Categories
SELANGOR

MPK enggan panjangkan kes penguatkuasa dan penjaja

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 2 MAC: Majlis Perbandaran Klang (MPK) enggan memanjangkan kekecohan antara penguatkuasa dan penjaja di hadapan Pusat Pemborong GM Klang tempoh hari meskipun ia tersebar di laman sosial.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, berkata tindakan penguatkuasa itu sebahagian daripada tanggungjawab dan rutin biasa jabatan ketika menjalankan tugas

Katanya, meskipun ada di antara mereka yang berniaga tanpa lesen, namun jika MPK ingin mengambil tindakan dalam kes kekocahan itu hanya disebabkan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (Akta 574).

IMG-20160302-WA0004Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kita mengenal pasti tempat baru untuk mereka di Jalan Kasuarina 4, tetapi penjaja enggan berpindah dengan alasan tertentu.

“Bagi kita perpindahan ini perlu untuk menyusun penjaja itu dan selanjutnya MPK boleh pantau dari segi kebersihan serta perlesenan.

“Kita tidak mahu memanjangkan kes dan berharap dapat diselesaikan secara baik antara kedua pihak,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada masa sama, katanya, satu laporan polis juga sudah dibuat untuk memaklumkan tindakan dilakukan MPK ketika kejadian berkenaan.

Mohamad Yasid berkata, notis berpindah turut diedarkan kepada 12 peniaga itu sejak Oktober 2015, namun tidak diendahkan peniaga sehingga hari kejadian.

Pada 29 Februari lalu, satu kekecohan berlaku antara peniaga dan penguatkuasa MPK di Jalan Kasuarina 5 dan 6 ekoran mereka enggan berpindah.

-AA-