Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir landa tiga daerah di Sarawak, 755 mangsa dipindah

KUCHING, 19 FEB: Banjir yang melanda tiga kawasan di negeri ini iaitu Kuching, Lundu dan Samarahan menyebabkan 755 mangsa daripada 211 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, tiga PPS yang dibuka di Kuching ialah di Dewan Kampung Sinar Budi Baru yang menempatkan 280 mangsa, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Sungai Tengah (85 mangsa) dan Dewan Masyarakat Stapok (56 mangsa).

Di Lundu, sebuah PPS dibuka di Balai raya Kampung Paon, Sematan bagi menempatkan 995 mangsa sementara Samarahan pula menyaksikan lima PPS beroperasi iaitu di Balai raya Kampung Sungai Empit (35 mangsa), Dewan Suarah Kota Samarahan (31 mangsa), Dewan Masyarakat Kampung Pangkalan Kuap (152 mangsa), Surau Kampung Bukit Berangan (enam mangsa) dan Balai raya Kampung Merdang (11 mangsa).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Khirudin Drahman ketika dihubungi Bernama berkata sekurang-kurangnya 21 kawasan di Kuching, Lundu dan Samarahan dilanda banjir hari ini berikutan hujan lebat sejak malam tadi hingga pagi ini.

Bagaimanapun, keadaan banjir di kebanyakan kawasan sudah pulih, katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lundu Putra Ila ketika dihubungi berkata keadaan banjir di Lundu dan Sematan sudah beransur surut, namun setakat 6 petang tadi hujan renyai mulai turun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya tiga PPS beroperasi tempatkan mangsa banjir Sarawak

KUCHING, 8 FEB: Enam lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini berikutan keadaan banjir yang semakin pulih di dua buah daerah di Sarawak dengan hanya 528 mangsa masih lagi ditempatkan di tiga PPS, berbanding 813 orang pagi tadi.

Laporan terbaharu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan tiga PPS yang masih beroperasi itu kesemuanya di daerah Serian terdiri daripada Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh dengan seramai 338 mangsa, Dewan Masyarakat Serian (148 mangsa) dan Dewan Kampung Slabi Entukuh (42 mangsa).

Dua buah PPS di daerah itu iaitu Dewan Kampung Rimba Padi dan Dewan Serbaguna Ranchan yang masing-masingnya menempatkan seramai 75 dan 35 mangsa banjir telah ditutup kira-kira pukul 1.00 tengah hari selepas mereka dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Sementara itu, kesemua empat PPS terakhir yang beroperasi di daerah Simunjan dalam Bahagian Samarahan turut ditutup hari ini sejak pukul 1.00 tengah hari dengan 175 mangsa juga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Jumlah terakhir mangsa banjir di daerah itu melibatkan 96 orang di PPS Dewan Mesra Simunjan, 40 orang di Dewan Kampung Entangor, Sebuyau, 27 orang di Dewan Masyarakat Lubok Buntin dan 12 orang di Masjid Kampung Seruyuk, Sebuyau.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Sarawak makin pulih, lima PPS tutup

KUCHING, 7 FEB: Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga yang melanda Sarawak sejak Selasa lepas menyaksikan penurunan kepada 823 orang petang ini berbanding 1,002 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi setakat 4 petang ini juga berkurangan kepada sembilan.

Sebanyak lima PPS telah ditutup sejak pagi tadi dengan yang terakhir di Samarahan pada 9.30 pagi.

Empat daripada PPS yang masih beroperasi dibuka di Simunjan manakala lima di Serian.

Setakat ini, Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Kuching kekal sebagai kawasan paling teruk terjejas akibat banjir dengan 648 mangsa daripada 209 keluarga.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir Sarawak turun 934, 14 PPS beroperasi

KUCHING, 6 FEB: Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga yang melanda Sarawak sejak Selasa lepas menyaksikan penurunan kepada 934 orang petang ini berbanding 1,070 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang masih beroperasi setakat 5 petang ini juga menurun kepada 14 berbanding 18 buah pada awal pagi tadi.

Daripada 14 PPS itu, empat dibuka di Simunjan, satu di Samarahan dan sembilan di Serian manakala PPS melibatkan daerah Tatau telah ditutup.

Setakat ini, Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Kuching kekal menjadi kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dengan 701 mangsa daripada 234 keluarga.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Hulu Serian kira-kira 65 kilometer dari bandar Kuching mendapati walaupun air sudah mula surut secara perlahan namun banjir yang turut melanda kampung itu sejak pagi Rabu lepas dijangka tidak akan reda sepenuhnya dalam masa terdekat.

Penolong Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu Norita Osman berkata keadaan air didapati kian surut secara perlahan namun hujan masih lagi berlanjutan.

Keadaan hujan lebat yang tidak menentu sejak beberapa hari lepas menyebabkan situasi banjir di Sarawak berlanjutan sehingga kini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir meningkat 985, 18 PPS dibuka di Sarawak

KUCHING, 5 FEB: Jumlah mangsa banjir gelombang ketiga yang melanda Sarawak sejak Selasa lepas terus meningkat kepada 985 orang pagi ini berbanding 577 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya memaklumkan pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) banjir juga menyaksikan peningkatan kepada 18 berbanding hanya 10 semalam.

JPBN memaklumkan satu PPS dibuka di daerah Tatau, empat di Simunjan, dua di Samarahan dan 11 di Serian.

Buat masa ini, daerah Serian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari pusat bandar Kuching masih menjadi kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir dengan 710 mangsa dari kawasan itu direkodkan setakat ini.

– BERNAMA