Categories
AGENDA NASIONAL

Nicol dahului saingan anugerah atlet terunggul sepanjang zaman

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David merupakan wakil tunggal dari rantau Asia dalam buruan Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia (The World Games).

Pemegang takhta pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 37 tahun itu akan bersaing dalam undian dalam talian dengan 23 calon lain mewakili sukan masing-masing dalam sejarah 40 tahun temasya sukan itu (1981 hingga 2017).

Kesemua 24 atlet tersebut dicalonkan oleh persekutuan sukan antarabangsa masing-masing.

Orang awam boleh mengundi juara dunia sebanyak lapan kali dari Malaysia itu di https://www.theworldgames.org/awards/The-World-Games-Greatest-Athlete-of-All-Time-81 .

Pada 20 Januari ini, 10 calon dengan undi terbanyak akan disenarai pendekkan manakala pemenang gelaran tersebut akan diumumkan pada 1 Februari ini.

“Anda boleh memberikan undi anda kepada calon di laman web The World Games sekali dalam masa 24 jam. Undian mesti diberikan setiap kali kepada dua calon; dua undi untuk calon pilihan pertama dan satu undi untuk calon pilihan kedua. Sekiranya anda memberi undi kepada satu calon sahaja maka undi anda tidak akan didaftarkan,” menurut The World Games.

Setakat jam 9 malam tadi, Nicol mendahului saingan berbanding atlet daripada sukan muay thai, gimnastik, sukan kasut roda, powerlifting, memanah, bola baling dan sumo.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nicol dilantik mentor kontinjen ke Sukan SEA Filipina

SEPANG, 28 NOV: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dilantik menjadi mentor kontinjen ke Sukan SEA ke-30 di Filipina yang berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember.

Pelantikan itu diumumkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada majlis penghantaran kontinjen Malaysia ke temasya dwi tahunan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Syed Saddiq menyifatkan juara dunia lapan kali itu bukan sahaja mentor buat atlet negara namun menjadi teladan buat seluruh rakyat Malaysia, sama ada dalam bidang sukan mahupun bidang lain.

“Saya percaya beliau sebagai mentor dapat menyuntik semangat atlet muda kita yang berjuang di Sukan SEA, terutama ketika saat paling sukar.

“Ini akan memberi perubahan yang sangat besar kepada atlet, walaupun secara rasminya dia telah bersara tetapi secara realitinya dia sentiasa ada untuk Malaysia,” katanya.

Sementara itu, jaguh skuasy yang sudah meraih 81 kejuaraan Jelajah PSA itu berkata, peluang untuk menjadi mentor kepada atlet negara adalah satu peluang yang besar buat dirinya untuk berkongsi pengalaman.

“Saya merasa sungguh teruja diberi tanggungjawab ini untuk berusaha bersama para altet dan terima kasih YB kerana melihat dari segi potensi sumbangan yang dapat saya berikan daripada pengalaman yang saya ada.

“Hari ini dengan memakai baju berjalur ini memberi sedikit kelainan kerana ketika saya bermain untuk negara adalah satu hal tetapi untuk memberi semula adalah peranan yang lain dan saya merasa seronok kerana dapat memainkan peranan yang lebih besar. Saya sangat teruja, saya mendoakan yang terbaik untuk semua atlet,” kata Nicol.

Perkembangan itu ternyata menjadi tunjang buat atlet negara memandangkan Nicol telah mengumumkan persaraannya Jun lalu.

– BERNAMA