Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaburan dalam talian: 14 individu kumpulan ‘Chao Jin Dang’ ditahan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Polis menahan 14 individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian didalangi kumpulan ‘Chao Jin Dang’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 10 lelaki warga tempatan serta masing-masing dua lelaki dan wanita warga China berumur lingkungan 19 hingga 27 tahun, ditahan di sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.

Sindiket itu dipercayai beroperasi sejak awal Februari lalu dan menyasarkan mangsa dari China, katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya sindiket itu memaparkan iklan melalui Facebook untuk mencari pekerja dengan menawarkan gaji RM2,500 hingga RM3,000 dan menyediakan beberapa kondominium di ibu negara sebagai penginapan.

Modus operandi sindiket ialah memberikan akses kepada mangsa untuk melabur dalam laman sesawang yang disediakan dengan tawaran keuntungan yang tinggi namun keuntungan itu tidak pernah dibayar, katanya.

Zainuddin berkata kesemua suspek tempatan direman sehari manakala suspek warga asing direman di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Kes disiasat menurut Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

Beliau turut menasihati masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan serta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum melabur.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan penipuan guna laman sesawang palsu Maybank2U

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Polis telah mengesan satu bentuk penipuan dalam talian melibatkan beberapa kes yang menggunakan laman sesawang Maybank2U palsu bagi mengambil wang dalam akaun mangsa tanpa disedari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata dalam kes ini, sindiket ini akan menghantar e-mel kepada mangsa yang kononnya e-mel itu dihantar oleh pihak Maybank dengan menyatakan akaun milik mangsa mempunyai masalah keselamatan.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diminta untuk menekan pautan yang disertakan di dalam e-mel berkenaan.

“Setelah pautan ditekan laman sesawang seperti Maybank2U akan dipaparkan, namun tanpa disedari ianya merupakan laman sesawang palsu dan mangsa kemudiannya dikehendaki mengemas kini butiran peripadi, kata laluan serta nombor telefon melalui laman sesawang terbabit.

“Tidak lama setelah pengemaskinian dilakukan, mangsa akan mendapati wang di dalam akaun miliknya telah berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata berdasarkan rekod, PDRM menerima sebanyak empat laporan berkaitan kes penipuan melalui pautan Maybank2U palsu melibatkan kerugian sebanyak RM22,300 dan suspek belum dikenal pasti.

Zainuddin berkata kaedah perbankan dalam talian telah menyediakan satu platform yang membolehkan pengguna melakukan urusan perbankan secara lebih cepat dan mudah.

Bagaimanapun, kaedah ini turut dimanipulasikan oleh sindiket penipuan melalui pewujudan laman sesawang palsu yang menyerupai laman sesawang asal bank yang berkaitan.

Dalam kes yang terbaru, pautan laman sesawang palsu tersebut diperoleh mangsa melalui iklan cabutan bertuah Maybank yang dipaparkan melalui Facebook.

Beliau berkata orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan sebegini dan haruslah memastikan alamat URL yang dipaparkan bagi laman sesawang Maybank2U yang dibuka adalah sama dengan laman sesawang bank itu.

“Dapatkan pengesahan dengan pihak bank sekiranya menerima e-mel yang mengarahkan anda untuk mengemas kini maklumat peribadi melalui laman sesawang Maybank2U.

Berhubung dengan CCID Scam Responce Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika anda mempunyai sebarang kemusykilan ataupun keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki mempunyai kaitan dengan penipuan (scam),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada laporan laman sesawang kerajaan digodam setakat ini

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Polis belum menerima sebarang laporan terdapat laman sesawang kerajaan yang digodam setakat ini selepas ancaman dibuat kumpulan penggodam Anonymous Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibendung.

Beliau berkata sekiranya tindakan penggodaman tersebut dilakukan dengan niat untuk mensabotaj sistem keselamatan negara, siasatan akan dilaksanakan mengikut Seksyen 124K dan 124L Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan penjara sehingga 15 tahun.

“Sekiranya terdapat laporan polis berkenaan kegiatan sebegini (menggodam), siasatan juga boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 4 atau Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Kumpulan penggodam itu membuat ancaman menerusi satu klip video yang tular di platform media sosial baru-baru ini.

Antara dakwaan “Anonymous Malaysia” ialah sistem keselamatan Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam hingga hari ini.

Zainuddin turut mengharapkan orang ramai untuk memberikan sokongan dan kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penggodaman.

“Masalah kebocoran maklumat serta penggodaman sistem kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan ketawa kerana ia mempunyai kesan terhadap rakyat dan negara ini. Sama-samalah kita berganding bahu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara ini terus terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis sedar dan mengambil serius dengan ancaman kumpulan penggodam terbabit.

“Kami sedar (ancaman penggodaman) sebab itu, ia sedang dipantau oleh JSJK,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat kes pelaburan emas rugi lebih RM440,000

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kes penipuan pelaburan jual beli emas membabitkan kerugian dianggarkan bernilai RM440,771.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata pelaburan yang menjanjikan pulangan antara 30 hingga 70 peratus itu dikendalikan seorang suspek wanita berumur 32 tahun yang telah ditahan pada Mac lepas.

Beliau berkata pelaburan berkenaan telah dikesan sejak Jun tahun lepas sehingga Ogos tahun ini dan sebanyak 15 laporan polis telah diterima.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai memperdayakan mangsa dengan menawarkan peluang pelaburan jual beli emas dengan berjumpa mangsa bagi menyakinkannya untuk melabur.

Mangsa yang terpedaya akan membuat bayaran dengan memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank antaranya dua akaun bank (bank tempatan) masing-masing dipunyai suspek dan seorang lagi wanita,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zainuddin berkata suspek juga mempunyai ejen untuk mempromosikan pelaburan jual beli emas berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan pelaburan tanpa sebarang dokumen sokongan, kenyataan dan menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

Beliau berkata pada 2 Mac lepas, suspek telah dituduh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan di Mahkamah Seksyen Kajang, manakala dua kes lagi masih dalam siasatan,” katanya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dan mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti Semak Mule, Senarai Waspada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum buat keputusan melabur,” katanya.

Beliau berkata polis sentiasa mengutamakan usaha menurunkan kadar jenayah khususnya bagi kes-kes penipuan yang berlaku selain penglibatan dan kerjasama masyarakat juga amat penting bagi sama-sama membanteras gejala jenayah daripada terus berleluasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penipuan pelaburan saham: 12 warga China ditahan

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Seramai 12 warga China termasuk dua wanita disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian yang menyasarkan pelabur dari negara berkenaan, ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di ibu negara, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata mereka yang ditahan berusia 23 hingga 37 tahun dengan sembilan daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak tahun lepas dan kerap berpindah randah dengan menjadikan kondominium dan hotel mewah sekitar Lembah Klang sebagai pusat operasi.

“Mereka mempromosi dan mempengaruhi pelabur menggunakan skrip diberi ketua sindiket melalui aplikasi WeChat di mana mereka boleh menunjukkan keadaan pasaran saham semasa.

“Pada masa ini, tiada laporan mengaitkan sindiket ini dalam kalangan rakyat tempatan dengan mereka menggunakan fungsi WeChat Pay dan Alipay pada aplikasi tersebut untuk berurus niaga dengan pelanggan dari China tanpa bersemuka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket itu mampu membayar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan kepada setiap ahlinya dan mereka juga mampu menyewa hotel dan kondominium mewah dengan bayaran RM9,000 sehingga RM13,000 sebulan.

Zainuddin berkata kesemua suspek kini direman bermula Sabtu lalu sehingga esok dan polis akan membuat permohonan melanjutkan tempoh reman tersebut.

Selain tujuh unit komputer riba dan 125 unit telefon bimbit, polis turut merampas wang tunai asing bernilai RM28,144, katanya.

Berikutan itu, beliau berkata polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan dipercayai mengawal sindiket berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 6(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1958/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 617 individu ditahan menerusi 60 serbuan berhubung kegiatan jenayah menggunakan pusat panggilan di seluruh negara bermula awal Januari sehingga Jumaat lalu.

– BERNAMA