Categories
NASIONAL

Cuepacs sambut baik penyeragaman gaji minimum seluruh negara

KUALA LUMPUR 6 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik pelaksanaan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, biarpun nilainya tidak begitu tinggi, namun Cuepacs berpuas hati kerana terdapat sedikit perubahan dalam angka gaji minimum dalam sektor pekerjaan.

 

“Pengumuman gaji minimum semalam merupakan pengumuman pertama. Harapan Cuepacs kepada kerajaan adalah agar kajian berkaitan pelaksanaan gaji minimum dilakukan secara berterusan.

“Cuma kita menaruh harapan kepada janji kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu kadar gaji minimum ditetapkan sebanyak RM1,500 di seluruh negara,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara selepas menimbang syor-syor yang diberikan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

CUEPACS minta insentif dua kenaikan gaji

KUALA LUMPUR 30 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan insentif 2 kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata inisiatif itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi, lapor BERNAMA.

“Selain itu, Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95. Kali terakhir elaun ini disemak adalah pada 2002.

“Sudah sampai masanya kerajaan menetapkan kadar minimum elaun ini sebanyak RM180. Ini cadangan Cuepacs,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata beberapa cadangan itu diharap diberi pertimbangan khusus menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober ini.

Kongres itu juga, menurut Azih memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memperluas kenaikan pangkat secara ‘time-based’ kepada kumpulan penjawat awam lain.

“Time-based kali pertama telah dilaksanakan kepada kumpulan pelaksana. Time-based kali pertama, kedua dan seterusnya diberikan kepada kumpulan guru. Kita minta kumpulan-kumpulan bukan guru dan kumpulan dalam perkhidmatan awam yang lain dipanjangkan untuk time-based dalam tempoh terdekat.

“Diharap cadangan ini dipertimbangkan dan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun hadapan. Hanya majikan (kerajaan) yang boleh membantu penjawat awam untuk memastikan mereka bukan lagi berada dalam keadaan susah atau miskin,” katanya.

=EZY=