KUALA LUMPUR, 2 MAC: Sasaran kutipan hasil cukai berjumlah RM139 bilion tahun ini mampu dicapai dengan memastikan segala perkhidmatan yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dapat dilaksanakan sebaiknya.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi berkata LHDN tidak akan mengambil pendekatan yang agresif untuk mencapai sasaran itu, sebaliknya menyediakan perkhidmatan khusus yang diperlukan oleh pihak pembayar cukai.
“Kita hanya perlu memastikan segala perkhidmatan atau bantuan yang diperlukan oleh pihak pembayar cukai itu diberikan. Kita memantau bahawa apa yang mereka perlu lakukan, tarikh-tarikh tertentu atau bayaran dapat dilaksanakan.
“Dengan ekonomi yang dijangka berkembang baik nanti, sasaran yang dinyatakan itu boleh dicapai, malah boleh melebihi apa yang disasarkan,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘HASiL Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Keluarga Malaysia’ terbitan Bernama TV malam tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata kerajaan menjangkakan kutipan hasil cukai akan kembali kepada paras sebelum pandemik Covid-19, sama ada memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion tahun ini.
Ismail Sabri berkata bagi menyokong hasrat ini, LHDN melalui pengurusannya perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan.
Bagi 2021, hasil cukai meningkat sebanyak 17 peratus berbanding 2020 kepada lebih RM140 bilion.
Sementara itu, Mohd Nizom berkata LHDN perlu merangka strategi bagi memastikan sistem pencukaian yang sedia ada bersifat lestari dan berpanjangan.
Katanya LHDN akan mengambil pendekatan bagi memastikan peningkatan kadar pematuhan pembayaran cukai.
“Kita tidak mahu dilihat sebagai pihak yang mengambil pendekatan untuk mencari cukai tambahan semata-mata kerana apabila pematuhan meningkat, sebagai contohnya rakyat mematuhi undang-undang, bayar dengan sepatutnya, maka ekonomi (dapat) berkembang dan hasil akan dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
– BERNAMA