Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib pecat Muhyiddin kerana persoal isu 1MDB – Ali Hamsa

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri selepas beliau membangkitkan terlalu banyak soalan berkaitan dengan dana kekayaan berdaulat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada tahun 2015.

Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, 64, berkata bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga dipecat dari jawatannya pada Julai 2015 disebabkan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah hilang keyakinan terhadap ketua penasihat undang-undangnya.

Ali semasa menjelaskan perkara itu berkata Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu telah lantang bersuara di dalam kabinet sebelum beliau dipecat.

“Apabila duduk dalam mesyuarat kabinet, kami dapat lihat ada perbalahan, kebanyakannya dari satu pihak sahaja, Muhyiddin yang membangkitkan banyak persoalanan dalam kabinet, kami tahu ada sesuatu yang dibangkitkan,” katanya.

Saksi keempat pendakwaan itu berkata demikian semasa disoal oleh ketua pendakwaan Datuk Seri Gopal Ram di hari kedua perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Ditanya reaksi tertuduh terhadap semua soalan yang dibangkitkan oleh Muhyiddin, saksi itu berkata Najib kelihatan tenang semasa mesyuarat kabinet dan ada sesetengah soalan dijawabnya, dan sesetengahnya dijawab oleh menteri kewangan kedua.

Ditanya apa terjadi kepada Muhyiddin selepas beliau bertanya semua soalan-soalan itu, Ali berkata “Saya rasa beliau dipecat dari jawatannya”.

Sri Ram: Anda (ketika itu) adalah Ketua Setiausaha kepada kabinet .. kepada negara.. kepada kerajaan. Anda memberi bukti bahawa Muhyiddin bertanyakan soalan berhubung 1MDB di dalam kabinet, dan jawapan juga telah diberikan. Anda juga sebentar tadi berkata dia (Muhyiddin) dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri, adakah anda mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai fakta-fakta yang berkaitan pemecatan itu?

Ali: Kenyataannya, dan juga pemecatan itu.. ia di luar pengetahuan saya kerana ia adalah hak prerogatif perdana menteri (Najib).

Semasa diminta memberi penjelasan mengenai suasana keadaan semasa Abdul Gani meninggalkan pejabatnya, saksi itu berkata “perdana menteri telah hilang keyakinan terhadapnya”.

“Sebenarnya selepas saya menyerahkan surat kepada Gani Patail, dan beritahu dia dipecat dari jawatan peguam negara, katanya beliau sudah menjangka ia akan berlaku. Ada dua peringkat proses bagi memecat Abdul Gani. Pertama surat kepada Yang di-Pertuan Agong memaklumkan mengenai pemecatan itu, dan diikuti dengan sepucuk surat dari Najib yang dialamatkan kepada Abdul Gani bagi memaklumkan mengenai pemecatannya.

“Saya dipanggil oleh Najib untuk menandatangani surat itu dan memberikannya kepada Abdul Gani, dan diarah memberitahunya mengenai pemecatan, di samping melarang beliau daripada membawa apa-apa dokumen keluar dari pejabat,” katanya.

Sri Ram: Tahukah anda apa yang mendorong kepada hilang keyakinan (terhadap Abdul Gani) itu?

Ali: Pada masa itu ada beberapa isu berhubung timbalan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin. Saya dimaklumkan oleh Najib bahawa Abdul Gani dan Muhyiddin bertemu di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur. Itu mungkin sesuatu yang boleh menjadi isu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Gani dikatakan sedang menyediakan pertuduhan berkaitan 1MDB, sebelum beliau digantikan pada 2015.

Semasa ditanya apa yang berlaku kepada bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kasssim Mohamed, saksi itu berkata Abu Kassim berhasrat untuk berhenti pada Ogos 2016 selepas mengalami masalah sakit belakang.

Najib, 66, diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili oleh peguam Datuk N. Sivananthan.

Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib tidak puas hati dengan kandungan laporan audit 1MDB – Ali Hamsa

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berpuas hati dengan kandungan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 24 Februari 2016, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkara itu dimaklumkan oleh bekas Perdana Menteri ketika beliau (Ali) dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 Februari 2016.

Ali, 64, yang menyandang jawatan itu sehingga Ogos 2018, berkata turut hadir dalam pertemuan itu ialah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

“(Dalam pertemuan itu) Datuk Seri Najib menyatakan beliau tidak mahu dua penyata kewangan berlainan bagi 1MDB dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB. Pada masa itu, saya tidak tahu apa masalahnya dengan penyata kewangan tahunan 1MDB yang dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB.

“Saya ingin menjelaskan di sini, sungguhpun saya adalah anggota lembaga penasihat 1MDB, saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat sebagai seorang daripada anggota lembaga penasihat 1MDB. Saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atas kedudukan saya sebagai anggota lembaga penasihat 1MDB.

“Saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana proses audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara (NAD). Dalam pertemuan itu, saya malah tidak pernah membaca Laporan Audit 1MDB yang Datuk Seri Najib maksudkan,” kata saksi pendakwaan keempat itu semasa pemeriksaan utama oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Ali, yang telah bersara, berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan Najib dan bekas Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Ditanya oleh Sri Ram apakah perilaku Najib semasa pertemuan itu, saksi itu berkata beliau dapati Najib kelihatan agak susah hati.

Ali berkata selepas perbincangan itu, beliau diarahkan oleh Najib untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara NAD dan Arul Kanda, yang mewakili 1MDB berhubung sebarang rasa tidak puas hati dengan Laporan Audit 1MDB oleh NAD.

“Saya turut diarahkan supaya tidak mencetak Laporan Audit 1MDB sehinggalah saya mendapat kelulusan beliau (Najib). Pada masa itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat tentang status Laporan Audit 1MDB; sama ada ia telah dimuktamadkan atau tidak,” katanya.

Ali, yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 38 tahun berkata, pada 23 Februari 2016, beliau meminta Ambrin dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh untuk bertemu beliau di pejabatnya dan beliau kemudian memberitahu mereka bahawa beliau sedang mengatur satu mesyuarat pada 24 Februari 2016, dan mengundang wakil daripada NAD, 1MDB, Perbendaharan dan Jabatan Peguam Negara.

Saksi itu berkata dalam pertemuan dengan Ambrin dan Shukry, bekas ketua setiausaha sulit Najib memberitahu mereka bahawa Laporan Audit 1MDB telah menjadi krisis yang mesti dikendalikan dengan segera.

“Ketika itu, saya tidak memberi sebarang respons, saya juga tidak bertanya lebih lanjut dan hanya membuat catatan apa yang diberitahu kerana pada masa itu, isu 1MDB adalah isu sensasi,” katanya.

Ali seterusnya berkata sebelum bermulanya mesyuarat pada 24 Februari 2016 yang dipengerusikannya, beliau memaklumkan kepada setiap yang hadir bahawa mesyuarat itu diadakan atas arahan Najib, yang mahukan penyelarasan dalam Laporan Audit 1MDB.

Saksi itu berkata beliau hanya menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan Najib, yang memerlukan rundingan dan persetujuan daripada 1MDB serta NAD.

“Dalam mesyuarat itu, tiada minit dicatatkan. Saya kemudian membenarkan ahli mesyuarat untuk membincangkan isu yang berbangkit daripada Laporan Audit 1MDB. Semua isu berkaitan Laporan Audit 1MDB yang dibangkitkan oleh Laporan Audit Negara dibincangkan satu per satu. Ia kemudiannya ditangani oleh Arul Kanda,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA