Categories
AGENSI SELANGOR

Pewaris hargai langkah Kerajaan Negeri lindungi ketua kampung dengan insurans

SHAH ALAM, 30 MAC: Pewaris kepada ketua kampung yang meninggal dunia ketika dalam perkhidmatan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana melindungi golongan berkaitan dengan insurans.

Siti Anum Tawil. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Siti Anum Tawil, 50, berkata pampasan insurans diterima dapat meringankan beban mereka sekeluarga selepas pemergian suaminya, Mohd Khairuizam Mohd Tawil akibat penyakit jantung pada 21 Mac lalu.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana mengambil langkah seperti ini kerana secara tidak langsung membantu kami memandangkan empat anak saya masih bersekolah dengan yang paling kecil berusia lima tahun,” katanya ketika ditemui di Kampung Jalan Kebun di sini.

Terdahulu, Siti Anum dan Norhatini Jaafar menerima pampasan insurans RM5,000 dan bantuan makanan disampaikan EXCO Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi Borhan Aman Shah.

Norhatini Jaafar. Foto REMY ARIFIN/SELANGPRKINI

Norhatini, 48, memaklumkan bantuan diterima susulan kematian suaminya, Amran Sharudin, akibat serangan jantung pada 23 November tahun lalu membantu mereka sekeluarga khususnya dalam membaik pulih rumah.

“Selain itu ia juga boleh dijadikan sebagai modal memandangkan kami menjalankan perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Tanjung Sepat sumbang RM12,000 kepada masjid, surau

SHAH ALAM, 22 MAC: Sebanyak 12 masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat menerima sumbangan berjumlah RM12,000.

Ahli Dewan Negerinya berkata bantuan itu bertujuan membantu pengurusan rumah ibadat menambah tabungan yang kian berkurangan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Diharap sumbangan itu meringankan beban mereka selain dapat membantu menjelaskan bil utiliti.

“Kesemua masjid dan surau masing-masing terima RM1,000 serta cara agihan kita telah berikan terus secara berperingkat,” kata Borhan Aman Shah ketika dihubungi SelangorKini

Masjid terpilih ialah Masjid Kampung Sungai Kelambu, Masjid Al-Ehsan Kampung Sungai Lang Tengah, Masjid Ar-Rohmaniah Kampung Sungai Lang Baru, Masjid At-Toyyibin Kampung Endah dan Majis Innayatur Rahman Kampung Batu Laut.

Turut menerima sumbangan ialah Masjid Jamiul Muhsinin Kampung Kundang, Masjid Al Makmur Kampung Tanjung Sepat, Masjid Al Ehsan Kampung Tumbuk Darat, Masjid Al Ulum Kampung Bukit Bangkong dan Masjid Ar-Raudhah Kampung Hulu Teris.

Manakala, dua surau pula adalah Surau An Nur Kampung Ladang dan Surau Baitul Rohman.

Categories
ADN SELANGOR

100 meriahkan konvoi bermotosikal merdeka DUN Tanjung Sepat

SHAH ALAM, 1 SEPT: Seramai 100 peserta menyertai konvoi bermotosikal Merdeka Ride 2020 sempena Hari Kebangsaan di Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat semalam.

Ahli dewan negerinya berkata penganjuran konvoi itu bermula dari Pantai Batu Laut ke Pantai Bagan Lalang berlangsung meriah disertai individu pelbagai peringkat usia.

“Program bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dalam diri kita selaras dengan sambutan kemerdekaan disambut setiap tahun.

“Antara aktivitinya ialah bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar pantai. Terima kasih diucapkan kepada mereka yang menjayakannya,” kata Burhan Aman Shah yang turut serta dalam konvoi berkenaan.

Sementara itu, DUN Tanjung Sepat turut meraikan veteran tentera dan pesara polis pada malam ambang sambutan kemerdekaan di Pantai Batu Laut.

Antara acara diadakan ialah majlis penghargaan kepada pesara polis dan veteran tentera, Busking Bersama Wak Jeng, deklamasi sajak, persembahan koir patriotik, cabutan bertuah dan pertunjukan bunga api.