Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat korban kelima banjir di Yan dijumpai

YAN, 22 OGOS: Mangsa kelima yang maut dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai ditemukan di satu kawasan berhampiran Titi Hayun, di sini pada pukul 3.23 petang tadi.

Pasukan mencari dan menyelamat menjumpai mayat Ku Shuib Ku Abdullah, 91, di bawah timbunan kayu berhampiran Chalet Putri Ayu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang dalam kejadian pada petang Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata pasukan menyelamat menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan kayu dan berjaya mengeluarkan mangsa lima minit kemudian.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Yan dan kita berasa bersyukur dan berterima kasih kepada kepada semua pasukan anggota penyelamat yang telah berjaya dalam usaha pencarian mangsa kelima ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata mayat bekas imam itu yang sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan rekreasi Chalet Salak Denai, Batu Hampar dijumpai dalam keadaan baik dengan sedikit calar dengan jasadnya mengiring dan mengadap kiblat.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi seterusnya akan menumpukan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu di kawasan mayat mangsa kedua dan ketiga ditemukan di kawasan Titi Hayun sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata berdasarkan penemuan mayat mangsa kelima hari ini operasi mencari pada esok dijangka akan melibatkan banyak kerja-kerja penggalian dan mengalihkan timbunan kayu.

“Kita telah menandakan kawasan yang dikenal pasti untuk kita cari, harap esok ada petunjuk baharu,” katanya.

Beliau berkata susulan penemuan mayat kelima itu juga operasi mencari dan menyelamat di kawasan Batu Hampar akan dipindahkan ke Titi Hayun untuk menggiatkan lagi pencarian mangsa terakhir dilaporkan hilang.

Mangsa terakhir yang dilaporkan masih hilang dikenali sebagai Ridwan Poninan, 61.

Setakat ini, lima mangsa disahkan menjadi korban kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada petang Rabu lalu yang turut menjejaskan penempatan di kawasan sekitar gunung itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Yan: Operasi mencari temukan petunjuk mangsa hilang

YAN, 21 OGOS: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) percaya telah menemukan petunjuk mengenai dua mangsa yang masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air berlaku Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata ia susulan usaha pencarian yang dilakukan secara agresif pada hari keempat operasi hari ini dengan bantuan jentera berat.

“Ada petunjuk (ditemukan hari ini), cuma esok akan pastikan apabila kita mulakan semula operasi pada 8 pagi dan kita telah plot kawasan-kawasan yang kita syaki mangsa dihanyutkan.

“Operasi kita hari ini dan seterusnya akan agresif, kita bawa masuk jentera berat seperti backhoe (pengorek kaut) dan excavator (mesin pengorek) ke kawasan yang disyaki mangsa dihanyutkan untuk mencari di bawah lumpur dan timbunan kayu-kayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, beliau meminta sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan, syarikat atau orang perseorangan yang datang ke daerah ini untuk mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) agar bantuan dapat diselaras dan diagihkan dengan berkesan.

Menurutnya, ketika ini kehadiran pihak luar khususnya di sekitar kawasan bencana dilihat semakin ramai yang bergerak dalam pasukan mengikut entiti masing-masing bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa terjejas banjir.

“Sebab dalam pasukan mereka ada yang hendak bagi bantuan makanan, ada yang bagi bantuan tenaga membersihkan rumah, jadi laporkan kepada PKOB dan PKOB akan selaraskan pergerakan mereka mengikut keperluan di sesuatu kawasan yang terjejas itu,” katanya.

Beliau berkata pendaftaran dengan PKOB juga membolehkan pihaknya mengenal pasti bilangan sukarelawan yang ada di daerah ini dan memudahkan pihaknya membuat pemantauan berkaitan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Di samping menyalurkan bantuan dan membersihkan rumah tapi SOP tolong jaga…kita telah mendapatkan bantuan polis dari luar Yan untuk membantu kita mengawasi sebarang aktiviti berkumpul beramai-ramai di daerah ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Yan: Dua mangsa hilang belum ditemui

YAN, 20 OGOS: Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga hari ini belum berjaya mengesan dua lagi mangsa yang dipercayai masih hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air yang berlaku pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata operasi pada hari ini masih tertumpu di lokasi kedua-dua mangsa dilaporkan hilang iaitu Titi Hayun dan Batu Hampar, namun pasukan mencari dan menyelamat tidak menemui sebarang petunjuk.

“Pada hari ini kita telah menambah kekuatan yang membabit seramai 308 anggota daripada pelbagai agensi dan telah menggunakan unit dron daripada polis dan bomba untuk mengesan mangsa.

“Namun sehingga operasi ditamatkan 4 petang tadi, tiada petunjuk tentang keberadaan mangsa-mangsa yang masih hilang. Kita akan teruskan semula operasi mencari pada pukul 8 pagi esok,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, operasi juga telah diperluaskan termasuk ke kawasan perairan berhampiran berdasarkan penemuan mayat mangsa keempat yang dijumpai di kuala Sungai Udang, semalam.

Menurutnya, operasi mencari mangsa turut berdepan sedikit kesukaran memandangkan kawasan pencarian adalah berbatu dan berlumpur yang menyebabkan pasukan mencari mengambil masa lama untuk memeriksa sesuatu kawasan.

“Bagi operasi mencari dan menyelamat esok, kita akan menambah lagi kekuatan anggota pasukan dan turut mendapatkan bantuan unit udara polis bagi mengesan lokasi yang disyaki mangsa dihayutkan,” katanya.

Setakat ini, banjir yang berlaku akibat fenomena kepala air dari Gunung Jerai, itu mengorbankan empat mangsa selain menyebabkan kerosakan kepada kawasan kediaman dan penempatan sekitar gunung itu.

– BERNAMA