Categories
SENI

Cair: warna kehidupan pelbagai ragam

Oleh HAFIZAN TAIB

PAMERAN Cair menampilkan 16 pelukis Warna Air Studio Gallery (WASG) dengan pelbagai karya membabitkan aksi penuh ‘warna’ melalui medium lukisan cat air di Galeri Shah Alam, yang berlangsung sehingga 15 Julai ini.

49 karya dipamerkan itu jelas punya cerita tersendiri yang mahu dikongsikan pelukis seperti ‘Di dalam hujan’ karya Aziezan dengan situasi merempuh hujan lebat dalam kenderaan yang memberi pengalaman bermakna kepada orang ramai.

IMG_6283Pengunjung galeri terus dibawa menerokai liku hidup alam perkampungan dengan pembangunan di tengah kota melewati ‘Aku tanya apa khabar? (Nasib Si Kg. Baru) karya Azmannor, di samping pelbagai kisah lain menerusi karya Jamal Tommy, Ryzal Mysran, Suhaimi Hassan, Abey Zoul, Kamarul Rizam Kamaruddin dan yang lain.

Juga tidak ketinggalan Hisham Salmin dengan beberapa karya seperti ‘Kekal
kan Kami? Pekan Kajang’ dan ‘Kedai Bunga Seremban’ dengan penceritaan menarik dikongsi dalam kehidupan hasil pengalaman di lokasi.

Cair adalah pameran kolaborasi pelukis cat air tempatan yang menggabungkan pelbagai latar belakang dari seluruh Malaysia melalui kehebatan pelbagai teknik dan gaya penggunaan bahan di atas media.

IMG_6307Ia dipelbagaikan dengan tema menarik yang mencerminkan kehidupan masyarakat, keindahan alam semula jadi dan reka bentuk bangunan lama yang menggamit kenangan.

Kalangan pelukis ini menjadikan beberapa pelukis tersohor tempatan antaranya Maamor Jantan, Ismail Kadir, Sani Md Dom, Shafie Hassan, Rafie Rahman, Mokhtar Ishak dan pelukis antarabangsa seperti Joseph Zbuktic, David Curtist, Robert Wade dan Alvaro Castagnet sebagai sumber inspirasi.

Mereka terus giat dan gigih berkarya walaupun terpaksa menghadapi cabaran rutin kerja harian yang sentiasa menunggu.

Peluang diberikan Yayasan Seni Selangor bagi WASG mengadakan pameran itu digunakan sepenuhnya bagi menampilkan karya dengan medium cat air kerana bilangannya yang dikatakan agak kurang berbanding lukisan daripada bahan lain.

IMG_6221Penolong Kurator Yayasan Seni Selangor, Iszuan Ismail, berkata yayasan itu memberi peluang kepada kumpulan pelukis terbabit dengan majoriti daripadanya adalah mereka yang baharu atau kurang menonjol.

“Kita memberi peluang kepada mereka menampilkan hasil karya untuk dikongsi bersama masyarakat. Ternyata, pameran ini mendapat reaksi baik daripada orang ramai yang kagum dengan lukisan dipamerkan,” katanya.

Pameran terbabit dirasmikan Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mahadzir Lokman.