Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

‘FMM 50th Anniversary Run’ himpun lebih 2,000 peserta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 JAN: Lebih 2,000 peserta tidak melepaskan peluang menyertai larian Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM Selangor) mengelilingi kawasan Taman Botani Negara Shah Alam, di sini hari ini.

Acara larian julung kali diadakan itu sempena ulang tahun ke-50 penubuhan syarikat berkenaan.

Naib Pengerusinya, Mag Ng berkata, ia membabitkan penyertaan daripada peringkat bahawan hingga pengurusan tertinggi syarikat termasuk orang awam.

Katanya, program bermula seawal jam 6.30 pagi itu terbahagi kepada dua kategori larian, iaitu lima dan 10 kilometer (km) mengikut kategori umur ditetapkan dalam syarat penyertaan.

“Bertepatan dengan hasrat kami untuk mempromosi dan membudayakan sukan dalam kalangan penggiat industri, acara seperti ini dapat mengubah amalan gaya hidup sihat secara lebih positif.

“Kita juga mahu membentuk inspirasi perpaduan bukan sahaja dalam kalangan kakitangan syarikat, tetapi bersama orang awam yang turut serta menjayakan program ini.

“Selain memberi pengalaman cabaran dalam aktiviti larian, ia sekali gus dapat mendedahkan secara meluas berkaitan syarikat FMM kepada umum yang masih belum mengenali skop dan bidang dikendalikan syarikat ini,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, pelepasan peserta larian disempurnakan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim.

Sementara itu, salah seorang peserta, Yu Keng Seng, 57, menyambut baik usaha FMM menganjurkan program berkenaan sebagai medium mengeratkan hubungan bersama dan bertemu kembali rakan sekerja lama.

“Walaupun kali pertama tetapi saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malahan mampu meningkatkan kecergasan yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Sebagai organisasi ekonomi sektor swasta utama bertapak di Malaysia sejak 1968, FMM secara konsisten mengetuai syarikat pengeluar yang menerajui pertumbuhan dan pemodenan negara.

Mewakili lebih 3,000 syarikat perkhidmatan pembuatan dan perindustrian dengan pelbagai saiz, FMM kini menjadi penggerak penting dalam industri terbabit yang turut diiktiraf serta diperakui secara rasmi perkhidmatannya.

Categories
SELANGOR

FMM Selangor ucap tahniah pelantikan MB baharu

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM) merakamkan ucapan tahniah kepada Amirudin Shari atas pelantikannya Dato’ Menteri Besar Selangor baharu.

Pengerusi FMM Selangor, Jacob Lee Chor Kok dan warga kerjanya menzahirkan rasa bangga serta mengucapkan tahniah atas pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor ke-16.

“FFM Selangor yakin dengan rekod cemerlang Amirudin sebagai salah seorang Ahli Dewan Negeri, ekonomi negeri ini mampu mencapi tahap lebih tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami mengharapkan kerjasama berterusan dapat dilaksanakan antara industri dan Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar baharu,” katanya dalam kenyataan.