Categories
EXCO SELANGOR

NGO disaran bantu ibu tunggal mohon Kiss dalam talian

SHAH ALAM, 1 MEI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta memain peranan membantu ibu tunggal di negeri ini memohon bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) secara dalam talian yang akan dibuka minggu depan, kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia kerana ramai dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai capaian internet dan mahir dalam penggunaan teknologi.

“Insya-Allah permohonan Kiss dalam talian bakal dibuka minggu depan. Oleh itu, saya mohon jasa baik NGO bantu ibu tunggal yang tiada akses internet untuk memohon,” katanya kepada SelangorKini.

Permohonan bantuan Kiss dibuka berikutan banyak maklum balas diterima daripada kumpulan itu membabitkan pelbagai kaum dan kategori yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kiss mengadakan program bantuan khas kepada ibu tunggal dengan manfaat diterima RM200 bagi pembelian barangan keperluan asas yang boleh dilakukan di kedai tertentu seluruh Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Bantuan Kiss untuk ibu tunggal dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan Negeri akan membuka permohonan Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) secara dalam talian kepada golongan ibu tunggal di negeri itu dalam tempoh terdekat, kata EXCO kebajikan, pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan banyak maklum balas diterima daripada kumpulan itu membabitkan pelbagai kaum dan kategori yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam masa seminggu kita akan umumkan bantuan Kiss yang boleh dimohon mereka malah kita tengah kemaskini sistem permohonan dalam talian bagi melayakkan semua ibu tunggal.

“Memandangkan sambutan menggalakkan, kita akan guna peruntukan Kiss sedia ada dan tiada keperluan untuk memohon dana tambahan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Mengulas bantuan nafkah khas di bawah kendalian Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), beliau berkata sumbangan wang tunai disalurkan bagi meringankan beban kewangan kepada ibu tunggal yang sudah memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP.

“Bagaimanapun, pemohon perlu melalui proses tapisan bagi melayakkan mereka mendapat bantuan ini,” katanya.

Setakat jam 9 pagi tadi, Jakess menerima 1,618 permohonan daripada golongan terbabit untuk Dana Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor.