SHAH ALAM, 6 JAN: Sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Sungai Burong menerima peruntukan RM558,000 bagi menambah baik infrastruktur.
Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata sebanyak RM345,000 diagihkan kepada 18 sekolah termasuk maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat kawasan itu.
Beliau memaklumkan sejumlah RM213,000 pula khusus kepada 10 buah sekolah di DUN Sungai Burong.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan ini. Saya harap pengurusan sekolah dapat gunakan sebaiknya demi keselesaan dan keselamatan pelajar,” tulisnya di Facebook.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperuntuk sejumlah RM22.473 juta untuk menaik taraf kemudahan 740 sekolah seluruh negeri.