Categories
SELANGOR

MB : Kempen Anti-Zina Hari Kekasih Hanya Bagi Orang Islam

SHAH ALAM 13 FEB : Kempen Anti-Zina Selangor hanya tertumpu kepada masyarakat Islam manakala komuniti bukan Islam tidak dihalang untuk meraikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, melancarkan Kempen Anti-Zina sebagai usaha mengekang keterlibatan masyarakat Islam dalam sambutan Hari Kekasih.

“Kepada masyarakat Islam, adalah perlu bagi mereka untuk menghayati beberapa perkara yang dikatakan tidak perlu seperti meraikan perayaan ‘Valentine’s Day’.

“Tetapi ia tidak terbatas kepada masyarakat bukan Islam, ia terpulang kepada mereka, kita jelas dan tidak menghalang mereka untuk merayakan apa-apa perayaan mereka,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Perhimpunan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Khalid yang juga Exco Hal Ehwal Islam berkata Kempen Anti-Zina ini juga bagi meningkatkan kesedaran belia Islam supaya tidak terjerumus di dalam budaya seks bebas.

Pada minggu lepas, pengerak utama Kempen Anti-Zina, Dr Halimah Ali berkata pihak berkuasa agama akan menjalankan pemeriksaan esok untuk memastikan belia tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

Ini adalah siri ke-enam Kempen Anti-Zina yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan Generasi Idaman Selangor (GEMS).