Categories
SELANGOR

Hakam boleh selesai penceraian tertangguh

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 DIS : Pasangan yang tidak mencapai persetujuan bersama untuk berpisah boleh melantik hakam bagi pihak masing-masing.

Ketua Hakim Syariah Selangor, Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata hakam dilantik dalam kalangan keluarga terdekat yang mempunyai maklumat isu rumah tangga pasangan yang memohon penceraian.

Katanya, pelantikan hakam dibuat setelah mahkamah berpuas hati pertikaian dalam perkahwinan itu menemui jalan buntu.

Dr Mohd Na'im Mokthar“Kaedah ini bagi mengelakkan penganiayaan kepada isteri jika suami enggan melafazkan cerai atau melepaskan pasangan secara baik.

“Bagaimanapun, hakam yang dilantik dalam kalangan ahli keluarga terdekat akan menyebabkan ketidak adilan dan adakalanya menjadi punca kepada penangguhan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hi-Tea Ketua Hakim Syarie bersama media di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, Jumaat lalu.

Na’im berkata, bagi mengelakkan masalah penceraian tertangguh, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) melantik 30 hakam terlatih.

Katanya, hakam itu mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mewakili pihak suami atau isteri dan bertindak mengikut hukum syarak.

“Jika semua pihak memberi kerjasama baik, maka kesemua prosiding dapat diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Tiada persetujuan punca kes cerai tertunggak

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 DIS : Tiada persetujuan bersama antara pasangan yang ingin berpisah penyebab kes cerai tertunggak semakin meningkat di Selangor.

Ketua Hakim Syariah Selangor, Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia berlaku apabila pihak suami tidak bersetuju menceraikan isteri atau enggan memenuhi tuntutan fasakh.

Dr Mohd Na'im Mokthar“Jika isteri mendakwa dirinya dianiaya suami dan mahkamah mendapati benar apa yang dikatakan, maka pernikahan itu akan difasakh.

“Bagaimanapun, jika suami menafikan beliau menganiaya si isteri, maka kes itu akan dibicarakan dan isteri perlu memberi keterangan melalui tiga proses iaitu pemeriksaan utama, balas dan semula.

“Proses itu akan berlangsung dalam tempoh panjang jika peguam yang mewakili suami menyoal pelbagai perkara untuk memastikan kredibiliti isteri tercalar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Hi-Tea Ketua Hakim Syarie bersama media di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, Jumaat lalu.

Pada masa sama, Na’im berkata, mahkamah tidak pernah bersikap dwi-standard kepada mana-mana pasangan yang mendaftar kes penceraian mereka.

Mengambil contoh pasangan artis, beliau berkata, mereka perlu melalui proses sama seperti kebanyakan pasangan lain tanpa sebarang keistimewaan.

“Golongan artis juga jalani proses sama, tetapi jika kita lihat di media seolah-olah kes mereka diselesaikan cepat sebenarnya adalah atas persetujuan bersama.

“Jika pasangan artis itu tidak memberi persetujuan bersama, mereka akan melalui prosedur seperti pasangan lain dan perlu melalui beberapa pemeriksaan sebelum kes mereka selesai,” katanya.

-nR-

Istiadat perlantikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Selangor

Sekitar istiadat perlantikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Dr. Mohd Naim Mokhtar, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Dato Mukhyuddin Ibrahim dan para hakim mahkamah rendah syariah.