Categories
SELANGOR

Batal lesen premis kotor mulai 1 Jun

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 30 MEI: Mulai 1 Jun, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengguna pakai prosedur baharu bagi kebenaran membuka semula perniagaan selepas tindakan penutupan ke atas premis makanan kotor di bawah UUK 62 Undang-undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBPJ) 2007.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, prosedur baharu itu termasuk pengeluaran surat tunjuk sebab kepada premis yang ditutup sebanyak tiga kali.

Malah, katanya, jika pengusaha premis ingkar serta gagal memberikan maklum balas surat tunjuk sebab atau rayuannya ditolak MBPJ, tindakan pembatalan lesen perniagaan ke atas premis makanan itu akan diambil.

“Premis yang diarahkan tutup untuk kali ke tiga pula, tempoh minimum penutupan yang dicadangkan ialah 14 hari sebelum pemeriksaan semula dilakukan.

“Kebenaran membuka semula bagi kes penutupan kali ketiga, pengusaha premis perlu mematuhi syarat notis dan Jabatan Pelesenan akan memberi cadangan mengeluarkan ‘Surat Tunjuk-sebab Mengapa Lesen Tidak Boleh Dibatalkan’ kepada pengusaha premis berkenaan.

“Jika pengusaha premis ingkar serta gagal memberikan maklum balas surat tunjuk sebab atau rayuannya ditolak oleh MBPJ, maka tindakan pembatalan lesen perniagaan ke atas premis makanan itu akan diambil,” katanya pada mesyuarat penuh MBPJ, di sini.

Mohd Sayuthi berkata, tindakan berkenaan diambil bagi mengelakkan presepsi kurang baik ke atas MBPJ dan kakitangan yang bertugas apabila pengusaha premis makanan tidak menitikberatkan isu kebersihan dan kesihatan selepas tindakan pembukaan semula premis.

“Tindakan pembukaan semula premis ini terutama yang membabitkan tempoh singkat iaitu dua hingga tiga hari selepas penutupan sering menimbulkan persepsi kurang baik.

“Justeru, satu kertas kerja dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan Dan Kesihatan pada 14 Mei lalu yang memutuskan untuk mengguna pakai prosedur baharu ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi penutupan premis kali pertama, pengusaha boleh memohon secara bertulis kepada pegawai yang diberi kuasa untuk tindakan pembukaan.

Manakala, tempoh penutupan minimum tujuh hari sebelum pemeriksaan semula dilakukan oleh pegawai diberi kuasa bagi premis yang diarahkan tutup kali kedua.

Categories
SELANGOR

e-Buku permudah proses pinjam buku

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 4 MEI: Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya bergerak proaktif sebagai perpustakaan pertama di Selangor memperkenalkan perkhidmatan peminjaman e-Buku tempatan secara online.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mohd Azizi Mohd Zain, berkata langkah progresif itu selari dengan permintaan pengguna awam dan memudahkan proses pinjaman buku di mana saja tanpa mengira waktu.

“Perpustakaan ini memulakan operasi sejak 4 April 2000, kini mengambil langkah progresif dengan menyediakan e-Buku tempatan untuk kegunaan ahli perpustakaan.

MBPJ Datuk Bandar“Selari dengan permintaan pengguna awam pada masa kini, perpustakaan ini memperkenalkan portal perpustakaan digital kepada peminjam tanpa mengira waktu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran E-Books & Bengkel keselamatan komputer di Dewan Ilmu Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, di sini.

Azizi berkata, lebih mengagumkan, sistem elib itu menyokong kesemua jenis peranti pintar dan komputer yang memudahkan masyarakat Petaling Jaya untuk mengakses bahan bacaan.

“Teknologi moden ini kini hanya berada di hujung jari pengguna dan dapat meningkatkan lagi budaya membaca di negara ini.

“Sistem ini mengandungi kira-kira 200 pilihan e-buku terdiri daripada bahan bacaan fiksyen, bukan fiksyen, pendidikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, sistem elib di perpustakaan itu mendapat kerjasama daripada pengasas portal e-buku terbesar Malaysia iaitu e-Sentral.

“Orang ramai boleh mengakses portal perpustakaan digital ini di (elib/www.mbpjlib.elib.com.my),” katanya.

-AA-