Categories
SELANGOR

Bengkel Pintar Radom: Sasar laksana 200 kerja pembaikan

SEPANG, 10 JUN: Anak syarikat Airbus, Sepang Aircraft Engineering (SAE) membuka bengkel membaiki radom (muncung kepala pesawat) pintar pertama Malaysia dan menyasar melakukan kira-kira 200 kerja pembaikan tahun ini.

Bengkel radom pintar itu adalah inisiatif Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia, yang mana Airbus adalah rakan pengasas, dan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Ketua Pegawai Eksekutif SAE, Raymond Lim berkata, dengan menggunakan teknologi pintar dan pendigitalan, ia boleh meningkatkan kecekapan di SAE dan menyediakan lebih banyak nilai bagi pelanggan dengan mengurangkan masa henti pesawat sehingga 40 peratus.

SAE mengkhususkan dalam penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat komersial, enjin dan komponen.

“Ini merupakan sebahagian daripada antara usaha yang dilakukan oleh Airbus di Malaysia yang berpotensi untuk mentransformasikan sektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

“Kami melakukan 170-180 kerja pembaikan radom tahun lepas dan dengan peningkatan pemproses radom pintar yang kami laksanakan, kami mengunjurkan kira-kira 200 pembaikan radom tahun ini,” kata Lim kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bengkel radom pintar itu oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, di sini, hari ini.

Radom pesawat ialah bahagian yang menutupi muncung pesawat bagi melindungi antena yang dipasang di dalamnya daripada aliran angin yang kuat, hujan, kilat atau dilanggar burung.

Sistem transmisi utama terletak dalam radom termasuklah radar pengesanan cuaca dan sistem pendaratan instrumen.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri mempunyai dasar yang jelas bagi industri aeroangkasa dengan pelaksanaan Majlis Aeroangkasa Selangor untuk mengembangkan industri itu di negeri ini.

“Kami memiliki ekosistem lengkap industri aeroangkasa di Selangor. Itulah sebabnya mengapa kami memilih industri aeroangkasa sebagai satu daripada kluster bagi strategi pelaburan dalam pelan tindakan pelaburan kami sejak 2015,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bengkel pintar tingkat tahap kecekapan SAE

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 10 JUN: Pembukaan Bengkel Pintar Radom mampu meningkatkan tahap kecekapan di Sepang Aircraft Engineering (SAE) selain memberi perkhidmatan lebih bernilai kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering, Raymond Lim berkata, hal itu dapat dilihat melalui penggunaan teknologi pintar dan digitalisasi yang dilaksanakan bengkel pintar terbabit.

Katanya, ia juga sebahagian daripada usaha berterusan dilaksanakan Airbus di Malaysia yang berpotensi untuk mengubah sektor penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan (MRO).

“Kedua hangar ini boleh menempatkan lapan pesawat lorong tunggal pada satu-satu masa yang turut merangkumi ruang mengecat tertutup mesra alam berdedikasi pertama di Malaysia, iaitu mampu menangani kerja mengecat rumit seperti insignia serta dekorasi pesawat.

“Bengkel berteknologi canggih SAE juga menyediakan perkhidmatan pembaikan dan baik pulih kepada sebilangan besar pesawat serta komponen berkaitan merangkumi kabin, kokpit pesawat, bahagian struktur dan pemasangan kerusi penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pelancaran Pembukaan Bengkel Pintar Radom di Sepang Aircraft Engineering, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Bengkel pertama milik SAE yang dibuka di Malaysia itu berfungsi sebagai tempat membaik pulih radom pada muncung pesawat.

Bengkel itu turut merangkumi tiga bilik pemeriksaan, sebuah bilik mengempelas, dua ruang menyembur cat yang khusus, sebuah bilik bersih dan sebuah bilik pengeringan serta membaik pulih cat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bengkel Pintar Radom pertama negara dilancar di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

FOTO REMY ARIFIN

SEPANG, 10 JUN: Pembukaan Bengkel Pintar Radom pertama di Malaysia yang dilancarkan di Sepang Aircraft Engineering (SAE) mencatatkan sejarah tersendiri kepada Selangor, selaras visi ‘Smart Selangor 2025′.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bengkel yang berfungsi sebagai tempat membaik pulih radom pada muncung pesawat itu adalah milik SAE yang juga anak syarikat milik penuh Airbus.

Katanya, bengkel pintar itu terdiri daripada tiga bilik pemeriksaan, sebuah bilik mengempelas, dua ruang menyembur cat yang khusus, sebuah bilik bersih dan sebuah bilik pengeringan serta membaik pulih cat.

“Saya difahamkan tahap kecekapan bengkel ini turut dipertingkatkan melalui penggunaan teknologi digital pintar secara ekstensif yang dapat memanfaatkan data diperolehi daripada pesawat sepenuhnya dan pengunaan fungsi automasi secara maksimum.

“Menariknya, pembukaan bengkel seumpama ini selaras Revolusi Industri 4.0 dan sebahagian daripada rangkaian Selangor menuju negeri pintar menjelang 2025.

“Malah, ia juga sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke 11, sokongan dana dan geran adalah daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Melancarkan Pembukaan Bengkel Pintar Radom di Sepang Aircraft Engineering, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Sepang Aircraft Engineering, Raymond Lim.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau optimis pelaburan seumpama itu dapat diteruskan lagi di Selangor pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada Airbus yang masih setia di Sepang dan Subang, harap dapat meneruskan pelaburan sebegini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Airbus adalah rakan kongsi antarabangsa terbesar Malaysia bagi sektor aeroangkasa dengan perniagaan pembekalan dan perkhidmatan di negara ini bernilai RM1.67 bilion setiap tahun bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.

Selain itu, aktiviti dikendalikan syarikat itu turut memberi pekerjaan kepada 4,000 rakyat Malaysia bagi memenuhi keperluan industri penerbangan negara yang pesat berkembang.