Categories
NASIONAL

Aktivis Mahasiswa Dakwa Dibelasah Samseng Umno Di Pekan, Pahang

mahasiswa pukul pekan feb11

SHAH ALAM 12 FEB: Seorang aktivis mahasiswa Ekhsan Bukhari Badarul Hisham mendakwa dipukul oleh empat lelaki yang mengakui mereka anggota Umno semasa berkempen di Pekan, Pahang.

“Saya ditarik keluar daripada kereta oleh samseng yang mengaku ahli Umno lalu menjatuhkan saya dan (saya) dibelasah di atas tanah,? kata Ekhsan Bukhari ketika menceritakan kejadian yang berlaku pagi ini di Kampung Datuk Keramat.

Pada masa kejadian, Ekhsan Bukhari dan beberapa rakan sedang mengedarkan risalah “Harapan Mahasiswa Untuk Malaysia? di kampung tersebut yang terletak di dalam kawasan DUN Pulau Manis.

Ekhsan Bukhari mendakwa kereta yang dinaikinya tiba-tiba ditahan di tengah jalan oleh sebuah kereta Proton Gen2 yang dinaiki oleh tiga orang lelaki.

Lelaki tersebut meminta pemandu kereta Ekhsan Bukhari supaya  berhenti di tepi jalan.

“Mereka rampas kunci kereta kami dan meminta kad pengenalan untuk diambil gambar.

“Selepas dimaki hamun dan diugut oleh mereka, datang seorang lagi samseng yang menaiki motosikal.

?Lelaki tersebut menarik saya keluar dari dalam kereta dan menjatuhkan saya,? katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Ehsan Bukhari mendakwa ke-empat-empat lelaki itu kemudian bertindak memukulnya.

Katanya, beliau cedera di beberapa bahagian badan termasuk siku berdarah, bahagian leher baju yang koyak serta kereta yang dinaikinya kemek di bahagian tepi.

Semasa berita ini ditulis, Ekhsan Bukhari di dalam perjalanan ke balai polis untuk membuat laporan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) mengumumkan untuk bertanding pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) di kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kumpulan aktivis berkenaan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk mengedarkan risalah kepada setiap rumah di kawasan Parlimen tersebut.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa Cabar Najib Di Parlimen Pekan

mahasiswa

KUALA LUMPUR 7 FEB: Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) bersedia bertanding di parlimen Pekan bagi mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  dalam  Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Keputusan ini dibuat sebagai kemuncak penolakan mahasiswa terhadap kerajaan Umno-BN.

Perkara ini diumumkan Pengerusi GM13, Syis Abdul Kadir pada satu sidang media di Dewan Himpunan Cina, Kuala Lumpur.

Menurut Syis, hasrat murni ini secara tidak langsung memberi pendidikan politik serta meraikan arena demokrasi negara.

“Mahasiswa tampil dengan plan alternatif Cadangan Polisi Baharu Pengajian Tinggi Negara sebagai agenda mahasiswa mendepani PRU-13.

“Dalam meneruskan agenda ini, saya kira sudah tiba masanya suara mahasiswa berada di Parlimen membawakan agenda membentuk polisi dan dasar pentadbiran negara,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini terdapat enam calon yang sudah disenaraikan untuk bertanding dan pengumuman akan dibuat sejurus Najib memaklumkan pembubaran parlimen.

Beliau juga memaklumkan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bersama Pakatan Rakyat.

Tambahnya, antara bahan kempen yang akan digunakan menjurus kepada permasalahan setempat selain mengetengahkan polisi perubahan terutama dalam bidang pendidikan seperti pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebagai langkah awal, mahasiswa akan melancarkan kempen ‘Mahasiswa Turun Pekan’ pada 11-17 Februari ini.

Program selama seminggu ini merupakan medium terbaik untuk mahasiswa mendekati dan memahami jerit perih kehidupan rakyat.

Jelasnya lagi, lima tahun kebelakangan ini menyaksikan ‘pembunuhan terancang’ terhadap kredibiliti dan idealisme mahasiswa serta mematikan fungsi sebenar universiti.

Sejak tahun 2011, lebih 50 aktivis mahasiswa ditangkap oleh pihak berkuasa selain diugut, dibelasah serta dibuang unversiti dan terbaru dipenjara.