Categories
GLOBAL

Korban demam kuning di Brazil catat peningkatan

RIO DE JANEIRO, 25 JAN: Kementerian Kesihatan Brazil mengesahkan jumlah kematian akibat demam kuning di tenggara negara itu meningkat kepada 53 orang, lapor agensi berita Xinhua.

Sepanjang tempoh Julai 2017 hingga 23 Januari lalu, sebanyak 130 kes disahkan dijangkiti virus dan 162 kes disyaki di dua bandar terbesar iaitu Sao Paulo serta Rio de Janeiro direkodkan.

Gambar oleh EPA, 24 Januari, 2018.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran untuk semua pelancong supaya sentiasa berwaspada, pada 16 Januari lalu.

Dalam beberapa minggu, kebanyakan hospital di Sao Paulo dan Rio de Janeiro dipenuhi pesakit yang dijangkiti demam itu dengan jumlah kematian tertinggi dilaporkan di Minas Gerais membabitkan 24 kes, diikuti Sao Paulo (21) dan Rio de Janeiro (7), lapor BERNAMA.

Kementerian Kesihatan Brazil turut mengagihkan 57.4 juta vaksin di seluruh negara, pada tahun lalu.

Selain menyebabkan kematian manusia, virus itu juga membunuh 453 haiwan terutama monyet hingga memaksa pihak berkuasa menutup beberapa zoo pada 23 Januari lalu selepas seekor monyet mati akibat virus berkenaan.

Sementara itu, sejumlah 3,131 kes dilaporkan termasuk 392 kematian sejak wabak terbabit mula menular di Brazil, sejak Disember 2016 hingga April 2017.

 

Categories
GLOBAL

25 maut serangan demam kuning

BRAZIL, 24 JAN: Minas Gerais negeri kedua paling ramai penduduk di Brazil dilanda wabak demam kuning yang mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 25 orang ekoran penularan virus itu, sejak Disember lalu.

Gambar oleh EPA, 24 Januari, 2018.

Agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Jabatan Kesihatan serantau turut melaporkan 22 lagi dijangkiti virus berkenaan di tenggara Minas Gerais membabitkan 87 kes berpotensi dipantau, manakala 12 kematian sedang dianalisis.

Sementara itu, separuh daripada kematian terbabit berlaku di kawasan metropolitan ibu negeri Belo Horizonte dan hampir semua mangsa adalah lelaki dan kebanyakannya tidak diberi vaksin bagi mencegah penyakit berkenaan.

Memetik BERNAMA, wabak itu juga menular ke Sao Paulo iaitu negeri yang mempunyai ramai penduduk dan turut terkesan adalah lokasi yang menjadi antara tumpuan pelancong di Brazil, Rio de Janeiro.

Pihak berkuasa turut menutup zoo, zoo safari dan taman botani selepas seekor monyet Howler yang dijangkiti virus itu ditemui mati, di Soa Paulo.

Wabak yang dibawa oleh primat melalui nyamuk itu meragut banyak nyawa dan mula menular, di Minas Gerais, pada hujung 2016 juga awal 2017.