Categories
NASIONAL

TV3 fitnah Nizar, diarah bayar RM20,000

SHAH ALAM, 24 FEB: Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara mengetepikan rayuan Sistem Televisyen (M) Bhd atau TV3 berkenaan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati bahawa laporan mereka terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah fitnah.

Hakim Besar Malaya, Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, berkata tidak ada unsur berat sebelah berhubung keputusan memerintah TV3 membayar ganti rugi kepada Nizar.

Datuk Seri Mohammad Nizar“TV3 gagal melepasi ujian sebenar bagi berat sebelah,” katanya dipetik Malaysia Kini.

Pada 25 Februari 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa TV3 bertanggungjawab memfitnah membabitkan tweet Nizar berkaitan nombor pendaftaran kenderaan WWW1 yang berjaya dibida Sultan Johor.

Zulkefli yang mengetuai panel lima hakim turut mengekalkan penghakiman sebelum ini dan mengarahkan stesen swasta itu membayar Nizar RM20,000 sebagai kos.

Hakim lain adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ramly Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Aziah Ali.

Sementara itu, Nizar diwakili oleh peguam Asmuni Awi dan Fitri Asmuni manakala TV3 pula diwakili oleh Liew Teck Huat dan Lim Qi Si.

-AA-