Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Siti Nurhaliza rakam lagu bangkit kembali semangat mangsa banjir

SHAH ALAM, 15 JAN: Datuk Seri Siti Nurhaliza merakamkan lagu dengan tema kekeluargaan bagi membangkitkan semula semangat semua mangsa banjir.

Lagu berjudul Kita Satu Keluarga itu selesai dirakam pada Khamis lalu, kata Timbalan ketua pegawai eksekutif Persatuan Yayasan Tzu-Chi Malaysia.

Jelas Sio Kee Hong lagu itu sememangnya dirancang sebagai simbolik majlis serahan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir dengan bermula di Taman Sri Muda hari ini.

“Ini juga inisiatif persatuan untuk menyokong mangsa banjir kembali meneruskan hidup seperti dahulu. Kita tahu mereka masih bersedih selepas berdepan dugaan berat.

“Lirik lagu ini menggambarkan kasih sayang rakyat kepada semua. Kita mahu mangsa tahu mereka tidak keseorangan tetapi ramai akan membantu,” katanya pada sidang media.

Kee Hong berkata pihaknya berbesar hati atas kesudian penyanyi nombor satu negara itu menjalin kerjasama bagi menghasilkan lagu berkenaan.

“Walaupun sibuk Datuk Siti sanggup luang masa rakam lagu. Ini sumbangan beliau untuk menaikkan semangat dan menggembirakan mangsa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Siti Nurhaliza promosi TMM 2020 dalam konsert luar negara

PUTRAJAYA, 26 OKT: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan mengambil peluang mempromosi negara dan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) menerusi koleksi lagu-lagu irama Malaysia ketika mengadakan konsert di luar negara selepas ini.

Penyanyi nombor satu negara itu berkata, terdapat perancangan untuk beliau mengadakan konsert di Sydney, Melbourne dan London selepas ini namun ia masih di peringkat awal.

“Saya baru selesai mengadakan persembahan di OzAsia Festival di Adelaide pada 18 Oktober. Segmen irama Malaysia mendapat sambutan paling baik dari penonton Australia dan peminat yang datang dari Indonesia dan Korea Selatan. Turut memberikan sambutan kepada lagu genre berkenaan ialah warga Malaysia yang sudah lama menetap di Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Kayuhan Wanita 2019 sejauh 20 kilometer di sini, hari ini.

OzAsia Festival merupakan acara tahunan yang berlangsung di Adelaide Festival Centre melibatkan persembahan teater, tarian, muzik, filem dan seni visual dari Asia. Setiap artis dari sebuah negara Asia yang berbeza akan membuat persembahan pada satu malam di sepanjang festival itu. Ini merupakan kali pertama Siti Nurhaliza mengadakan konsert solo di negara tersebut.

Mengulas lanjut mengenai persembahan di OzAsia Festival, Siti Nurhaliza menjelaskan, persembahan beliau melibatkan 15 buah lagu termasuk segmen irama Malaysia yang menampilkan antaranya lagu Cindai yang diterbitkan pada 1997.

Beliau menambah, pihak penganjur memaklumkan persembahan beliau berjaya menarik jumlah penonton paling tinggi iaitu 1,000 penonton pada satu malam sepanjang penganjuran festival berkenaan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sultan Ahmad Shah berjiwa rakyat, mudah didampingi – Siti Nurhaliza

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MEI: Kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dirasai penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menerusi entri di Instagram, ikon seni kelahiran Kuala Lipis itu menyifatkan pemergian Almarhum hari ini sebagai satu berita sedih bagi seluruh rakyat Pahang dan kehilangan besar buat negara.

 

Pelantun lagu Biarlah Rahsia itu berkata, Almarhum adalah seorang sultan yang berjiwa rakyat dan mudah didampingi rakyat jelata.

 

“Patik dan suami mengucapkan serta menyembah salam takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat dan keluarga DiRaja Pahang di atas kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Hj Ahmad Shah AlMusta’in Billah.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan para solehin. Al-Fatihah,” tulisnya.

 

Penyanyi yang berkelana di persada seni hiburan sejak 20 tahun lalu berkata, peluang mengadakan persembahan di hadapan Almarhum Sultan Ahmad Shah juga tidak akan dilupakan beliau.

“Sebagai rakyat Pahang yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak saya bersekolah rendah dan seterusnya menjadi artis, banyak kenangan yang bermakna dan akan saya ingati sampai bila-bila,” tulisnya.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah disahkan mangkat kira-kira jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 89 tahun.