Categories
NASIONAL

Ribuan pengunjung banjiri rumah terbuka tanda perpaduan tinggi

YAN, 11 JUN: Kehadiran ribuan pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Pakatan Harapan (PAKATAN) Kedah, malam tadi menunjukkan bahawa semangat perpaduan kaum ketika ini berada pada tahap tinggi.

Pengerusi PAKATAN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, sehubungan itu rakyat perlu meneruskan semangat perpaduan seumpama itu dengan tidak melayan dakyah pihak tertentu yang sering memainkan isu perkauman dan agama.

“Yang mai ini bukan orang Melayu Islam sahaja, ada dari kaum Cina, India, Siam dan pelbagai agama dan latar belakang, satu petanda bahawa semangat perpaduan berada pada tahap tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka berkenaan yang berlangsung di Guar Chempedak dekat sini.

Turut hadir pada majlis rumah terbuka yang dihadiri 7,000 hingga 8,000 orang itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Naib Presiden Amanah yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Mukhriz berkata, sekiranya rakyat terus layan dengan dakyah sedemikian ia akan memecah-belahkan perpaduan kaum yang tersedia ada dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Kalau kita layan (dakyah tersebut) sudah tentu tak boleh buat majlis (rumah terbuka) Aidilfitri ini. Kita nak rakyat sama meraikan semua perayaan yang kita raikan. Ada pihak tertentu cuba bakar semangat dengan isu ini untuk pecah-belahkan masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, beliau bagi pihak kerajaan negeri juga meminta maaf kepada rakyat di Kedah jika terdapat sebarang kekhilafan dan kekurangan dalam pentadbiran negeri setakat ini.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Mukhriz: Tidak mustahil tanam padi waktu malam

YAN, 4 MEI: Cadangan supaya petani menjalankan aktiviti tanaman padi pada waktu malam dalam usaha membantu mempermudah dan meringankan kerja mereka tidak mustahil kerana amalan itu pernah dilakukan, pada masa dahulu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, bagi sesetengah rakyat mungkin ada yang merasakan bahawa cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai luar biasa dan tidak masuk akal, namun ia sebenarnya bukanlah perkara baharu.

“Saya masih ingat lagi zaman kecil dulu di Tokai, Pendang ada orang pasang lampu gasolin untuk buat kerja pada sebelah malam. Dia (Tun Dr Mahathir) orang lama jadi dia masih ingat benda itu.

“Bagi saya, cadangan itu bukan pelik dan mungkin ia boleh dipertimbangkan kalau ada kebaikan dan beri manfaat kepada golongan terlibat. Lagi-lagi bila hendak elak cuaca panas macam sekarang ini,” katanya selepas merasmikan Program Jom Turun Bendang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, hari ini.

Beliau, yang juga Pengerusi MADA berkata, walaupun kos tanaman padi mungkin bertambah kerana perlu memasang lampu, namun ada kelebihan lain yang boleh diperoleh dan cadangan itu boleh dipertimbangkan.

“Kalau nak kira dari segi kos, dulu pun makan kos tapi hasil okay sahaja, jadi kalau semua dipertimbangkan ia dapat diseimbangkan balik. Bagi MADA kita akan tengok keadaan semasa dahulu macam mana dan kalau hendak buat pun belum tentu dalam skala yang besar,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Mukhriz berkata Kerajaan Negeri memberi jaminan akan terus mempertahankan status Kedah sebagai ‘Negeri Pertanian’ walaupun pada masa ini terdapat perebutan tanah bagi tujuan pembangunan industri, perumahan, kawasan tadahan dan hutan simpan.

“Kedah adalah pengeluar padi terbesar di Malaysia dan hasil dari kawasan MADA seluas 100,685 hektar yang diusahakan oleh 57,635 petani ini mampu menyumbang kepada 40 peratus dari pengeluaran padi negara.

“Kita sedang merangka pelan-pelan khusus untuk melonjak pertumbuhan sektor pertanian supaya ia terus berkembang seiring dengan perubahan teknologi dan sains masa kini.

“Kita akan menggalakkan penggunaan teknologi terkini dalam penanaman padi bagi meningkatkan hasil padi pada kos yang menguntungkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

‘Malu Apa Bossku’, budaya negatif dibawa BN – Mukhriz

SEREMBAN, 9 APR: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bimbang dengan budaya negatif yang dibawa oleh bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) yang terbabit dalam isu rasuah dan mencuri duit negara.

Mukhriz, yang juga Menteri Besar Kedah, berkata, bekas pemimpin negara itu dilihat seolah hilang akal apabila mengajar anak muda dengan nilai-nilai negatif dengan membawa slogan seperti “Malu Apa Bossku”.

Katanya, situasi itu dilihat berbahaya apabila anak muda dilihat kurang faham dengan situasi semasa dengan seolah-olah mengiktiraf dan membenarkan perbuatan bekas pemimpin berkenaan apabila melaung-laungkan slogan berkenaan.

“Ini nilai cuba diterap oleh anak muda.. ada anggota Parlimen BN kata kalau orang curi duit itu belum lagi dikira curi selagi tidak ditangkap. Saya bimbang anak muda kita terpengaruh dengan fahaman ini.

“Sangat bahaya kalau anak muda ada fahaman macam itu. Maka rosaklah satu negara,’’ katanya ketika berucap pada ceramah umum di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH), dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram.

PRK Rantau pada Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

SUMBER: BERNAMA