SHAH ALAM, 18 JAN: Penganut Hindu terjejas akibat banjir berazam mengambil semangat sambutan perayaan Thaipusam untuk memulihkan semula kehidupan.
Ibu tunggal dari Taman Sri Muda K Murugeeswari, 58, menyifatkan bencana pada pertengahan Disember lalu yang menyebabkan keluarganya mengalami kerugian besar sebagai antara cabaran perlu ditempuh.
Menurutnya, dalam kejadian itu hampir semua barangan di tingkat bawah rumahnya rosak selepas ditenggelami air dan mereka reda dengan dugaan itu.
“Thaipusam mengajar kami supaya lebih positif berdepan cabaran dan beri semangat bangkit segera.
“Semangat ini kami ambil untuk memperbaiki semula kehidupan,” kata pekerja swasta itu ditemui di Kuil Arulmigu Sri Maha Mariamman Seksyen 23 di sini hari ini.
Bagi seorang lagi mangsa banjir dari Bukit Kemuning A Kumaran, 37, bencana melanda satu episod perlu dihadapi mereka sekeluarga dengan terbuka seperti diajar dalam agama.
“Sedih lihat harta benda musnah tetapi ini dugaan perlu kami tempuh dengan sabar,” katanya.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.
Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.
Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.