di Selangor atau Johor.

“Malah, kita mengalu-alukan negeri lain juga untuk melakukan yang sama,” katanya.

-NFN-