Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Rancang waktu solat jika jalan jauh, supaya lebih sempurna

SHAH ALAM, 3 OGOS: Umat Islam yang bermusafir sepatutnya merancang waktu dan tempat solat supaya ibadah berkenaan dapat dilaksanakan dalam keadaan tenang serta selamat.

Mufti Selangor berkata pada masa sama, perancangan awal dapat mengelak salah faham masyarakat seperti kejadian pengguna lebuh raya menunaikan solat di lorong kecemasan lebuh raya.

“Solat itu kewajiban fardu ain dan tidak boleh ditinggalkan. Namun kita perlu mencari tempat sesuai demi menjaga keselamatan dan kebersihan kerana ia dituntut dalam Islam.

“Oleh sebab itu ada solat jamak iaitu menghimpunkan solat Zohor dan Asar, begitu juga Maghrib dan Isyak. Saya nasihatkan, jika ingin melakukan perjalanan jauh, rancang waktu solat terlebih dahulu kerana Islam sendiri tidak mahu umatnya mencampakkan diri ke tempat yang bahaya,” kata Dato’ Mohd Tamyes Abdul Hamid kepada SelangorKini.

Baru-baru ini, tular di media sosial menunjukkan pengguna lebuh raya menunaikan solat Subuh di lorong kecemasan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akibat kesesakan lalu lintas untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidiladha.

Susulan itu, pemegang konsesi KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad memaklumkan ia dikhuatiri boleh menyebabkan penunggang motosikal atau kenderaan lain yang mungkin tidak menyedari kehadiran individu di lorong kecemasan tersebut.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mufti seru umat Islam Selangor baca qunut nazilah

SHAH ALAM, 16 APRIL: Jabatan Mufti Negeri Selangor menyeru umat Islam di negeri ini membaca qunut nazilah pada setiap waktu solat fardu bagi menghindari penularan Covid-19, kata Mufti Selangor.

Dato’ Mohd Tamyes Abdul Hamid berkata selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, seruan bermunajat kepada Allah bermula dari solat Maghrib hari ini sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Dengan berlakunya Covid-19 di seluruh dunia dan negara khususnya, marilah kita bersama-sama bersatu hati, berpadu tenaga memantapkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Semoga wabak ini segera diangkat agar urusan ibadah dan kehidupan sedia kala dapat diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Setakat 12 tengah hari semalam, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor memaklumkan jumlah terkumpul positif Covid-19 di negeri ini sebanyak 1,316 kes manakala kes di seluruh negara pula berjumlah 5,072.