Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anggota kabinet puji perpaduan rakyat dalam sambutan Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Sikap patriotik dan komitmen rakyat berbilang kaum meraikan Hari Kebangsaan 2019 hari ini mendapat pujian menteri-menteri Kabinet yang melahirkan harapan ia menjadi pemangkin untuk membangunkan negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sambutan acara perbarisan dan perarakan di Putrajaya hari ini menjadi platform kepada rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk bersatu dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-62.

“Kepelbagaian bukan harus dilihat sebagai satu masalah dalam negara tapi satu aset terpenting dalam membangunkan negara yang tercinta,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, kerajaan sedar isu perpaduan sememangnya satu cabaran yang perlu dihadapi negara berbilang kaum seperti Malaysia namun beliau yakin rakyat secara keseluruhannya akan bersama kerajaan untuk mempertahankan perpaduan negara.

“Kita berharap sempena hari kebangsaan ini akan mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa perpaduan dan keamanan dalam negara kita adalah sesuatu yang sangat bernilai dan kita tak boleh berkompromi dalam apa yang telah kita kecapi,” katanya.

Loke turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang terus memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan dan menjaga keselamatan negara.

Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang datang ke Dataran Putrajaya untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2019 merupakan satu semangat yang baik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam mempamerkan rasa cinta kepada tanah air.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah pula berkata, dua perkara penting dilihat sangat ditonjolkan pada sambutan kali ini iaitu usaha membasmi rasuah selaras dengan tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

“Kedua, kita sudah mula melaungkan bangkit Harimau Asia seolah-olah menyuntik semangat baharu untuk kita kembalikan kegemilangan negara di persada Asia,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, tema yang dipilih tahun ini begitu sesuai dalam usaha kerajaan membanteras rasuah bagi memastikan generasi akan datang lebih selamat dan terjamin.

“Harapan saya kita dapat pastikan ekonomi kita dapat pulih lebih baik untuk pastikan kita memberikan peluang pekerjaan kepada semua anak muda di mana kita dapat menjadi Harimau Asia,” kata Liew.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Pasukan berkuda diketuai KSN antara tarikan sambutan merdeka

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Perarakan pasukan berkuda penjawat awam, yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar, antara tarikan dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019, di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, dalam segmen penjawat awam itu, Ismail akan mengetuai 44 pasukan berkuda dan 900 orang penjawat awam daripada pelbagai kementerian.

“Rakyat Malaysia sudah biasa dengan persembahan sama setiap tahun dalam perarakan Hari Kebangsaan, justeru kali ini kita cuba bawa beberapa pembaharuan, termasuk dalam segmen penjawat awam di mana KSN sendiri akan menunggang kuda dan mengetuai penjawat awam.

“Kita juga ada persembahan pergerakan formasi manusia, membabitkan pelajar sekolah yang akan melakukan formasi itu di atas struktur 12 tingkat, dengan membawa mesej semangat patriotisme,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.

Dr Aminuddin berkata, pihaknya juga menjangkakan seramai 300,000 ke 500,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

Katanya, pelbagai kemudahan juga akan turut disediakan kepada pengunjung termasuk tempat duduk teres lima tingkat di sepanjang Dataran Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli berkata, seramai 15,910 peserta dan 391 aset milik Angkatan Tentera Malaysia serta Polis Diraja Malaysia akan terbabit dalam sambutan tahun ini.

-BERNAMA