Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: Tiada pilihan raya negeri Perak

PUTRAJAYA, 10 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menafikan dakwaan bahawa suruhanjaya itu sedang mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya negeri di Perak berikutan tular surat mengenai lawatan ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan berkata, lawatan ke sekolah-sekolah itu merupakan urusan semakan yang dijalankan SPR dari semasa ke semasa.

“Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

“Ini adalah untuk memastikan jumlah pengundi di sesebuah pusat mengundi tidak terlalu ramai,” katanya.

Media dalam talian terutamanya menyiarkan surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak berhubung kelulusan dalam mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi.

Azhar berkata, lawatan berkenaan juga adalah selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958.

Azhar dalam pada itu menasihatkan pihak media atau orang ramai agar merujuk kepada SPR terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang tidak sewajarnya kepada orang awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Parlimen Tanjung Piai: Calon umur 18 boleh bertanding

PUTRAJAYA, 1 OKT: Parti politik boleh menamakan calon umur 18 tahun buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia berikutan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang sudah diwartakan.

“Parti politik boleh meletakkan calon berusia 18 tahun kerana pindaan itu sudah diwartakan,” katanya sidang media selepas Mesyuarat Khas urusan PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azhar berkata kelayakan calon umur 18 tahun untuk layak bertanding akan ditentukan semasa hari penamaan calon iaitu pada 2 November oleh pegawai pengurus.

SPR hari ini menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November ini. Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November, manakala tarikh mengundi awal pada 12 November.

Pindaan Perkara 47 iaitu mengenai calon umur 18 dan Perkara 119 mengenai had umur mengundi Perlembagaan Persekutuan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong pada 4 September dan diwartakan pada 10 September lepas.

Azhar berkata, SPR sedang mengambil tindakan untuk melibat urus secara bipartisan minggu ini untuk membincangkan perkara berhubung calon umur 18 tahun.

“SPR akan terlibat dengan parti-parti politik tidak lama lagi kerana ia merupakan inisiatif bipartisan dan akan duduk bersama untuk membincangkan apa yang telah diluluskan dan diwartakan,” katanya.

Ditanya pengundi umur 18 tahun, Azhar berkata, golongan itu belum lagi boleh mengundi dalam PRK Tanjung Piai kerana ia belum dikuatkuasakan pelaksanaannya.

“Penurunan had umur mengundi dari 21 tahun hingga 18 tahun belum dikuatkuasakan. Ia akan dikuatkuasakan apabila diputuskan dan diwartakan pada masa akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai salah laku ketika PRK Tanjung Piai, Azhar berkata, beliau berharap ia tidak akan terjadi dan menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat untuk mematuhi peraturan dan peruntukan perundangan.

– BERNAMA