Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan Prihatin Nasional dilanjut, bayaran bermula Oktober

SHAH ALAM, 23 SEPT: Insentif pemberian tunai di bawah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dilanjutkan dengan peruntukan hampir RM7 bilion, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bantuan kali kedua itu bakal memanfaatkan 10.6 juta penerima yang pernah mendapat manfaat sama sebelum ini.

“Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Kerajaan akan menyalurkan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang diluluskan di bawah BPN sebelum ini,” katanya dalam Perutusan Khas Kita Prihatin di Putrajaya hari ini.

Jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 adalah:

1. RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40
2. RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang
3. RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40
4. RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang

Muhyiddin berkata bayaran akan dibuat dalam dua ansuran iaitu hujung Oktober ini dan kedua pada Januari tahun depan.

Beliau berkata bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama sebanyak RM700 dan kedua RM300.

“Bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.

“Saya berharap dengan adanya bantuan tambahan ini, saudara dan saudari dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian saudara dan saudari seisi keluarga,” kata beliau lagi.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rayuan BPN lalui proses saringan dipantau 11 agensi

CYBERJAYA, 12 MEI: Pemohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang sebelum ini permohonan mereka ditolak, terutama individu yang mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kini boleh mengemukakan rayuan di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau secara dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Datuk Sabin Samitah berkata mereka boleh hadir ke mana-mana cawangan LHDN dan mengisi borang rayuan yang diberikan di samping menyertakan sekali dokumen sokongan sebagai bukti kedudukan kewangan.

“Setiap proses permohonan atau rayuan akan melalui proses saringan yang telah ditetapkan dalam pangkalan data sistem LHDN khas untuk tujuan BPN ini,” katanya dalam temu bual bersama media di sini, hari ini.

Beliau berkata LHDN akan melakukan semakan silang dengan pangkalan data terkini daripada 11 agensi berkaitan termasuk SSM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Semakan ini bertujuan mengelakkan sebarang penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, katanya.

“Contohnya, kita dapat mengenal pasti pemohon yang memiliki syarikat, dengan pangkalan data menunjukkan syarikat aktif berdasarkan aktiviti transaksi perbankan syarikat yang terlibat,” katanya.

Sabin berkata bagi isu pemohon yang berdaftar dengan SSM, LHDN menasihatkan mereka supaya memfailkan borang nyata cukai pendapatan masing-masing untuk mengelak isu ini berulang.

“Pengisytiharan pendapatan kepada LHDN tidak bermaksud seseorang itu secara automatik akan dikenakan cukai.

“Ini kerana perniagaan pasti ada pendapatan dan perbelanjaan yang dibenarkan sebagai tolakan, dan hanya keuntungan akan dikenakan cukai,” katanya.

Beliau berkata bagi yang kehilangan pekerjaan atau diberhentikan pada tahun ini atau tahun lepas, mereka perlu mengemukakan surat pemberhentian dan penyata gaji terakhir dalam rayuan itu.

“Ini kerana LHDN menggunakan rekod percukaian Tahun Taksiran 2018 dan pangkalan data kerajaan yang berkaitan. Kita tidak dapat menggunakan rekod 2019 kerana tempoh pengisytiharan cukai masih belum ditutup dan telah dilanjutkan disebabkan Covid-19,” katanya.

Bagi kes pemohon yang dikatakan telah meninggal dunia tetapi masih hidup, Sabin berkata ia merupakan kes terpencil dan data telah diambil daripada JPN.

“Individu berkenaan boleh membuat rayuan dengan LHDN untuk mendapat BPN namun beliau juga perlu ke JPN untuk membetulkan rekod tersebut,” katanya.

Kementerian Kewangan dalam laporan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dikeluarkan hari ini berkata sehingga 10 Mei, sebanyak RM11 bilion termasuk tambahan RM1 bilion daripada peruntukan asal RM10 bilion telah diluluskan dan 10.6 juta rakyat merupakan penerima BPN.

Tempoh rayuan BPN juga dilanjutkan sehingga 31 Mei ini dan bagi permohonan yang tidak luluskan, pemohon boleh menghantar e-mel berserta dokumen berkenaan kepada [email protected] atau hadir ke mana-mana kaunter LHDN di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BPN dikaji semula jika PKP lanjut lebih tiga bulan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Kerajaan bersedia mengkaji semula jumlah bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan yang diberikan bermula 6 April lalu mampu menampung kehidupan rakyat selama tiga bulan.

“Kalaulah krisis Covid-19 tidak dapat ditangani dalam masa tiga hingga enam bulan, kita mesti mengkaji semula jumlah pembayaran,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Soal Rakyat, malam tadi.

Pada 27 Mac lalu, kerajaan mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 bagi memastikan tiada golongan yang tercicir.

Pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata sebanyak dua juta permohonan baharu dan 200,000 rayuan BPN diterima kerajaan setakat ini.

“Jika melihat trend (jumlah permohonan baharu) masih lagi di dalam bajet fiskal berjumlah RM250 bilion, memang boleh kita berikan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Bantuan Prihatin Nasional perlu waspada elak ditipu

SHAH ALAM, 29 MAC: Penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bermula April ini diminta berhati-hati dengan ‘scammer’ bagi mengelakkan penipuan berlaku.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata penerima diminta merujuk kepada sumber rasmi serta tidak mendedahkan maklumat diri kepada pihak ketiga.

“Pembayaran BPN akan dibuat melalui dua fasa iaitu akhir April dan Mei ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan memaklumkan penerima BPN tidak perlu membuat permohonan baharu berikutan pihaknya akan menggunakan data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) selain Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Bantuan akan dimasukkan ke dalam nombor akaun yang berdaftar dengan BSH dan LHDN.

“Orang awam yang tidak tersenarai dalam data BSH dan LHDN boleh buat permohonan baharu bermula 1 April di laman web BSH, LHDN dan Kementerian Kewangan,” katanya.