Categories
NASIONAL

Pandu lebih had laju punca kemalangan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Sikap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan adalah punca utama berlakunya kemalangan jalan raya, di negara ini.

Timbalan Pengerusi MKJR Selangor, Dato’ Mazalan Md Noor percaya, kemalangan boleh dielakkan, sekali gus aspek keselamatan pengguna jalan raya lain lebih terjamin jika pemandu mematuhi peraturan.

“Kebiasaannya, faktor berlakunya kemalangan berpunca daripada pemanduan melebihi had laju, pemandu memandu secara berbahaya atau memandu dalam pengaruh dadah.

“Selain itu, kita juga mengenalpasti penggunaan bahan terlarang seperti ganja membabitkan pemandu bas juga menjadi punca menyebabkan kemalangan, di jalan raya.

KEMALANGAN“Umumnya, ramai pemandu bas khususnya menggunakan bahan terlarang ini untuk kestabilan stamina mereka.

“Namun, pada sisi lain terdapat kesan sampingan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya dan penumpang bas,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya sempena perayaan Aidilfitri 2017 peringkat negeri Selangor di perkarangan Terminal Bas Sementara Seksyen 13, di sini, baru-baru ini.

Pelaksanaan kempen terbabit dijalankan sebagai inisiatif memupuk kesedaran keselamatan peraturan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan, pada musim perayaan ini.

Dalam perkembangan lain, laluan utama lebuh raya seluruh negara dijangka akan menerima kemasukan tinggi kenderaan dari bandar menuju ke utara, timur dan selatan tanah air.

Sehingga jam 10.00 malam tadi, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama mula sesak terutama di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).