Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei: Skuad lelaki negara berpotensi juarai BATC minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Tanpa kehadiran beberapa pemain terbaik dunia tentunya memberikan kelebihan terbaik kepada skuad lelaki kebangsaan negara untuk menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, minggu hadapan.

Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berpandangan bahawa skuad lelaki yang menjadi naib juara edisi 2020, perlu menyerlah ketika ini bagi memenangi kejohanan itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari ini.

“Memang saya lihat skuad kita ada peluang yang besar untuk jadi juara, namun mereka harus layak dahulu ke separuh akhir untuk bina keyakinan diri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand.

Difahamkan bahawa pemain nombor dua dunia pada ketika ini Kento Momota dan pasangan beregu lelaki nombor empat dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, selain beberapa pemain utama Indonesia seperti Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie dan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, tidak akan menyertai kejohanan itu.

Pada masa sama, Chong Wei memaklumkan bahawa beliau teruja untuk melihat prestasi pemain muda negara dalam kejohanan itu seperti Nz Tze Yong, juara acara beregu Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 baru-baru ini, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta Aidil Sholeh Ali Sadikin dan mengingatkan mereka untuk menunjukkan keupayaan sebenar mereka ketika di gelanggang.

Mengenai cabaran skuad wanita pula, pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu berharap, mereka akan berikan yang terbaik untuk layak ke Piala Uber, walaupun sedar adalah sukar bagi skuad itu untuk muncul sebagai juara.

“Bukan mudah untuk pasukan wanita untuk menang, tetapi saya harapkan yang mereka akan berusaha dan berikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Semalam skuad lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dan sekali gus mengelak dari bertemu juara tiga kali Indonesia (2016, 2018, 2020); India, Korea Selatan dan Hong Kong yang diundi dalam Kumpulan A.

Dalam undian wanita, juara bertahan Jepun dan India, menanti Malaysia dalam kumpulan Y, manakala Kumpulan Z pula terdiri daripada Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Pasukan seperti China, Thailand dan Taiwan tidak akan menyertai edisi kali ini, dan format kejohanan telah pun diubah dengan tiada peringkat suku akhir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei seru rakyat berganding bahu tangani Covid-19

SHAH ALAM, 19 MAC: Bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menyeru semua rakyat negara ini berganding bahu ketika berdepan wabak Covid-19.

Beliau berkata, rakyat juga perlu bertolak ansur dan mengamalkan sikap tolong-menolong supaya wabak Covid-19 dapat diatasi segera.

“Saya minta tolong semua duduk di rumah jangan keluar sementara ini. Jangan balik kampung macam cuti raya. Kau mungkin ok, tapi yang mati nanti orang tersayang.

“Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. Jangan panik,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk di rumah dalam tempoh 14 hari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac.

Ia bagi mengekang penularan Covid-19 yang dijangka akan memasuki gelombang ketiga sekiranya rakyat ingkar dengan arahan terbabit.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei sedih insiden menimpa Momota, harap segera pulih

SHAH ALAM, 14 JAN: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei zahirkan rasa sedih atas insiden yang menimpa Kento Momota semalam.

Chong Wei harap pemain nombor satu dunia terbabit segera pulih dan dapat kembali beraksi di gelanggang, lapor Malaysiakini.

“Saya ada bercakap dengan beliau dan melihat keadaan dia, saya pun kasihan, apa lagi kemalangan berlaku selepas dia menang kejuaraan dan dalam perjalanan untuk pulang ke Jepun.

“Mari sama-sama doakan untuk Momota kembali sihat dan beraksi semula di gelanggang,” katanya selepas melawat pemain itu di Hospital Putrajaya semalam.

Momota dan tiga lagi cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabit dalam pelanggaran di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei hargai sumbangan jurulatih lonjak kerjayanya

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih yang membantunya sehingga terkenal di peringkat antarabangsa dan menjadikannya insan yang lebih baik.

Chong Wei, 37, yang mengambil keputusan untuk menggantung raketnya Jun lalu, berkata tanpa bimbingan jurulatih berkenaan, beliau tidak akan berpeluang menjadi seperti apa yang dicapainya sekarang.

Beliau berkata jurulatih seperti Datuk Misbun Sidek, Teh Peng Huat, mendiang Indra Gunawan, Li Mao, Rashid Sidek, Morten Frost, Datuk Tey Seu Bock, Hendrawan dan banyak lagi yang bukan hanya menggilap kemahiran badminton bahkan membina keperibadiannya sehingga berjaya ke hari ini.

“Beberapa hari sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada 2019. 2019 merupakan tahun yang penuh suka duka buat saya, secara fizikal dan emosi . Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jurulatih saya.

“Tanpa mereka, saya tidak akan berpeluang mewakili negara. Mereka berkeras dalam latihan, sangat keras sehingga ada beberapa hari minda saya terasa kosong kerana terlalu menekan diri sendiri,” katanya.

Chong Wei berkata ada ketikanya beliau muntah di gelanggang dan beberapa ratus kali pulang ke rumah dalam keadaan kekejangan otot.

“Tidak pernah saya merungut kerana saya tahu mereka boleh berlembut dengan saya, ambil gaji mereka dan meneruskan kehidupan. Mereka keras dan tegas, kerana mahu saya memberikan yang terbaik,” kata Chong Wei dalam akaun Instagram@leechongweiofficial hari ini.

Beliau juga berkata: “Sentiasa bersyukur dengan apa yang mereka lakukan untuk saya. Sebagaimana pepatah Cina berkata – Sehari sebagai guru anda, sepanjang hayat selaku bapa anda. Terima kasih jurulatih!”

Bekas pemain ranking nombor satu dunia itu mengumumkan persaraannya daripada dunia badminton profesional selepas kerjaya 19 tahun yang gemilang.

Pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali itu yang didiagnos menghidap kanser hidung peringkat awal tahun lepas, berkata beliau memilih untuk bersara selepas diberitahu doktor bahawa tubuhnya tidak lagi mampu melakukan latihan intensif diperlukan untuk pertandingan peringkat tinggi.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KBS harap Lee Chong Wei terus tabur bakti

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Kementerian Belia dan Sukan berharap bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus bersama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam usaha mengangkat dan memartabatkan sukan badminton walaupun telah bersara.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata khidmat Chong Wei amat diperlukan termasuk dalam mengadakan sesi ‘sparring’ bersama atlet muda.

“Kementerian juga dimaklumkan bahawa Chong Wei turut berniat dalam satu kolaborasi untuk membina akademi badminton di Kedah.

Namun, buat masa ini kita berikan beliau sedikit ruang dan masa untuk berehat seketika sebelum kembali berunding untuk menggunakan bakatnya dengan terus berkhidmat dalam mengangkat dan memartabatkan sukan badminton negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) sama ada kementerian itu akan menggunakan khidmat Chong Wei bagi melahirkan lebih ramai pemain badminton berprestasi tinggi.

Syed Saddiq juga berkata pihaknya dengan persetujuan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah melantik Chong Wei sebagai Chef de Mission ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

“Saya yakin aura, nasihat dan bimbingan beliau bakal memberikan sumber inspirasi kepada atlet muda yang lain untuk terus berbakti kepada negara dan akhirnya mampu menyumbang pingat emas pertama kepada Malaysia dalam Sukan Olimpik,” katanya. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

MOM setuju Chong Wei CDM Olimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengesahkan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai Chef-de-Mission (CDM) ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pencalonan ikon sukan negara itu dipersetujui sebulat suara oleh seluruh ahli gabungan MOM.

Katanya, setakat ini hanya jawatan CDM diwujudkan dan keperluan untuk mewujudkan jawatan Timbalan CDM bergantung kepada keperluan semasa termasuk mengambil kira tahap kesihatan Chong Wei.

“Seluruh wakil yang datang daripada badan-badan sukan telah sebulat suara bersetuju dengan pencalonan Datuk Lee Chong Wei yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) baru-baru ini.

“Kita hanya akan dapat tahu saiz kontinjen negara pada awal tahun hadapan dan sekiranya pada waktu itu kami perlukan pembantu mungkin kita akan pertimbangkan untuk melantik seorang Timbalan CDM. Berdasarkan jumlah atlet yang telah layak setakat ini, hanya seorang CDM kita perlu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Wisma MOM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza menyifatkan pelantikan Chong Wei itu satu perkembangan dan pendedahan positif terutama buat Chong Wei dalam meniti perjalanan sebagai seorang ikon sukan pasca persaraannya baru-baru ini.

Menurut beliau, satu seminar berkaitan peranan menyeluruh CDM akan diadakan pada Ogos ini.

“Beliau bersara sebagai seorang atlet yang begitu berjaya dan selama ini beliau melihat dari jauh bagaimana proses pengurusan melibatkan temasya sukan. Chong Wei terlibat dengan kesemua acara sukan yang besar di dunia dan Sukan Olimpik bukan sesuatu yang asing buat dirinya.

“Pelantikan ini satu pendedahan yang baik untuk beliau dan kami akan menjemput beliau menyertai satu seminar berkaitan CDM ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada Ogos ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata MOM hari ini bersetuju untuk menerima permohonan Persekutuan Ski Malaysia (MySkate) dan Persatuan Floorball Malaysia untuk menjadi ahli bersekutu MOM.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Chong Wei sebak umum persaraan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 JUN: “Terima Kasih Malaysia,” itu ungkapan pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika mengumumkan pesaraannya dalam dunia badminton, hari ini.

Bekas jaguh badminton negara berkata, keputusan berkenaan amat sukar buatnya, namun ia diputuskan selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan pandangan isterinya, Datin Wong Mew Choo.

“Saya ada ke Taiwan pada April lalu dan doktor yang merawat saya merasakan saya tidak sesuai lagi untuk meneruskan latihan dengan intensiti tinggi.

“Jadi selepas pulang, saya mengambil masa selama sebulan untuk memikirkan mengenainya sebelum saya membuat keputusan untuk bertemu Menteri Belia dan Sukan dan Presiden Badminton Association MAlaysia (BAM) bagi meminta pandangan mereka.

“Akhirnya, saya membuat keputusan untuk menggantung raket selepas sambutan Aidilfitri tempoh hari, ia adalah keputusan berat untuk saya tetapi apa yang paling penting adalah isu kesihatan saya,” katanya

PUTRAJAYA, 13 Jun — Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua,kanan), Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (kanan) pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
– – fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau berkata demikian dengan sebak dalam satu sidang media di Menara Kementerian Sukan Negara (KBS), Putrajaya.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Bam Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Pada masa sama, beliau amat berterima kasih kepada KBS; Majlis Sukan Negara; Institut Sukan Negara dan terutamanya BAM serta kesemua pihak yang sentiasa menyokongnya

Antara pencapaian Chong Wei adalah tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik (2008, 2012 dan 2016) dan tiga kali naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015), selain muncul pemain terbanyak memenangi gelaran Super Series sebanyak 46 kali.

 

Categories
NASIONAL

Hentikan spekulasi masa depan Chong Wei

SEPANG, 11 JUN: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung masa depan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dilaporkan berhasrat menggantung raket sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menegaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara berkenaan memandangkan Chong Wei sendiri masih membisu mengenai masa depannya setelah sembuh daripada kanser hidung yang dihidapinya pada tahun lepas.

“Kita tunggu dahulu keputusan dari beliau dan berikan beliau ruang yang secukupnya untuk membuat keputusan kerana beliau sudah banyak menyumbang untuk negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan sebelum menyambut ketibaan skuad memanah para negara dari Belanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir menyambut skuad berkenaan adalah Timbalannya, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Chong Wei dijangka akan mengumumkan persaraannya minggu depan selepas 19 tahun mencurah bakti dalam sukan badminton.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mengisi jawatan Pesuruhjaya Sukan, namun menegaskan setiap permohonan berkenaan akan ditapis bagi memastikan hanya calon yang layak sahaja mengisi jawatan berkenaan.

Kerusi Pesuruhjaya Sukan kosong setelah penyandangnya, Datuk Zaiton Othman menamatkan khidmatnya pada 8 Mac lepas selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

“Sekarang kita sudah buka permohonan dan kita akan melalui wawancara yang telus, sebelum nama calon sesuai dimuktamadkan.

“Paling penting, kita mendapat calon yang sesuai kerana kita tidak mahu main lantik sahaja ikut kuasa menteri,” jelas Syed Saddiq.

Sementara itu, beliau menyokong keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini yang mencapai persetujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis bagi menangani kemelut yang melanda persatuan sukan kebangsaan.

Beliau menegaskan penubuhan jawatankusa berkenaan tidak bercanggah dengan fungsi Pejabat Pesuruhjaya Sukan memandangkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam membantu persatuan sukan kebangsaan memberi idea dalam menyelesaikan kemelut persatuan sukan di negara ini. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pantun Raya Chong Wei gamit perhatian peminat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menggamit tumpuan ramai apabila memberi ucapan Hari Raya Aidilfitri dalam bentuk pantun.

“Chong Wei dah cuba sedaya upaya,
Emas olimpik tidak terdaya,
Kepada semua Selamat Hari Raya,
Mohon maaf atas segalanya,” coretnya di laman Twitter.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia bersama isteri, Wong Mew Choo dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakan seperjuangan, jurulatih, rakan-rakan serta peminat sukan yang meraikannya.

Katanya, dia juga memohon maaf sekiranya pernah menghampakan peminat sepanjang menceburi kerjaya badminton.

“Ramai kawan I suka guna pepatah ‘Kosong-kosong’. Biarlah saya mohon ‘Luv-all’ dengan semua ibarat starting permainan badminton kita.

“Selepas mengharungi keseksaan kanser, saya menasihatkan semua agar menghayati setiap detik perayaan ini bersama keluarga tersayang.

“Makanlah seberapa boleh ketupat, lemang, rendang yang disediakan Mak atau Nenek. Ambiklah selfie seberapa boleh. Janji, create memories…dan post di sini.

“Oh ya, jangan lupa bawa kereta elok-elok. Be safe, for you and your family,” tulisnya.

Perkongsian pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Brazil itu mendapat 1,483 ulang kicau dan 4,235 tanda suka.

Malah, ada juga sebahagian peminat yang turut membalas hantaran Chong Wei itu dalam bentuk pantun.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Chong Wei yakin mampu rebut slot ke Olimpik

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Di sebalik peningkatan prestasi pemain muda negara, jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei tetap berkeyakinan dapat bersaing untuk merebut slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Mengakui berdepan persaingan sengit, khususnya daripada Lee Zii Jia dan pemain profesional, Liew Daren yang masing-masing beranking ke-28 dan 29 dunia, Chong Wei yang kini di tangga ke-30, berkata, peluangnya tetap ada untuk membaiki kedudukan.

“Jangan kata saya tidak layak (ke Sukan Olimpik). Sasaran saya adalah mahu beraksi di Sukan Olimpik buat kali kelima.

“Apa saja boleh berlaku,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu kepada pemberita selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Beliau memberi contoh kejayaan dua beregu negara pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang membuat kejutan apabila meraih pingat perak.

“Ketika itu kontinjen dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya sasar satu pingat sahaja iaitu saya. Jadi jangan berputus asa. Dalam kejohanan besar, banyak pemain membuat kejutan,” katanya.

Pemain berusia 37 tahun itu turut memohon kepada semua pihak agar memberikan sokongan moral kepada pemain negara berbanding membebankan mereka dengan tekanan yang tidak perlu.

Dalam pada itu, Chong Wei mengesahkan beliau akan membuat kemunculan semula pada saingan Terbuka Malaysia, April depan selepas berehat panjang susulan kanser hidung yang dihidapinya.

Mengenai perkembangan latihannya, Chong Wei berkata, fokusnya ketika ini ialah meningkatkan semula kecergasan otot serta ketahanan fizikalnya.

“Tahun ini sangat penting untuk semua pemain kerana tumpuan adalah layak ke Sukan Olimpik. Jika tiada peningkatan dalam setiap kejohanan tahun ini, peluang untuk perbaiki ranking semakin sukar jadi pemain perlu tunggu empat tahun lagi untuk ke Olimpik.

“Jurulatih telah menerangkan mengenai kejohanan apa yang akan disertai pemain. Bermula Mei ini adalah paling penting untuk pemain mengumpul mata ke Sukan Olimpik. Pemain tidak boleh ambil mudah dalam apa jua kejohanan. Saya percaya beraksi ke Sukan Olimpik adalah impian semua pemain,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

MB tersentuh semangat kental Chong Wei

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tersentuh dengan semangat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Menerusi twitter, Amirudin berkata, walaupun pemain handalan itu dibelenggu dugaan, namun beliau mengharunginya dengan penuh ketabahan.

“Jiwa kentalnya menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus berjuang mengharumkan nama negara,” tulisnya di laman twitter peribadinya, hari ini.

Kenyataan Amirudin itu susulan pengumuman Chong Wei yang masih belum berhasrat untuk bersara dari dunia badminton negara ekoran tahap kesihatannya semakin pulih daripada kanser hidung dihidapinya sejak bulan lalu.

Walaupun perlu mengutamakan kesihatan, namun Chong Wei bersedia kembali ke gelanggang apabila keadaan mengizinkan.

Terdahulu, dalam satu sidang media di Kompleks Sukan Bukit Kiara, semalam Chong Wei mengakui dirinya amat menyayangi sukan badminton dan masih belum bersedia bersara.

Beliau berkata, walaupun perlu mengutamakan kesihatan, namun bersedia kembali ke gelanggang apabila keadaan mengizinkan.

“Saya menerima rawatan di Taiwan dan kini semakin pulih daripada kanser dihidapi.

“Saya masih meneruskan rawatan kanser tiga kali sebulan serta keadaannya semakin pulih dengan sokongan ahli keluarga dan semua termasuk peminat,” katanya.

Categories
NASIONAL SUKANKINI

TPM alu hasrat Chong Wei terus karier

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut baik hasrat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, bagi meneruskan karier sebagai pemain.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan mengikuti rapat mengenai diri Chong Wei dan keputusannya kembali ke gelanggang adalah perkembangan positif untuk dunia sukan negara khususnya badminton.

“Iltizam Chong Wei menjadi sumber inspirasi buat semua bekas pesakit kanser, tiada apa yang mustahil.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan terus harumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya dalam laman sosial twitternya, @drwanazizah

Dalam sidang media di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini, hari ini, Chong Wei berkata, beliau belum berhasrat untuk bersara dari dunia badminton negara susulan kesihatannya semakin pulih daripada kanser hidung dihidapinya sejak bulan lalu.

Beliau berkata, walaupun perlu mengutamakan kesihatan, namun bersedia kembali ke gelanggang apabila keadaan mengizinkan.

“Saya amat menyayangi sukan badminton dan tidak bersedia bersara.

“Saya menerima rawatan di Taiwan dan kini semakin pulih daripada kanser dihidapi,” katanya.

Chong berkata, keutamaannya ketika ini adalah kesihatan dan tidak pasti bila akan kembali menjalani latihan sama ada akhir tahun ini atau sebaliknya.

Beliau berkata, ketika ini masih meneruskan rawatan kanser tiga kali sebulan serta keadaannya semakin pulih dengan sokongan ahli keluarga dan semua termasuk peminat.

Pada September lalu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataannya mengesahkan jaguh nombor satu negara menghidap kanser hidung tahap satu dan menjalani rawatan di Taiwan.