KUALA LUMPUR, 16 JAN: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Peck Yen Wei terlepas peluang terbaik untuk meraih kejuaraan di kejohanan utama pertama mereka selepas dikejutkan pasangan di ranking ke-182 dunia Terry Hee Yong Kai-Tan Wei Han dari Singapura pada final Terbuka India, hari ini.
Juara Antarabangsa Malaysia 2018 yang menduduki ranking ke-40 dunia bermula agak goyang apabila tewas di set pertama 15-21 pada perlawanan berlangsung di KD Jadhav Indoor Hall, New Delhi.
Harapan untuk bangkit di set kedua bagaimanapun tidak kesampaian apabila tewas 19-21, sekali gus memberi gelaran juara kepada Terry Hee-Wee Han untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$31,600 (kira-kira RM132,000) manakala naib juara AS$15,200 (kira-kira RM64,000).
Tang Jie-Yen Wei mara ke peringkat akhir Jelajah Dunia Super 500 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas mengenepikan senior mereka sendiri Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-19, 12-23, 21-14 dalam perlawanan separuh akhir yang sengit berlangsung selama 71 minit, semalam.
Sementara pasangan Singapura yang meraih gelaran Terbuka Czech 2021 pada Oktober lepas, mendapat laluan mudah apabila lawan mereka dari Rusia Rodion Alimov-Alina Davletova terpaksa menarik diri selepas Alimov disahkan positif Covid-19 sebelum aksi separuh akhir.
Sebelum itu, Terry Hee-Wei Han turut diberikan kemenangan percuma selepas pasangan tuan rumah Akshan Shetty-Simran Singhi terpaksa menarik diri pada pusingan kedua atas sebab sama.
– BERNAMA