Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan ayam cukup, tidak perlu keluar permit import

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Bekalan ayam bagi pasaran tempatan dijamin mencukupi dan tiada keperluan untuk kerajaan mengeluarkan permit import (AP) bagi barangan berkenaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pihaknya kerap mengadakan sesi libat urus dengan penternak ayam di seluruh negara bagi memastikan bekalan ayam dalam negara mencukupi.

“Kenyataan yang dibuat oleh timbalan saya Datuk Rosol Wahid adalah sekiranya ada keperluan kerajaan perlu mengeluarkan AP untuk ayam diimport untuk menampung permintaan tempatan, tetapi buat masa ini ia tidak perlu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Riang Riuh Raya dan Malaysian Marketplace di sebuah pusat membeli belah terkemuka di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Shazni Munir Mohd Ithnin yang mempersoalkan tindakan kementeriannya yang mahu mengeluarkan AP ketika masih berbaki tiga minggu sebelum Aidilfitri.

Turut hadir Rosol, dan Penasihat Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd Datuk Abdul Wahab Khalil.

Dalam pada itu Nanta turut menafikan pihaknya lambat dalam menangani isu kenaikan harga ayam.

Sebaliknya, beliau berkata mengambil langkah yang holistik dalam menyelesaikan masalah berkenaan agar semua pihak, bukan sahaja pengguna, malah peniaga dan penternak tidak terjejas.

“Kita perlu faham, peniaga ayam yang berniaga di pasar adalah peniaga kecil dan mereka membeli ayam dengan harga yang tinggi daripada pengedar atau penternak, oleh itu mereka perlu meningkatkan sedikit harga.

“Tetapi mulai esok (hari ini), dengan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, harga ayam telah ditetapkan sebanyak RM7.90 sekilogram (kg), ia masih lagi di bawah RM8,” katanya.

Mengulas mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia, Nanta berkata pihaknya menyasarkan jumlah jualan pada tahun ini sebanyak RM120 bilion.

Beliau yakin angka berkenaan dapat dicapai berdasarkan prestasi pada tahun lepas yang mana jualan barangan buatan Malaysia direkodkan sebanyak RM130 bilion berbanding sasaran sebanyak RM 100 bilion.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP beri jaminan bekalan ayam cukup

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan ayam daging mencukupi walaupun sebuah kilang pengeluar ayam utama negara diarah tutup baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagi tujuan kelangsungan pengedaran bekalan, pihaknya mengarahkan sebuah kilang pengeluar ayam di Pedas, Negeri Sembilan untuk membantu memproses pengeluaran ayam daging.

“Pengeluaran bekalan ayam daging tetap stabil dengan pengeluaran oleh kilang lain yang masih beroperasi seperti biasa dan dapat memenuhi keperluan pasaran.

“Berdasarkan rekod, tiada sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan ayam di pasaran yang diterima KPDNHEP di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sabtu lepas, kilang pemprosesan ayam di Serkam, Melaka diarah tutup selepas 604 pekerjanya disahkan positif Covid-19 sejak saringan dilakukan pada 1 Februari.

Mengulas lanjut, Nanta berkata langkah itu diambil hasil pemeriksaan dan penelitian terhadap operasi kilang terbabit bagi menentukan strategi serta tindakan susulan sebagai usaha memastikan bekalan ayam tidak terjejas.

Katanya, KPDNHEP secara berterusan mengadakan libat urus dengan pihak industri ayam daging dan telur bagi menyelia operasi pengeluaran untuk memastikan kestabilan bekalan dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun beliau mengingatkan pemain industri mengenai pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang beroperasi selain tanggungjawab pengusaha menyaring pekerja dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.

Selain itu, Nanta turut menasihatkan agar pengeluar, pembekal dan peruncit tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam ketika ini.

“KPDNHEP akan melaksanakan pemantauan di peringkat pengedaran dan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya sambil menasihatkan pengguna untuk tidak melakukan pembelian panik.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan menerusi portal [email protected], pusat panggilan 1800-886-800, Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 / 6245, e-mel ke alamat [email protected], menggunakan aplikasi Ez ADU atau WhatsApp ke 019-279 4317.

– BERNAMA