Categories
GLOBAL

Firma Malaysia boleh sertai usaha pacu perbankan digital Singapura

SINGAPURA, 29 JUN: Syarikat asing termasuk dari Malaysia, boleh menyertai usaha bagi memantapkan lagi liberalisasi industri perbankan Singapura.

Ini berikutan usaha Singapura untuk mengeluarkan sehingga lima lesen bank digital baharu yang menjadi antara langkah bagi memperluaskan lesen bank digital kepada pemain bukan bank.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) menjangkakan permohonan lesen itu dapat dikeluarkan pada Ogos yang akan turut memperincikan butiran seperti kriteria kelayakan dan penyertaan berkaitan.

Lima lesen bank digital baharu terdiri daripada dua lesen penuh bank digital yang mana pemegang lesennya boleh menyediakan pelbagai khidmat kewangan dan menerima deposit pelanggan runcit manakala tiga lesen bank borong digital pula membolehkan pemegang lesen menyediakan khidmat untuk perusahaan kecil dan sederhana dan segmen bukan runcit lain.

Permohonan lesen penuh bank digital itu terbuka kepada syarikat yang beribu pejabat di Singapura dan dikawal oleh rakyat Singapura.

MAS berkata syarikat asing layak mendapatkan lesen penuh itu sekiranya membentuk usaha sama dengan syarikat Singapura yang menepati syarat-syarat ditetapkan.

Permohonan bagi lesen bank borong digital pula terbuka kepada semua syarikat.

“Lesen bank digital baharu itu menandakan episod baharu dalam usaha liberalisasi perbankan Singapura,” kata Menteri Kanan dan Pengerusi MAS, Tharman Shanmugaratnam, ketika mengumumkan langkah itu pada majlis makan malam tahunan Persatuan Bank di Singapura ke-46 pada Jumaat.

Beliau berkata, usaha itu juga dapat memastikan sektor perbankan Singapura kekal berdaya tahan, kompetitif dan mantap.

Menurut MAS, penyertaan pemain digital baharu akan menambah kepelbagaian dan mengukuhkan sistem perbankan Singapura dalam ekonomi digital pada masa depan.

“Menerusi model perniagaan inovatif dan keupayaan digital yang mantap, para pemain ini boleh memenuhi segmen pasaran yang kurang diberi perhatian.”

Ini juga dapat membolehkan kumpulan perbankan Singapura mewujudkan bank digital di bawah rangka kerja perbankan internet sedia ada yang diperkenalkan pada 2000 berbanding memohon lesen baharu, kata MAS.

-BERNAMA