Categories
SELANGOR

#FreeMarketLZS edisi akhir tahun kembali lagi

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 DIS : Konsep pemberian barang secara percuma kepada asnaf dan masyarakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) kembali lagi pada 12 Disember depan.

LZS dalam satu kenyataan di Facebook berkata, program dikenali sebagai #FreeMarketLZS itu memfokuskan kepada konsep memberi dan menerima mengikut etika individu Islam.

Katanya, ia adalah platform terbaik menghubungkan masyarakat khususnya pengeluar zakat dengan asnaf di bawah LZS.

FREEMARKET LZS“Program itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat umum untuk mendekati dan membantu asnaf daripada pelbagai aspek yang dirasakan sesuai serta bertepatan.

“#FreeMarketLZS lebih kurang ‘car boot sales’, tapi tiada urusan jual beli sebaliknya semua diberikan secara percuma,” katanya.

LZS berkata, penyumbang yang ingin meletakkan barang sumbangan akan disediakan tempat khas di mana mereka boleh menyusun serta menyerahkan kepada penerima secara terus.

Manakala penerima pula boleh meminta barangan yang dimahukan daripada penyumbang dengan etika sopan dan berhemah.

“Kepada sesiapa yang ingin menyumbang barangan seperti pakaian bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa, makanan dan minuman, peralatan rumah, elektrik dan lain-lain bolehlah dibawa pada hari itu asalkan masih elok dan sempurna,” katanya.

Bagi yang ingin menjadi penyumbang, boleh terus memberikan nama, nombor telefon dan anggaran barangan yang akan disumbang kepada penyelaras ditalian 03 – 5522 7735 (Fauziana Ismail), 03- 5522 7741 (Hajar Abd Rahim) atau 03 – 5522 2210 (Syahida Sazali) bagi tujuan pendaftaran.

Penderma, asnaf serbu Free Market LZS

Lembaga Zakat Selangor mengadakan program khas Free Market yang menemukan penderma dan asnaf secara langsung