Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN jumpa Yang Dipertua Dewan Rakyat, bincang adakan sidang

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) hari ini mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Parlimen bagi membincangkan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya memaklumkan perkara itu selaras dengan kenyataan media Istana Negara tempoh hari bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

“Seusai pertemuan itu, Majlis Presiden PAKATAN mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hasil pertemuan tersebut,” katanya dalam kenyataan itu.

Majlis Presiden juga turut menyentuh beberapa isu mutakhir dan persiapan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15, katanya.

Istana Negara menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Februari lepas memaklumkan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Art Harun, dari mahkamah dan SPR ke parlimen

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Datuk Azhar Azizan Harun, 58, yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, merupakan seorang yang arif tentang undang-undang.

Lebih dikenali dengan panggilan Art Harun, anak jati Kedah yang dilahirkan pada 26 Oktober 1962 ini merupakan lulusan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya dan Sarjana Undang-Undang dari King’s College, University of London.

Mempratikkan kerjaya dalam bidang guaman sejak 1987, beliau pernah berkhidmat sebagai peguam di beberapa firma guaman antaranya Allen & Gledhil, Khaw & Hussain, Tetuan TH Su & Rakan, Tetuan Lamin & Co, Tetuan Hisham Sobri & Kadir, Tetuan Shafee & Co, dan terakhir di Messrs KH Koh, Azhar & Koh sejak 1992.

Azhar Azizan yang dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 21 September 2018 menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, telah meletak jawatan sebagai pengerusi SPR pada 29 Jun lepas.

Pada 9 September 2019, beliau dianugerah Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran “Datuk”, daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena Hari Keputeraan rasmi Seri Paduka.

Azhar Azizan dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sesi Parlimen hari ini dicadangkan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nama kedua-dua mereka diusulkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai Yang diPertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat.

Sepanjang berkhidmat sebagai pengerusi SPR, Azhar Azizan telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara antaranya pendaftaran pengundi secara dalam talian yang telah mula dilaksanakan tahun ini.

Pembaharuan lain adalah memperkenal kad mengundi, menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengundi-pengundi kurang upaya dan warga emas.

Memanjangkan tempoh mengundi, menetapkan hari penamaan calon dan pengundian pada hari cuti umum, membuat siaran “live feed” proses penjalanan pilihan raya dari penamaan calon sehinggalah pengisytiharan keputusan juga antara pembaharuan yang dibuat.

Paling signifikan adalah pembabitan Azhar Azizan sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Chini di Pekan Pahang 4 Julai lepas yang diadakan dalam situasi normal dan peraturan baharu berikutan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR jangka kos PRK DUN Chini meningkat dua kali ganda

SHAH ALAM, 14 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kos Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini meningkat hampir dua kali ganda sekitar RM4.7 juta, kata pengerusinya.

Datuk Azhar Azizan Harun berkata peningkatan itu berikutan langkah membendung Covid-19 dengan penyediaan barangan seperti cecair pembasmi kuman, sut pelindungan diri, khemah khas dan alat penyaring suhu, lapor Sinar Harian.

“Daripada semua PRK DUN sebelum ini, PRK DUN Rantau mencatatkan kos paling tinggi iaitu mencecah RM1.87 juta,” katanya.

Beliau berkata kebiasaannya kos paling tinggi adalah elaun petugas pilihan raya diikuti sewaan barangan seperti komputer dan logistik.

PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon 20 Jun dan pengundian awal 30 Jun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Terap budaya teknologi jika mahu ubah sistem pilihan raya

SHAH ALAM, 14 JUN: Pendedahan mengenai budaya teknologi sistem pilihan raya kepada rakyat diperlukan jika pengundian secara dalam talian ingin diperkenalkan di Malaysia, kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Datuk Azhar Azizan Harun berkata ia penting bagi mewujudkan keselesaan dan kepercayaan tinggi kepada pengundi terhadap sistem berkenaan kerana membabitkan isu praktikal yang perlu ditangani, lapor Sinar Harian.

“Kita (SPR) tidak boleh kata pada 2023 atau pilihan raya (kecil) kali ini kita hendak buat terus sebab orang ramai tidak faham dan belum biasa,” katanya.

Sebagai contoh beliau berkata kaedah mengundi secara dalam talian di Amerika Syarikat menghadapi pelbagai masalah disebabkan isu kepercayaan berbanding di Australia yang menggunakan sistem manual dengan kertas undi lebih panjang.

Di samping itu, SPR juga perlu memikirkan kos perlu ditanggung jika sistem itu diperkenalkan kerana ia membabitkan mesin pengundian elektronik seperti digunakan di India.

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP khas pilihan raya kecil Chini, penanda aras masa depan

PUTRAJAYA, 30 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, 4 Julai ini akan menjadi penanda aras untuk melaksanakan PRK dan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika negara menghadapi pandemik.

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya sedang menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) bagi melaksanakan PRK Chini dalam melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi.

“PRK Chini ini kita akan laksanakan dengan SOP yang baharu sekiranya ada apa-apa pilihan raya di masa hadapan sekiranya pandemik Covid-19 ini masih berleluasa dan tidak dapat dikekang, saya rasa SOP tersebut akan terpakai pada setiap pilihan raya yang akan datang,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Azhar berkata SOP tersebut akan diperbaiki dari semasa ke semasa dengan mengambil maklum situasi dan keadaan terkini yang berlaku pada ketika itu.

SOP yang dikemukakan dalam libat urus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan polis itu meliputi tujuh proses pilihan raya iaitu hari penamaan calon, percetakan kertas undi, pengeposan kertas undi pos, hari mengundi awal, tempoh berkempen, hari mengundi dan pada sebelah malam ketika keputusan diumumkan.

“Kita telah mengadakan perbincangan sebanyak dua kali dengan mereka (KKM, MKN, NADMA, polis) pada 8 dan 21 Mei mengenai SOP khas ini.

“Namun belum dimuktamadkan lagi kerana ia tertakluk kepada situasi semasa arahan kerajaan mengenai penularan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya.

Jelasnya lagi, pendekatan SPR pada PRK Chini berteraskan satu tujuan utama iaitu menjamin keselamatan dan kesihatan para pengundi dengan mengambil kira risiko tersebarnya wabak Covid-19.

“Jadi segala SOP dan tatacara perjalanan pilihan raya di PRK Chini ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko tersebarnya wabak Covid-19 dalam kalangan pengundi serta juga dalam kalangan calon, penyokong dan pekerja pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada petugas-petugas pilihan raya PRK Chini diwajibkan menjalani ujian swab Covid-19, Azhar berkata ia tidak diwajibkan tetapi sebelum memasuki pusat penamaan calon dan penjumlahan undi serta tempat undi awal perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan sosial.

SPR menetapkan tarikh hari penamaan calon PRK itu pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU ke-11 pada 2004.

DUN Chini, satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PRK DUN Chini, SPR dapatkan pandangan agensi terlibat

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan pandangan dan nasihat dalam menyusun tatacara Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini daripada agensi berkepentingan susulan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Agensi yang terbabit dalam libat urus itu ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan agensi berkenaan Jumaat lepas yang membincangkan beberapa perkara sekiranya tarikh PRK itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sudah tentu kalau hari mengundi ketika PKPB berkuat kuasa, maka tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut, menggunakan cecair pembasmi kuman, memeriksa suhu badan dan sebagainya akan dilakukan.

“Itu adalah langkah-langkah yang akan dibuat… SPR akan terus lakukan libat urus dengan pihak-pihak berkenaan sehinggalah tarikh PRK itu hampir dan waktu itu, kita akan muktamadkan tatacara PRK tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengenai keadaan DUN Chini yang ketika ini berada dalam Zon Hijau, Azhar berkata pihaknya akan mempertimbangkan banyak perkara berhubung keselamatan dan kesihatan dalam mengendalikan PRK kali ini.

Beliau berharap kawasan itu akan terus kekal sebagai zon hijau dan tiada sebarang jangkitan Covid-19 sehingga berakhirnya PRK.

“Kita tidak mahu zon hijau itu dicemarkan menjadi zon merah oleh kerana pilihan raya kecil,” katanya.

DUN Chini kosong berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, dari Barisan Nasional di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada Khamis 7 Mei.

Notis kekosongan DUN itu diserahkan Speaker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad kepada SPR pada Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini, yang berada di bawah Parlimen Pekan, dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: Kamera video tidak jejas kerahsiaan undi

KIMANIS, 14 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan pengenalan penggunaan kamera video di saluran mengundi pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini tidak akan menjejaskan kerahsiaan proses undian.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata tujuan utama penggunaan kamera itu adalah untuk memastikan perjalanan proses undian lebih telus dengan meneliti proses tersebut daripada mula pengundi memasuki saluran sehingga selesai mengundi.

“SPR juga boleh meneliti semula rakaman video tersebut pada masa hadapan bagi tujuan menambah baik kualiti (proses undian) dan juga pengalaman pengundi mengundi.

Saya tidak rasa ada orang akan bimbang atau takut kerana kerahsiaan akan tetap dijaga setiap masa malah ejen calon juga masih berada dalam saluran tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan hari ini, Azhar mengumumkan pengenalan kamera video itu semasa hari pengundian PRK Parlimen Kimanis sebagai satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus.

Menurut Azhar kamera itu akan dipasang di semua 68 saluran terlibat dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR.

Namun, susulan pengumuman itu, Pemuda UMNO Sabah dalam laporan media, membantah langkah SPR memasang kamera video itu kerana bimbang pemasangan kamera itu akan menakutkan pengundi untuk memilih calon masing-masing.

Mengulas lanjut, Azhar mempersoal tindakan pihak-pihak tertentu yang sering melihat sesuatu inisiatif baharu hanya daripada perspektif negatif.

Beliau berkata niat SPR dalam memperkenalkan inisiatif itu adalah bagi tujuan ketelusan dan bukan untuk menakut-nakutkan pengundi.

“(Rakaman video) ini juga membolehkan kita (menyemak) sekiranya ada tuduhan pengundi hantu, pengundi bertindih dan sebagainya. Kita boleh rujuk semula,” menurutnya.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi

BEAUFORT, 4 JAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih pergi mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berharap pengundi dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.

“SPR juga memohon semua pihak khususnya pihak media agar turut memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi pergi mengundi pada 18 Januari 2020,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di sini, hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari@Jupry Etok mengumumkan PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, yang akan dicabar oleh calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Kimanis pada hari ini dan hari mengundi pada 18 Januari manakala hari pengundian awal 14 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pemilih itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

Sementara itu, Azhar berkata, sebarang bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) boleh menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

“Setiap ceramah perlu mendapatkan permit daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan PDRM berkuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit,” katanya.

Azhar berkata, SPR melantik 80 pemerhati pilihan raya daripada 14 organisasi melibatkan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berkelayakan untuk memantau penjalanan proses PRK Kimanis.

Beliau berkata, keputusan PRK Kimanis dijangka diumumkan sebelum 10.00 malam pada 18 Januari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRK Kimanis: SPR tunggu perakuan Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA, 3 DIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu perakuan daripada Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah yang kini kosong susulan keputusan mahkamah semalam.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya mengambil maklum dan akur keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen P.176 Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas adalah tidak sah dan terbatal.

“SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Datuk Seri Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada PRU14 tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14, Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

280 polis undi awal esok

PONTIAN, 11 NOV: Seramai 280 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai melibatkan anggota polis akan mengundi esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesemua mereka akan mengundi di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini.

“Pusat Pengundian Awal di Bangunan Perkep, IPD Pontian bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dibuka mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi DUN Kukup (Saluran 2), waktu pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, proses pengundian awal tersebut akan disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.

Beliau berkata, SPR juga akan menyiarkan proses pengundian berkenaan secara langsung atau ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR.

Katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis.

“Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 16 Nov ini, di pusat pengiraan undi berkelompok di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian dan akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PAKATAN) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Calon PAKATAN, Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 38,000 daftar sebagai pengundi pada suku ketiga 2019

PUTRAJAYA, 29 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 38,895 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak sepanjang suku ketiga tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak 14,165 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya diterima daripada pemilih berdaftar, katanya.

Selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku ketiga 2019 (ST3/2019) akan dipamerkan selama 14 hari mulai esok hingga 12 November ini di 917 tempat pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Julai 2019 hingga 30 September 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST3/2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi pemilih berdaftar di mana-mana bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama individu di dalam RDPT ST3/2019, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C, katanya.

“Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada pendaftar pemilih (pengarah pilihan raya negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan,” katanya.

Semasa tempoh pameran itu, Azhar berkata, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih bagi mereka yang meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan.

Bagi pegawai dan anggota polis dan tentera yang telah tamat perkhidmatan pula, Azhar berkata, SPR bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengemas kini maklumat lokaliti pengundian mereka.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST3/2019, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui talian 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau melayari portal SPR di www.spr.gov.my dan aplikasi telefon pintar MySPR Semak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR, JPN tubuh pasukan petugas khas selaras undi 18 tahun

PUTRAJAYA, 10 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menubuhkan jawatankuasa petugas khas berhubung pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu bertindak menyelaraskan maklumat warganegara dan perkara lain yang berkaitan.

“Di samping itu, salah satu program kerjasama SPR dan JPN yang telah dirancang adalah mengadakan kempen secara besar-besaran bagi menggalakkan warganegara untuk mengemas kini alamat bermastautin terkini di JPN,” katanya.

Azhar berkata, walaupun usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada 1 Julai 2021, namun SPR akan berusaha untuk melaksanakannya secepat mungkin.

Dalam tempoh peralihan sebelum dikuatkuasakan, SPR bercadang untuk melantik Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) dalam kalangan ahli parti politik, katanya.

“Bagi tujuan ini, parti-parti politik boleh mengemukakan cadangan pelantikan ini kepada Ibu Pejabat SPR dan mana-mana pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara mulai sekarang,” katanya.

Azhar berkata, SPR turut mencadangkan agar pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri atau Perlembagaan Negeri bagi membolehkan calon berumur 18 tahun sebagai wakil dewan undangan negeri (DUN) dibuat semasa persidangan DUN yang dijangka pada November ini atau selewat-lewatnya Mac 2020.

Katanya, pemilihan calon berumur 18 tahun sebagai wakil Dewan Rakyat telah mula dikuatkuasakan pada 11 September lepas.

“Kesemua pihak ambil maklum akan pindaan ini yang berkuatkuasa di peringkat Dewan Rakyat dan berharap ianya juga dapat dilaksanakan dengan segera di peringkat DUN,” katanya.

Beliau berkata, kesemua perkara itu telah diterangkan kepada 20 wakil parti politik dalam sesi libat urus bipartisan berhubung pelaksanaan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 3 Oktober lepas.

Azhar berkata, SPR turut memaklumkan tentang pelaksanaan program-program pendidikan pengundi bertujuan memberikan kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia terutamanya kepada golongan belia dan pelajar sekolah.

Beliau berkata, SPR telah membangunkan modul khusus mengikut kumpulan sasaran iaitu modul pendidikan pengundi untuk belia lepasan sekolah dan modul pendidikan sivik untuk pelajar sekolah menengah.

“Sekiranya ada parti politik ingin mengetahui tentang perkara tersebut, SPR bersedia untuk memaklumkan kandungan terperinci modul tersebut,” katanya.

Azhar berkata, SPR akan terus mengadakan sesi libat urus dengan parti politik dan pelbagai pihak dari semasa ke semasa selain memaklumkan status pelaksanaan terkini undi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

– BERNAMA