Categories
NASIONAL

Freedom House : Kebebasan Internet di Malaysia ‘separuh bebas’

SHAH ALAM 4 OKT : Kajian Freedom House berkenaan Kebebasan Internet 2013 menyatakan Malaysia jatuh satu mata berbanding tahun lalu dan kekal “separuh bebas”.

Malaysia berada di tangga 30 daripada 60 negara yang menjalankan tinjauan itu di seluruh dunia dengan mendapat 44 daripada 100 mata.

Kajian itu juga menunjukkan kedudukan Malaysia di bawah negara Kenya (15), Nigeria (18), Anggola (21), Uganda (22) dan Tunisia (27).

Antara semua negara di Asia, hanya Jepun (7) dan Filipina (11) disenaraikan dalam kategori bebas.

grafik m'sia internet1

Kajian itu menunjukkan 0 mewakili paling bebas dan 100 paling tidak bebas. Tahun lalu Malaysia mendapat 43 mata.

Kajian itu juga menyatakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 berlaku serangan siber dan gangguan isi kandungan terhadap portal berita yang memaparkan berita pihak pembangkang.

Ia juga mendapati, manipulasi perbincangan atas talian oleh pengulas prokerajaan antara penyebab kejatuhan kedudukan Malaysia.

Penyebab lain termasuk penangkapan penulis blog dan serangan teknikal terhadap pengkritik kerajaan.

Sementara penembusan Internet pula didapati sebanyak 66 peratus daripada keseluruhan 29 juta rakyatnya dan kebebasan akhbar tidak bebas.

Kajian itu menunjukkan Negara Iceland berada ditangga pertama dengan mendapat 6 mata manakala Cuba dan Iran masing-masing ditangga tercorot dengan memperolehi 86 mata dan 91 mata.