Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tanam 100 juta pokok, pulih biodiversiti negara

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Kerajaan bersetuju memulakan program membaik pulih kawasan merosot di seluruh Malaysia dengan menanam semula 100 juta pokok mulai tahun ini hingga 2025 dalam usaha memulihara kepelbagaian biologi dan perkhidmatan ekosistem negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar dalam kenyataan berkata program itu akan dilancarkan pada 21 Mac ini dan kementerian mengalu-alukan penyertaan dan sokongan padu daripada sektor perniagaan dan swasta untuk menjayakannya.

Xavier menyampaikan perkara itu dalam ucaptamanya pada Forum Kepelbagaian Biologi Untuk Sektor Perniagaan dan Swasta yang diadakan buat pertama kali, di sini semalam.

Kenyataan yang diemail hari ini itu menyebut, forum anjuran DHI Water & Management (M) Sdn. Bhd. (DHI) itu sejajar dengan matlamat Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 (DKBK) bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak komuniti perniagaan di negara ini untuk menyokong usaha kerajaan dalam memulihara ​​​​​​​kepelbagaian biologi, menggalakkan penggunaannya secara mampan dan ​​​​​​​memastikan perkongsian faedah yang adil dan saksama.

Forum yang dihadiri 140 peserta termasuk ahli perniagaan, badan korporat, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan itu membincangkan peranan dan tanggungjawab yang boleh dilaksanakan oleh sektor perniagaan dan swasta dalam memulihara kepelbagian biologi, menurut kenyataan itu.

Selain itu forum tersebut turut membincangkan mengenai perkhidmatan ekosistem di peringkat negara dan antarabangsa, mengarus perdanakan kepelbagaian biologi dalam pelbagai sektor serta menyediakan input bagi Rangka Kerja Kepelbagaian Biologi Global Pasca-2020.

Forum itu antara lain turut membincangkan keperluan sektor perniagaan dan swasta untuk menubuhkan platform Malaysia bagi perniagaan dan kepelbagaian biologi bagi menyokong inisiatif perkongsian global bagi perniagaan dan kepelbagaian biologi (GPBB) di bawah Konvensyen ​​​​​​​Kepelbagaian Biologi.

GPBB merupakan jaringan global yang menggalakkan kerjasama dan perkongsian maklumat bagi mengarus perdana kepelbagaian biologi dalam sektor perniagaan dan swasta.

Xavier dalam kenyataan itu juga berharap input yang diperoleh daripada program itu akan dibentangkan dalam Persidangan Kepelbagaian Biologi ASEAN Ke-3 (ACB2020) yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 16 – 20 Mac 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Negeri tidak setuju naik tarif air, perlu kemuka mekanisme

KLANG, 5 JAN: Mana-mana negeri yang tidak bersetuju melaksanakan kenaikan kadar tarif air diminta mengemukakan mekanisme masing-masing kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sebagai usaha menyediakan air bersih terawat untuk rakyat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar berkata, ini kerana kos penyediaan dan menguruskan air terawat adalah tinggi dan langkah penyelesaian perlu diambil bagi menangani krisis gangguan air di negeri terbabit.

“Semua orang kena faham industri air mesti ada bajet yang besar supaya kita dapat pastikan rakyat dapat bekalan air (bersih) 24 jam sehari dan 365 hari setahun.

“Bila kita ada bajet yang cukup kita mampu sediakan infrastuktur untuk menguruskan operasi air selain dapat menangani masalah kekurangan bekalan air, jadi negeri yang tidak bersetuju kena bawa mekanisme kepada kementerian bagaimana mereka dapat mengatasi masalah itu,” katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi melalui penanaman pokok di Taman Botanik di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian kerajaan Negeri Sembilan semalam, yang tidak akan menaikkan kadar tarif air.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata perkara itu seperti yang terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bahawa tiada kenaikan tarif air dalam tempoh lima tahun.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, beberapa negeri telah bersetuju dengan cadangan kementerian untuk menaikkan kadar tarif air tersebut dan perkara itu akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Kalau kita tidak mula sekarang (menaikkan kadar tarif air), kita akan hadapi masalah air dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi tersebut, beliau berkata kementeriannya menyasarkan 100 juta pokok akan ditanam di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

Langkah itu, katanya, dibuat bagi menunjukkan komitmen Malaysia dalam memelihara sumber asli dan alam sekitar.

“Program ini dibuat seiring dengan Hari Hutan Sedunia dan di bawah program ini juga kita telah kenal pasti kawasan seluas 4,750 hektar sebagai hutan terosot untuk dipulihkan.

“Menerusi penanaman pokok ini, kita akan tumpu kepada penanaman pokok-pokok hutan yang ikonik termasuk merbau yang keunikannya akan dihayati,” katanya.

– BERNAMA