Categories
AGENDA NASIONAL

Sisa buangan alatan petugas kesihatan naik lebih 100 peratus

SHAH ALAM, 5 JUN: Sisa buangan klinikal dijangka terus meningkat sehingga 173.25 tan metrik sebulan dalam tempoh 12 bulan akan datang jika pandemik Covid-19 berlanjutan.

Timbalan menteri alam sekitar dan air berkata pembuangan sisa berkaitan seperti bahan plastik pakai buang, sarung tangan getah dan gaun isolasi diguna petugas barisan hadapan di semua fasiliti kesihatan meningkat 111.94 peratus berbanding pada Disember 2019 sebelum pandemik.

“Ia boleh dianggap satu angka signifikan yang boleh mengancam kehijauan bumi dan menggugat kelestarian alam sekiranya tidak berjaya diuruskan dengan baik,” kata Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad seperti dilapor Berita Harian.

Katanya, perkara itu menjadi antara keutamaan berikutan sisa pembuangan terjadual memerlukan pengendalian serta pelupusan khas sistematik.

Ia seperti dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tatacara operasi piawai (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahmad Masrizal berkata ketika ini sisa klinikal pakaian perlindungan diri (PPE) diperoleh daripada pusat kawalan dan rawatan seperti hospital Covid-19 serta pusat kuarantin yang sudah diwartakan di seluruh negara.

“Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain berkaitan telah mengambil langkah perlu bagi mengatasi kekangan kecekapan pelupusan ini namun masih mempunyai tangguhan (backlog) sisa buangan klinikal di Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak 12 insinerator, empat ketuhar gelombang mikro dan satu ozonator telah dilesenkan di seluruh negara untuk menguruskan buangan terjadual SW 404 ini dengan kapasiti keseluruhan 5,168.05 tan metrik.

“Nilai ini masih mampu untuk menampung penjanaan sisa klinikal semasa iaitu 4,394.37 tan metrik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua kerajaan negeri setuju laksana kempen tiada beg plastik

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Semua kerajaan negeri menyatakan sokongan untuk melaksanakan inisiatif Kempen Tiada Beg Plastik bagi meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan inisiatif itu bertujuan menangani masalah pencemaran plastik sekali guna.

“Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 yang bermesyuarat pada 18 November telah meluluskan Kertas Cadangan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibentangkan KASA.

“MNKT turut bersetuju meluluskan pelaksanaannya di semua premis seluruh negara dengan mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

“Pengenaan caj ini berpandukan prinsip ‘user-pay-principle’ yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna. Kutipan ini perlu diserahkan kepada PBT untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program berbentuk kempen itu akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 mulai Disember 2020 hingga 2021 dengan pelaksanaan bertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

Selain itu, beliau berkata pelaksanaan Fasa 2 (2022-2025), kempen itu akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya.

“Usaha ini selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang bertujuan membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lain yang lebih mesra alam,” katanya.

Justeru, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen itu termasuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Projek tebatan banjir ditambah baik bagi kawal banjir luar jangka

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Kerajaan dalam proses merangka dan membuat kajian bagi menambah baik projek tebatan banjir sedia ada, untuk mengawal banjir yang berlaku dalam negara khususnya di kawasan bandar.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, projek itu akan melibatkan kerja-kerja mendalamkan sungai serta membina ban yang lebih tinggi, untuk melancarkan aliran air sungai.

“Kami bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih dalam proses merangka satu kaedah tebatan banjir yang lebih baik, berdasarkan berlakunya kejadian-kejadian luar jangka pada waktu ini.

“Jadi dalam hal ini, kami hanya mampu membuat yang terbaik berdasarkan elemen fizikal dan elemen luar kawal seperti hujan lebat berlarutan dua, tiga jam, kita tidak boleh kawal,” jelasnya kepada media selepas melakukan lawatan di Pusat Ramalan dan Banjir Negara di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, usaha sama bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan ditingkatkan lagi, sebagai inisiatif dan usaha menyelesaikan isu banjir terutamanya di kawasan bandar.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi menghadapi kejadian banjir kilat semasa musim monsun barat daya, JPS telah memasang sebanyak 472 stesen siren, di lokasi yang sering mengalami banjir.

“Stesen siren ini akan mengeluarkan bunyi sebagai amaran banjir kepada penduduk sekitar, sebagai tindakan awal untuk mereka menyelamatkan diri dan harta benda,” katanya.

Selain itu, beliau juga menjelaskan Terowong Lebuhraya SMART telah membantu kerajaan dari menanggung kerugian sebanyak RM1.4 billion akibat banjir, dari 2007 hingga tahun ini.

“Setakat ini, SMART Tunnel telah beroperasi sebanyak 445 kali dan sebanyak 30 kali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, sehingga 26 Julai tahun ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Program Jaguh beri peluang graduan ceburi keusahawanan lestari hijau

GEORGE TOWN, 27 JUN: Kementerian Alam Sekitar dan Air memperkenalkan program Jana Graduan Hijau (Jaguh) bagi memberi peluang kepada 10,000 graduan yang baharu tamat pelajaran menceburi bidang keusahawanan kelestarian hijau.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata program itu akan dilancarkan bermula suku ketiga tahun ini dengan memberi latihan keusahawanan kepada golongan graduan terutama mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Program itu menyediakan latihan keusahawanan lebih lestari seperti perniagaan-perniagaan menggunakan peralatan atau perkakasan kitar semula yang mampu menarik pelanggan seperti kafe hipster.

“Buat permulaan kami sasarkan seramai 10,000 orang dan mereka akan diberikan latihan selama dua tahun, ini antara usaha Kementerian Alam Sekitar dan Air membantu graduan untuk menjadi usahawan,” katanya kepada pemberita selepas selepas hadir Program Sinergi Hijau Melestarikan Alam Sekitar dan Kampus Hijau di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Katanya, kementerian juga mengenal pasti universiti tempatan yang berminat untuk menyertai program JAGUH selain berusaha membentuk graduan muda dalam mendepani situasi lebih mencabar ketika ini.

– BERNAMA