Categories
NASIONAL

ABIM minta syarikat terlibat Israel putus hubungan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 16 OKT: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk serangan berterusan dilancarkan Israel ke atas bumi Palestin mengakibatkan kemusnahan dan pembunuhan rakyatnya.

Presidennya, Mohamad Raimi Md Rahim, berkata siri pencerobohan itu adalah pencabulan hak asasi manusia yang sengaja dilakukan Israel ke atas Tebing Barat dan Jerusalem.

Katanya, ABIM memandang serius perkara itu dan telah menyatakan bantahan dengan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerikat Syarikat (AS) di Kuala Lumpur.

ABIM RAIMI“ABIM mendesak kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan dilakukan Israel ke atas Palestin.

“Kita meminta syarikat di negara ini yang mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan Israel agar memutuskan hubungan berkenaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Raimi berkata ABIM senada dan menyertai kempen global, Boikot, Penjualan dan Sekatan (Boycott, Divestment and Sanctions (BDS)) yang meningkatkan tekanan ekonomi dan politik ke atas Israel.

BDS adalah kempen dimulakan pada 9 Julai 2005 membabitkan 171 NGO Palestin untuk menyokong perjuangan rakyatnya bagi memboikot, penjualan dan sekatan antarabangsa terhadap Israel.

Kempen dijalankan juga supaya Israel mengakhiri pendudukan dan penjajahan ke atas bumi Palestin, memberikan kesaksamaan penuh untuk warga Arab-Palestin di Israel dan menghormati hak pelarian Palestin untuk kembali ke negaranya.

-NR-