Categories
NASIONAL

Rakyat Malaysia jadi keldai dadah meningkat tahun lalu

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bilangan rakyat Malaysia menjadi keldai dadah semakin membimbangkan apabila jumlah itu menunjukkan peningkatkan pada tahun lalu, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan peratusan peningkatan aktiviti berkenaan dan berkata, faktor kewangan selain desakan hidup dilihat antara penyumbang kepada kegiatan itu di negara ini.

Katanya, upah diterima individu terbabit dengan kegiatan itu antara RM5,000 dan RM10,000 dengan kebanyakan individu ditangkap tahu mereka membawa bahan terlarang itu.

“Tahun lalu memang ada peningkatkan aktiviti ini berbanding tahun sebelumnya misalnya di Hong Kong sahaja 23 keldai dadah ditahan.

“Keldai dadah ada dua keadaan, satu dari Malaysia bawa ke luar negara dan satu lagi disuruh pergi ke luar negara ambil dadah dan hantar kepada negara ketiga,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan seramai 425 warga Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa di 19 negara sejak 2013 sehingga Oktober tahun lalu kerana menjadi keldai dadah.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tahan tiga lelaki, rampas ketamin RM5.6 juta

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Tiga lelaki ditahan dan polis merampas 92.7 kilogram (kg) dadah disyaki ketamin bernilai RM5.6 juta dalam operasi di sekitar Selangor, Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki yang ditahan dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera di Jalan Jengka, Subang Jaya di sini kira-kira jam 7.40 malam.

Beliau berkata, penahanan lelaki berusia 41 tahun itu membawa kepada penemuan 90 bungkusan dadah di dalam bungkusan teh Cina yang disembunyikan dalam guni dan diletakkan di tempat duduk belakang kereta itu.

Tangkapan kedua pula membabitkan dua lelaki masing-masing berusia 49 dan 54 tahun di kawasan Rehat & Rawat Sungai Buloh di dalam sebuah kereta Perodua Axia.

“Kami percaya dadah itu dibawa dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang, bekalan dadah ini mampu menampung 300,000 pengguna,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, sebungkus dadah berkenaan dianggarkan seberat satu kg dan dijual dengan harga RM60,000 sehingga RM65,000 di pasaran.

“Polis turut menyita tiga kenderaan milik suspek iaitu Toyota Vios, Nissan Almera dan Perodua Axia selain wang tunai RM8,000 dan seutas jam tangan jenama Titan,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki direman tujuh hari sehingga 8 Februari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Zulkifli berkata, seramai 17,363 orang ditangkap kerana terbabit dalam kes dadah sepanjang Januari lalu membabitkan nilai rampasan RM90.1 juta.

“Seramai 16,245 yang ditahan itu rakyat tempatan manakala 1,118 lagi rakyat asing dan dadah dirampas terdiri daripada syabu seberat 611kg, ketamin (10kg), pil eramin 5 (3.34kg), pil yaba (3.19kg), pil ekstasi (6.7kg), ganja (5.18kg), dan heroin (83.62kg),” katanya.

SUMBER: BERNAMA