Categories
SUKANKINI

Terbuka Jepun: Chong Wei mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei semakin hampir memburu gelaran ketujuh Terbuka Jepun selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir, lapor BHOnline.

Kejayaan itu susulan jaguh badminton dunia terbabit mengetepikan cabaran pilihan keempat dari Taiwan, Chou Tien Chen 21-11, 15-21, 21-19.

Chong Wei yang dalam usaha membina semula tahap keyakinannya susulan kekalahan mengejut di pusingan pertama Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland bulan lalu, akan bertemu bintang muda China, Shi Yuqi di separuh akhir esok.

Pemain berusia 35 tahun itu sudah enam kali bergelar juara Terbuka Jepun bermula 2007, 2010, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang tersingkir di suku akhir.

Mereka tewas kepada pasangan Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko 15-21, 18-21.