Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Turun padang, bantu rakyat – Sultan Selangor

KLANG, 11 DIS: Pemimpin politik di Selangor digesa terus mengambil berat tentang kebajikan dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam urusan pentadbiran negeri.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemimpin politik bukan sahaja perlu turun padang melihat masalah tetapi perlu berusaha membantu rakyat khususnya berpendapatan rendah dan miskin.

“Sejak kebelakangan ini rakyat menderita dengan kesempitan hidup akibat dari kenaikan harga barangan dan kos kehidupan yang semakin meningkat dari hari ke sehari.

“Beta menyeru kepada pemimpin politik ini untuk turun bersama rakyat bagi melihat masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mereka terutama mereka yang berpendapatan rendah dan miskin,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraannya Yang ke-74 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, baginda memuji dan berbangga dengan kepesatan perkembangan ekonomi dan infrastruktur negeri serta pembangunan perumahan yang dapat memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat.

“Sepanjang tempoh pemerintahan Beta, Beta melihat pembangunan negeri Selangor bermula sebagai sebuah negeri yang sederhana pembangunannya kemudian dibangunkan secara terancang dan berkembang menjadi sebuah negeri yang pesat membangun sehingga menjadi sebuah negeri termaju di negara ini.

“Beta percaya kejayaan yang dicapai ini adalah hasil usaha cemerlang pihak kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Selangor, penjawat awam serta sumbangan rakyat yang bekerja di Selangor secara berterusan,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda titah supaya segala kemajuan dan kemakmuran yang dicapai Selangor dapat berterusan dinikmati rakyat.

“Adalah diharapkan pemimpin masyarakat dari semua peringkat dapat bekerjasama dalam menjalankan tugas dengan jujur dan ikhlas.

“Beta juga mengharapkan supaya kerajaan negeri serta penjawat awam sentiasa berkhidmat dengan cekap dan amanah serta meletakkan kemakmuran rakyat sebagai matlamat utama,” titah baginda.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan keliru, agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya

KLANG, 11 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu rakyat Selangor tidak terkeliru dengan fakta sejarah berkaitan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan mengagung-agungkan pemimpin mereka.

Sebaliknya, baginda bertitah perjuangan PKM tidak berlandaskan konsep pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka berteraskan demokrasi Raja Berpelembagaan walaupun dikatakan turut menentang penjajahan.

Titah baginda, fakta perjuangan ideologi PKM adalah satu fakta sejarah yang perlu rakyat fahami dengan mendalam supaya tidak terpesong dengan perkara yang mengelirukan berkenaan perjuangannya.

“Melalui fakta sejarah juga, kita dapat menghargai pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh anggota pasukan keselamatan negara sama ada pasukan Polis Diraja Malaysia atau pasukan tentera kita terutamanya ketika negara diancam dengan ancaman PKM sekitar tahun 40-an hingga 70-an.

“Begitu ramai pasukan keselamatan kita terkorban dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negara dari anasir komunis ini, terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain.

“Mereka juga turut terkorban akibat serangan pengganas komunis, kehidupan rakyat pada ketika itu sentiasa di dalam ketakutan akibat serangan yang dilakukan oleh anggota PKM ini, banyak perkampungan dan balai polis diserang. Rakyat dan anggota polis dibunuh serta diseksa oleh anggota PKM,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraannya Yang ke-74 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada masa sama, baginda menyeru rakyat Selangor memelihara sensitiviti dan tidak mencampuri urusan sesuatu kaum lain khususnya membabitkan isu keagamaan.

Titah baginda, semua rakyat perlu terus menjalinkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain supaya keharmonian terus terpelihara.

“Janganlah perpaduan yang kita bina bersama sejak sekian lama ini diruntuhkan hanya kerana kita mempunyai perasaan syak wasangka antara satu sama lain dan hilang rasa hormat sesama kita yang berlainan agama dan bangsa ini.

“Sepanjang pemerintahan, beta juga dapat melihat rakyat Negeri Selangor hidup di dalam suasana kehidupan yang aman dan harmoni.

“Sikap bersefahaman dan tolak-ansur antara berbilang kaum yang diamalkan selama ini membolehkan rakyat berkongsi kehidupan di dalam suasana yang tenteram di negeri Selangor yang permai ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, jika tidak berhati-hati dan mengamalkan sikap bermusuhan antara satu sama lain, negara akan musnah dan hancur di dalam sekelip mata.

“Perpaduan antara kaum ini amat dititikberatkan. Beta ingin melihat rakyat hidup aman damai dengan semangat muhibbah yang tinggi antara kaum yang berlainan bangsa dan agama,” titah baginda.

Categories
SELANGOR

Selangor muncul Juara Anti Rasuah

KLANG, 11 DIS: Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan ciri-ciri tadbir urus yang baik serta menghayati budaya integriti terbukti berhasil apabila muncul sebagai Juara Anti Rasuah yang diiktiraf Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu digapai pada 9 Disember baru-baru ini.

“Selangor juga telah mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam dengan menerima anugerah Amalan Terbaik Pengurusan Nilai Perkhidmatan Awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Sembah Taat Setia Dato’ Menteri Besar Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-74 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Belanjawan Selangor 2020 turut akan dibangunkan berdasarkan lima strategi iaitu Menjana Pertumbuhan dan Pemberdayaan Ekonomi Negeri, Merencana Agenda Pendidikan Unggul, Mewujudkan Selangor yang Selamat, Sihat dan Sejahtera, Menjamin Kelestarian Alam Sekitar dan Menjuarai Kemampanan Sosial.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi negeri serta agensi persekutuan di Selangor memerlukan kombinasi gerak kerja yang berkesan selain bersifat akomodatif kepada persekitaran pasaran juga peniagaan.

“Justeru pada tahun 2020, selaras dengan agenda ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Kelulusan 100 Hari melibatkan proses memperoleh kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah.

“Tempoh masa ini akan ditetapkan sebagai tempoh masa maksimum bagi urusan-urusan berkaitan sehingga mencapai tahap kelulusan penuh.

“Bagaimanapun pemudahcaraan proses ini, masih kekal dalam kerangka perundangan yang sedia ada tanpa Kerajaan Negeri berkompromi dengan prosedur dan tatacara yang kekal berkuatkuasa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Selangor turut bertuah kerana dipilih oleh syarikat The Ocean Cleanup dari Belanda untuk membersihkan dan memberi nafas baharu kepada Sungai Klang yang menjadi jantung hati negeri.

Katanya, ia direalisasikan atas keperihatinan baginda terhadap isu alam sekitar menjadi inspirasi Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor.

“Mesin Interceptor 002 kini menelusuri Sungai Klang dan menjadi bahagian penting sungai yang ikonik itu.

“Negeri Selangor sekali lagi mencatat sejarah sebagai yang pertama di rantau ini untuk memiliki teknologi sebegini dan bakal menjadi ‘game changer’ kepada inisiatif kelestarian alam serantau,” katanya.

Turut dilaksanakan pemasangan solar di bangunan-bangunan Kerajaan, mewujudkan 16 “Friends of River” di sekitar Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang.

“Menjunjung kasih titah DYMM Tuanku yang prihatin akan kepentingan Orang Asal dan peruntukan JAKOA yang semakin menurun, pentadbiran ini menubuhkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal dengan peruntukan permulaan sebanyak RM500,000 serta manfaat biasiswa Sagong Tasi yang diperluas kepada pelajar sekolah menengah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB ikrar pertahan Raja, hak dan Bahasa Melayu

KLANG, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berikrar untuk tidak mengingkari tanggungjawab bagi mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sejajar dengan hasrat Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ucapan sembah taat setianya, beliau berkata, amat penting bagi rakyat negeri ini kekal bersatu padu menggembeling usaha dan terus maju dalam keadaan aman.

Katanya, keutamaan untuk semua bersatu padu bermuafakat bagaikan “bunyanum marsus” itu seperti tercatat dalam Surah As-Saf ayat keempat.

“Barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

“Ahli falsafah terkenal, Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam sebuah syarahannya menegaskan peranan besar Islam di alam Melayu dan di rantau ini dan mengakui hakikat kepelbagaian kebudayaan mahupun keyakinan wujud ratusan tahun sebelum kedatangan agama Islam.

“Syahadan, Islam sebagai agama rahmat, hadir mencetuskan anjakan keilmuan dan pengetahuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Sembah Taat Setia Dato’ Menteri Besar sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-74 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Katanya, sejarah turut membuktikan alam Melayu bermula dengan pengaruh penulisan dan penerbitan seperti dalam bidang akidah, fekah dan tawarikh.

“Letusan ilmu itu Letusan keilmuan ini telah mengkayakan kepustakaan Melayu serta Nusantara. Bahasa Jawi yang kemudiannya dibentuk menjadi roh kepada Bahasa Melayu, bahasa pertuturan kepada Indonesia, Brunei dan juga Bahasa Kebangsaan.

“Ini adalah antara sumbangan Islam yang tidak boleh sama sekali dinafikan,” katanya.

Bersandarkan hakikat sejarah itu, Amirudin berkata, pemuka dan pejuang kemerdekaan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dinukil kemas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kemudiannya, asas-asas ini diabadikan sekali lagi menerusi Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar menjadi pelantar kepada kesatuan serta keharmonian rakyat Malaysia.

“Oleh kerana itu, patik sebagai Dato’ Menteri Besar yang telah menyimpul akad serta menzahirkan taat setia kepada DYMM tidak akan sama sekali mengingkari tanggungjawab patik untuk mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,”katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB terima darjah kebesaran Selangor

KLANG, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mendahului senarai 91 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-74 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Amirudin dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), iaitu Darjah Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) , Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris pula menerima Darjah Kebesaran Dato’ Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran Dato’ Setia bagi lelaki dan Datin Paduka Setia bagi wanita.

Istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran itu berlangsung di Istana Alam Shah di sini.

Mendahului senarai sembilan penerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita adalah Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohamad Adib Husain.

Penerima DPMS lain ialah Duta Besar Malaysia ke Sweden, Nur Ashikin Mohd Taib, Timbalan Panglima Tentera Laut (TLDM), Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob, Asisten Ketua Staf Markas Tentera Darat (MTD), Mejar Jeneral Datuk Badrul Hisham Muhammad dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Ir Hashim Osman.

Turut menerima DPMS ialah Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Yeoh Seok Hong, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor, Zamani Ahmad Mansor, Timbalan Naib Canselor UPM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Zulkifli Idrus serta Bursar UPM, Zulkiflee Othman.

Sementara itu, lapan individu dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

Mereka ialah dua penerima dari Kerabat Diraja Selangor iaitu Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Syed Anwar Jamalullail dan Raja Muzaffar Raja Redzwa.

Penerima lain adalah Asisten Ketua Staf Bahagian Komunikasi dan Elektronik, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Shamsuddin Ludin, Ketua Pengarah Hidrografi, Pusat Hidrografi Nasional, Laksamana Muda Hanafiah Hassan serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisoner Fadzil Ahmat.

Tiga lagi penerima ialah Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim, Pegawai Protokol Pejabat Sultan Selangor, Ahmad Fasal Zakaria dan Pengarah Tanjung Balai Group, Yap Chong Heong.

Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) pula seramai 13 individu menerima darjah tersebut antaranya Ketua Bahagian Operasi dan Pembinaan Markas TLDM, Kapten Mahadzir Mokhtar, Pengarah Jabatan Arah Kor Risik Diraja (MTD), Kol. Idros Muhammad dan Pegawai Daerah Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji.

Selain itu, 13 individu lain turut menerima Darjah Kebesaran Setia–Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS), termasuk Kerabat Diraja Selangor, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Alhaj, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Kejuruteraan, Markas Logistik Barat Pangkalan TLDM, Komander Zailara Zainal serta Ketua Operasi Alam Sekitar Worldwide Holdings Berhad, Zamri Abdul Rahman.

Seramai 20 individu pula menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) manakala Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC) pula masing-masing 19 dan tujuh penerima.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sultan Selangor ziarah makam ayahanda

KLANG, 9 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menziarahi makam ayahandanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di Makam Diraja Klang, di sini hari ini sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-74 pada Rabu ini.

Baginda tiba di makam berkenaan pada jam 10.30 pagi dan diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyiram air mawar ketika menziarahi Makam Diraja Klang, Klang pada 9 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ketibaan baginda berdua disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamad Amin Ahmad Ahya dan pembesar negeri serta anggota kerabat Diraja Selangor.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat selama 30 minit yang dipimpin Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membaca tahlil dan doa selamat ketika menziarahi Makam Diraja Klang, Klang pada 9 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Baginda kemudiannya menabur bunga dan menyiram air mawar di makam berkenaan sebelum berangkat pulang meninggalkan perkarangan pada jam 11 pagi.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Konsert Malam Bulan Dipagar Bintang meriahkan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ke-74 dimeriahkan dengan persembahan lagu malar segar oleh artis terkenal di Konsert Amal Diraja Malam Bulan Dipagar Bintang malam tadi.

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin disambut oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha serta beberapa kenamaan lain.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ditemani DYMM Tengku Permaisuri Norashikin serta Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar bersama Ahli Majlis Pentadbiran PVRTM pada Konsert Diraja Malam Bulan dipagar Bintang di Istana Budaya, Kuala Lumpur. 7 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pembuka tirai konsert dimulakan dengan segmen pertama yang menampilkan penyanyi lelaki popular, Anuar Zain dengan lagu Malam Bulan Dipagar Bintang sebelum diikuti persembahan medley instrumental P. Ramlee Dalam Kenangan alunan Orkestra Simfoni.

Tambah mengasyikkan lagi, alunan merdu orkestra terbabit dipimpin oleh Pengarah muzik dan komposer terkenal, Datuk Dr Johari Salleh bersama konduktur jemputan, Mohd Isa Ismail.

Segmen pertama diakhiri dengan persembahan memukau Datuk Jamal Abdillah dengan lagu Tidurlah Permaisuri.

Segmen kedua menampilkan Musly Ramlee mendendangkan lagu Di Pinggiran, Haziq AF dengan lagu Senandung Malam dan Bunyi Gitar oleh Jamal.

Penyanyi Terkenal, Dato’ Jamal Abdillah dan Wany Hasrita turut melakukan persembahan pada Konsert Diraja Malam Bulan dipagar Bintang di Istana Budaya, Kuala Lumpur. 7 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Musly turut menyampaikan lagu Anakku Sazali, diikuti Dengarlah Gemala Hati oleh Haziq AF sebelum diakhir Tiada Kata secantik bahasa oleh Anuar.

Memori kumpulan yang sinonim dengan cermin mata gelap, Panca Sitara di era 1950-an turut menggamit kenangan hadirin dengan kemunculan Tajul, Tuah, Fareez dan Haziq AF mendendangkan lagu popular kumpulan terbabit.

Lagu yang disampaikan Dengarlah Rayuanku, Aku Menangis, Kurindu Padamu dan diakhiri dengan lagu hits mereka yang cukup sinonim dengan lirik “tara kucha, tara kucha” iaitu Bila Larut Malam.

Dalam segmen keempat, Johari sekali lagi memimpin orkestra yang mengalunkan instrumental Saloma Dalam Kenangan.

Segmen kelima menampilkan Datuk Yusni Hamid (Burung Pungguk), Ernie Zakri (Jelingan Manja, Sekapur Sireh Seulas Pinang), Liza Hanim (Madah Pujangga), Wany Hasrita (Istana Cinta) dan duet Liza Hanim dan Wany Hasrita (Aku Dia Dan Lagu).

Sementara Segmen keenam diteruskan dengan persembahan duet Anuar – Ernie (Mengapa Riang Ria), Yusni – Musly (Juitaku Sayang), Liza Hanim – Haziq AF (Itulah Sayang) dan Jamal – Wany (Dalam Air Terbayang Wajah).

Lagu-lagu malar segar diteruskan lagi menerusi segmen ketujuh dengan persempahan instrumental Taman Firdausi, Jamal (Di mana Kan Ku Cari Ganti), Anuar (Merak Kayangan), Haziq – Liza Hanim (Bahagia) dan konsert diakhiri dengan lagu Firdausi oleh pasangan duet Yusni dan Musly sebelum diikuti semua artis.

Sebelum tirai dilabuhkan pasangan diraja, Sultan Sharafuddin dan Tengku Norashikin turut berkenan berangkat naik ke pentas untuk diperkenalkan kepada semua artis.

Kutipan tiket konsert yang diadakan di Istana Budaya itu kemudian disalurkan kepada Persatuan Veteran RTM bagi membiayai aktiviti kebajikan persatuan terbabit.