Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Johor jejas lima daerah, mangsa meningkat 1,780 orang

JOHOR BAHRU, 2 JAN: Banjir di Johor kini melibatkan lima daerah dengan jumlah mereka yang terjejas meningkat kepada 1,780 mangsa setakat 8 malam berbanding 1,000 orang pada 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata Batu Pahat menyusuli Johor Bahru, Kulai, Kluang dan Kota Tinggi dilanda bencana itu.

Menurut beliau, 14 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan keseluruhan 28 PPS beroperasi setakat 8 malam iaitu 12 di Kluang, Kota Tinggi (7), Johor Bahru (6), Kulai (2) dan satu di Batu Pahat.

“Di Kluang, jumlah mangsa terus meningkat iaitu seramai 698 mangsa daripada 206 keluarga melibatkan Kampung Yap Tau Sah, Kampung Kola Air, Kampung Haji Noh, Kampung MD Amin, Kampung Org Asli Tanah Runtuh.

“Sementara Johor Bahru merekodkan 690 mangsa daripada 186 keluarga melibatkan antaranya penduduk di Kampung Laut Batu 10 Skudai, Kampung Sentosa Barat, Kampung Sentosa Damai, Lorong Aris Batu 8 Skudai serta Rumah Orang Tua Sam Poh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Vidyananthan berkata di Kota Tinggi, seramai 286 mangsa daripada 66 keluarga dipindahkan, melibatkan penduduk Kampung Bukit Raja, Kampung Sri Delima, Kampung Sri Jaya, Kampung Muhibbah, Kampung Sedili Kecil dan Kampung Lepau.

Sementara itu di Batu Pahat, tujuh mangsa daripada empat keluarga melibatkan penduduk di Kampung Sungai Sedi Yong Peng, manakala Kulai melibatkan 99 mangsa daripada 25 keluarga dari Kampung Sungai Siam dan Kampung Jaya Sepakat.

Selain itu, satu kes kematian akibat lemas dilaporkan di Kampung Contoh dekat Kluang, manakala laluan FT092 Jalan Pengerang-Kota Tinggi ditutup sementara selepas ditenggelami air, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,000 orang terjejas banjir di empat daerah di Johor

JOHOR BAHRU, 2 JAN: Bencana banjir di negeri ini menjejaskan empat daerah setakat 4 petang tadi dengan 1,000 mangsa daripada 274 keluarga dipindahkan ke 14 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata Kulai menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu ekoran hujan sederhana lebat yang berterusan sejak pagi Jumaat, selepas Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi.

“Setakat 4 petang, enam PPS dibuka di Johor Bahru, Kota Tinggi (5), Kulai (2) manakala Kluang (1),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Vidyananthan, seramai 690 orang daripada 189 keluarga yang terjejas di Johor Bahru melibatkan penduduk di Kampung Laut Batu 10 Skudai, Kampung Sentosa Barat, Kampung Sentosa Damai, Lorong Aris Batu 8 Skudai serta Rumah Orang Tua Sam Poh.

Kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10 Skudai; Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai; Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina)) Kuo Kuang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai, SMK Bukit Mutiara serta Dewan raya Kampung Sungai Tiram.

Beliau berkata 188 orang daripada 53 keluarga terjejas di Kota Tinggi pula melibatkan penduduk di Kampung Bukit Raja, Kampung Sri Delima, Kampung Sri Jaya, Kampung Muhibbah, Kampung Sedili Kecil serta Kampung Lepau, dengan kesemuanya ditempatkan di PPS SK Telok Ramunia, SK Sungai Telor, Dewan Kampung Muhibbah, SK Sedili Kecil serta Balai raya Kampung Lepau.

Di Kulai, 99 orang daripada 25 keluarga dari Kampung Sungai Siam dan Kampung Jaya Sepakat ditempatkan di PPS SK Murni Jaya dan SK Senai manakala di Kluang seramai 23 orang daripada tujuh keluarga di Kampung Yap Tau Sah berada di PPS SJK (Cina) Ping Ming.

Beliau berkata laluan FT092 Jalan Pengerang-Kota Tinggi ditutup sementara selepas ditenggelami air.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Johor kekal lima orang

JOHOR BAHRU, 19 JULAI: Jumlah mangsa banjir di Johor pagi ini kekal dengan hanya lima orang yang masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Parit Keroma Darat, dekat Muar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan menerusi satu kenyataan hari ini berkata, lima mangsa yang terlibat adalah daripada dua keluarga dari Parit Keroma Darat.

“Keadaan paras air di beberapa kawasan yang dinaiki air mulai surut secara perlahan berikutan cuaca baik namun pemantauan berterusan akan terus dilakukan di kawasan berisiko banjir.

“Pemantauan kesihatan juga dilakukan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi memastikan tahap kesihatan mangsa dan petugas berada dalam keadaan baik, serta pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Johor kini hanya 177

JOHOR BAHRU, 27 JUN: Keadaan banjir di dua daerah di Johor bertambah baik dengan hanya 177 mangsa merangkumi 47 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam ini, berbanding 241 orang daripada 63 keluarga yang direkodkan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata sebuah PPS di Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan Peserai ditutup pada 5 petang tadi.

Masih ada tiga PPS yang beroperasi ketika ini iaitu dua di Muar dan satu di Batu Pahat.

“Dua PPS di Muar menempatkan 145 mangsa daripada 40 keluarga sementara di Batu Pahat masih ada 32 mangsa melibatkan tujuh keluarga di sebuah PPS,” katanya dalam kenyataan malam ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pertembungan air pasang, hujan luar biasa faktor banjir di Johor

KOTA TINGGI, 17 DIS: Pertembungan air pasang, ditambah dengan taburan hujan luar biasa sehingga ada kawasan yang menerima taburan hujan menyamai hujan selama lima bulan adalah antara faktor yang menyumbang kepada banjir di negeri ini, sejak Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata berdasarkan analisis data yang diperolehi dari agensi-agensi berkaitan, apa yang berlaku pada Sabtu dan Ahad menyaksikan sebahagian besar kawasan di Johor menerima jumlah hujan di luar jangkaan dan terlalu tinggi.

“Saya berikan satu contoh, di kawasan Empangan Labong, Mersing. Dalam tiga hari sahaja, jumlah hujan turun adalah sebanyak 779 milimeter (mm), iaitu bersamaan jumlah hujan lima bulan di Mersing, tetapi turun dalam masa tiga hari sahaja.

“(Dan) kita juga ambil faktor air pasang. Kebetulan, hari Sabtu, Ahad dan Isnin lepas terdapat air pasang.. itulah kenapa bila hujan turun dengan banyak pada hari Sabtu dan Ahad, itu juga mengakibatkan faktor utama mengapa banjir di Kota Tinggi dan Mersing,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah pam Sungai Kemang, di sini, hari ini.

Puah berkata pihaknya turut menjangkakan gelombang banjir seterusnya berikutan jangkaan air pasang pada 25, 26 dan 27 Disember, yang berkemungkinan lebih tinggi parasnya dari yang lepas.

“(Dan) kalau ada hujan ketika itu, mungkin ada gelombang (banjir) seterusnya lagi… saya ada dengar pada Hari Krismas mungkin ada hujan yang lebat. (Bagaimanapun), kita nak meyakinkan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan sudah buat persediaan terbaik untuk memastikan kalau ada banjir lagi… kita akan bersedia,” kata Puah.

Sementara itu, kerajaan negeri bakal melaksanakan rancangan tebatan banjir di Sungai Pemandi, dekat sini, yang dijangka bermula akhir tahun hadapan dan siap dalam masa empat tahun.

Projek itu bakal mengurangkan banjir di kawasan Taman Aman, Taman Mawai dan kawasan sekitar, antara kawasan yang terjejas teruk banjir kali ini.

Ia bakal melibatkan pembinaan rumah pam, ban sungai dan jambatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir di Johor ragut nyawa seorang remaja lelaki

KLUANG, 17 DIS: Bencana banjir yang melanda Johor sejak 14 Disember lepas meragut nyawa mangsa pertama apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun lemas setelah tergelincir dan terjatuh ke dalam parit di hadapan sebuah rumah di Kampung Parit Haji Salam, Simpang Renggam, dekat sini, kira-kira pukul 2 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata Mohd Denis Irfan sebelum itu dikatakan bersama-sama saudara dan rakannya meninjau keadaan rumah yang telah dinaiki air.

Katanya ketika melintasi jejantas di hadapan sebuah rumah, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ibrahim Majid itu tergelincir sebelum terjatuh ke dalam parit.

“Akibat terjatuh ke dalam parit, mangsa berkenaan lemas apabila gagal diselamatkan oleh saudara serta dua rakannya yang turut berada di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati keadaan air yang keruh membuatkan mangsa tidak dapat melihat dengan jelas jejantas yang dibina untuk menuju ke rumah berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jelas Mohd Abduh, mayat mangsa ditemui oleh orang kampung 10 minit kemudian berhampiran dengan lokasi kejadian dan dibawa ke Balai Polis Simpang Renggam sebelum dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang, untuk proses dokumentasi dan bedah siasat.

“Kami sahkan kejadian ini merupakan kematian pertama membabitkan bencana banjir di daerah ini yang bermula pada 14 Dis lepas. Polis menasihatkan orang ramai supaya mengawal anak di musim banjir ini agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, kerja menyelamat mangsa turut membabitkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Johor, Pahang meningkat

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Keadaan banjir di sembilan daerah di Johor pada keseluruhannya bertahan dengan lebih 9,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di seluruh negeri itu.

Kecuali Tangkak, sembilan daerah yang terjejas ialah Mersing; Kota Tinggi; Kluang; Segamat; Pontian; Batu Pahat; Kulai; Johor Bahru; dan Muar

Setakat 8 pagi ini bilangan mangsa yang dipindahkan ialah 9,151 orang. Jumlah itu meningkat sedikit berbanding 9,043 orang pada 9.30 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata kesemua mangsa adalah dari 2,475 keluarga itu ditempatkan di 93 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kluang setakat ini mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 2,666 orang daripada 747 keluarga diikuti Kota Tinggi iaitu 2,659 orang daripada 695 keluarga,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca bahaya di daerah Mersing dan Kota Tinggi dan amaran cuaca buruk di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, serta amaran waspada di Tangkak.

Jalan Kampung Mawai Lama dan Jalan Dalam dekat Kota Tinggi, ditutup untuk kesemua kenderaan manakala Jalan Telok Arong di Mersing, dibuka satu laluan untuk kenderaan ringan sahaja.

Di PAHANG, hujan berterusan sejak semalam menyebabkan keadaan banjir di Rompin semakin buruk dengan 1,003 orang daripada 256 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara pagi ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7 pagi tadi, melaporkan jumlah itu bertambah berbanding 858 orang daripada 232 keluarga yang ditempatkan di PPS pada malam tadi.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pianggu mencatat bilangan mangsa paling ramai iaitu 284 orang daripada 81 keluarga; SK Sarang Tiong (208 orang, 44 keluarga); PPS Kampung Setajam (187 orang, 51 keluarga); Balai Raya Rekoh (119 orang, 32 keluarga); dan Dewan Angkat Berat Rompin (44 orang, 11 keluarga).

Paras air Sungai Pukin di daerah itu juga setakat pagi ini melebihi paras wasapada dengan bacaan terkini 44.06 meter (paras waspada 44 meter) dengan hujan diramal sepanjang hari ini.

Di SARAWAK, seramai sembilan orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Suarah, Marudi di Miri apabila rumah mereka di Kampung Padang Kerbau dinaiki air berikutan hujan lebat dan air pasang tinggi.

Sementara itu di MELAKA, banjir pulih sepenuhnya dan 13 orang dari tiga keluarga yang dipindahkan di Alor Gajah dekat sini semalam, dibenarkan pulang ke rumah mereka pukul 9 pagi ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata sehubungan itu pusat pemindahan di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Bukit Balai, ditutup.

Cuaca di Melaka pagi ini cerah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Johor terus meningkat

JOHOR BAHRU, 15 DIS: Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu menyaksikan jumlah mangsa banjir di Johor mengalami peningkatan mendadak kepada 3,835 orang melibatkan 1,054 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,853 orang daripada 770 keluarga yang direkodkan malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata hujan lebat yang berterusan menyebabkan sebuah lagi daerah iaitu Batu Pahat turut dilanda banjir, menjadikan keseluruhan daerah yang terjejas meningkat kepada tujuh.

Bagaimanapun, satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kluang iaitu Balai Raya Kampung Melayu Batu Empat Paloh ditutup sepenuhnya pada 9 malam tadi.

Menurutnya kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di 52 PPS iaitu 13 di Kota Tinggi, 10 di Mersing, 20 di Kluang, enam di Segamat dan masing-masing satu di Kulai, Muar dan Batu Pahat.

“Daerah Mersing mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 1,262 orang daripada 352 keluarga diikuti Kota Tinggi dengan 1,071 orang daripada 267 keluarga,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, di Kota Tinggi empat jalan yang terjejas masih tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan iaitu Jalan Batu 18, Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Berkelompok dan Jalan Ladang Bukit Payong dan Jalan Kampung Mawai Lama.

Menurut beliau, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca bahaya (merah) di daerah Mersing dan Kota Tinggi manakala, amaran cuaca buruk pula di Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, serta amaran waspada di Tangkak sehingga hari ini.

-BERNAMA