Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Zon merah di Sabah berkurangan kepada 11 daerah

KOTA KINABALU, 27 DIS: Zon merah Covid-19 di Sabah berkurangan kepada 11 daerah hari ini berbanding 12 semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi berkata ini selepas Kudat bertukar kepada zon jingga yang sekali gus menambah bilangan zon berkenaan kepada tujuh berbanding enam, semalam.

Selain itu, katanya Sabah setakat ini masih merekodkan tujuh zon kuning dan dua zon hijau.

“Sebanyak 186 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 36,074 kes dengan satu kematian dilaporkan di Penampang hari ini.

“Sebanyak 109 kes atau 58.6 peratus daripada kes baharu itu berpunca daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala, 31 kes (16.7 peratus), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 30 kes (16.1 peratus), dan 16 kes (8.6 peratus) lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata Kota Kinabalu dan Tawau adalah antara lima daerah merekodkan kes positif tertinggi hari ini iaitu 40 kes, diikuti Penampang (22), Putatan (13) dan Sandakan (10).

Beliau berkata seramai 219 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 33,790 orang, manakala seramai 1,557 lagi sedang menerima rawatan.

Jumlah itu termasuk 564 pesakit di hospital dan 993 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 304,415 bakul makanan kepada golongan sasar di semua 27 daerah, seluruh negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 30,000 pesakit Covid-19 sembuh di Sabah

KOTA KINABALU, 26 DIS: Seramai 33,571 pesakit Covid-19 di Sabah telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital setakat hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata 214 pesakit sembuh hari ini berbanding 239 direkodkan semalam.

“Sebanyak 1,553 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 567 di hospital dan 986 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah. Bilangan pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi ialah 57 orang dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Sementara itu, Masidi berkata 248 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35,640 kes.

Beliau berkata 169 kes atau 68.1 peratus kes positif baharu direkodkan itu berpunca daripada saringan kontak rapat; saringan bergejala 37 kes (14.9 peratus); saringan kluster-kluster sedia ada 26 kes (10.5 peratus) dan 16 kes (6.5 peratus) lain-lain kategori.

“Tambunan kini bertukar daripada zon kuning kepada zon hijau sekali gus menyaksikan dua zon hijau direkodkan di Sabah termasuk Nabawan,” katanya dan menambah, kerajaan Sabah setakat ini telah mengagihkan 303,992 bakul makanan kepada golongan sasar di seluruh daerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Asrama Kompleks Sukan Sandakan jadi pusat rawatan Covid-19

SANDAKAN,18 OKT: Sabah akan mengoperasikan sebuah lagi pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah dengan memanfaatkan asrama Kompleks Sukan Sandakan di sini.

Pengerusi Lembaga Sukan Sabah (SSB) Dr KH Tan berkata lembaga itu membenarkan penggunaan kemudahan tersebut berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di daerah ini.

“Asrama ini boleh memuatkan 150 pesakit. Kunci asrama telah diserahkan kepada Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Dr Francis Paul semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asrama itu merupakan pusat rawatan keempat selepas HDOK Anjung Kasih yang berkapasiti 36 katil, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) (40 katil), Program Perumahan Rakyat Batu Putih (230 katil) dan Dewan Serba guna Kompleks Sukan Sandakan (200 katil).

Pusat rawatan ini berperanan sebagai wad diperpanjang HDOK untuk pesakit yang stabil selain 100 katil di hospital bagi pesakit berisiko tinggi.

Sementara itu, Dr Francis meluahkan penghargaan terhadap SSB kerana tampil membantu hospital tersebut yang berdepan peningkatan kes aktif secara berterusan dengan angka terbaharu 585 kes setakat semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Sandakan serta sukarelawan yang tidak kenal lelah dalam membantu mempersiap asrama berkenaan untuk menerima pesakit bermula petang ini.

– BERNAMA