Categories
NASIONAL

Dua produk coklat Cadbury miliki DNA khinzir

SHAH ALAM, 24 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua produk coklat susu keluaran Cadbury yang menjadi kegemaran ramai memiliki DNA khinzir (porcine).

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua produk berkenaan adalah coklat susu kacang hazel dan coklat susu kacang badam.

Dr_hishamBeliau berkata, siasatan terbabit dijalankan berikutan pelbagai aduan yang wujud di laman sosial, sejak semalam.

“Siasatan KKM mendapati tiga sampel coklat Cadbury diambil untuk analisis DNA khinzir bagi tujuan pemantauan dan hasilnya mendapati dua sampel mengandungi DNA terbabit.

“Manakala, satu lagi sampel iaitu coklat susu asli tidak mengandungi sebarang DNA khinzir,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata, pihak pengeluar coklat terbabit iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd sudah memberi jaminan untuk menarik semula produk berkenaan daripada pasaran dengan serta merta.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

-NFN-